Tuesday, June 28, 2005

KERTAS LAPORAN KES PEMBERIAN RASUAH OLEH YB. TAN SRI MOHD. ISA ABDUL SAMAD

Badan Pencegah Rasuah Malaysia,
WILAYAH PERSEKUTUAN
Tingkat 5, Rumah Persekutuan
Jalan Sultan Hishamudin
Peti Surat 6000
50502 KUALA LUMPUR
Tel: 03-26923111, 03-26933942
Fax: 03-6931441 Tarikh : 28 Jun 2005

Tuan,

LAPORAN KES PEMBERIAN RASUAH OLEH YB. TAN SRI MOHD. ISA ABDUL SAMAD

Pada 24 Jun 2005 bertempat di Menara Dato’ Onn, PWTC panel Lembaga Disiplin UMNO yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail telah membuat keputusan menggantung keahlian dan jawatan YB. Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad selama 6 tahun yang didapati bersalah dalam melakukan rasuah. Keputusan itu telah di siarkan dalam semua media utama dalam Negara pada 25 Jun 2005.

YB. Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad telah didapati bersalah melakukan rasuah pada Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung pada 21-25 September 2004, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Berdasarkan laporan media Al-Jazeera, melalui agen bernama Salim Sharif merangkap Setiausaha Politik, beliau telah merasuah para perwakilan dengan bayaran RM 300 hingga RM 1,000 bagi memenangi kerusi Naib Presiden UMNO. Ekoran dari kecurangan itu, beliau berjaya mendapatkan undi tertinggi, iaitu sebanyak 1507 undi dan menjawat jawatan sebagai Naib Presiden UMNO.

Ketika melakukan kesalahan itu, beliau juga merupakan seorang ahli Parlimen bagi Parlimen Jempol, Negeri sembilan dan penjawat awam berstatus Menteri bagi Kementerian Wilayah Persekutuan yang dilantik dalam rombakan Kabinet Malaysia pada 27 Mac 2004. Tindakan beliau ini telah menjatuhkan imej institusi berkenaan dan menghapuskan keyakinan rakyat, khususnya di Wilayah Persekutuan terhadap kejujuran beliau.

Saya Haji Mohamad Noor bin Mohamad atas dasar menjaga kepentingan dan hak sivil rakyat lainnya, dengan ini menganggap beliau sebagai terlibat dalam kes pemberian rasuah untuk mendapatkan kepentingan tertentu, berdasarkan peruntukan Akta Pencegahan Rasuah 1997, Perenggan ke 11;

11. Jika-

(b) mana-mana orang secara rasuah memberikan atau bersetuju untuk memberikan atau menawarkan apa-apa suapan kepada mana-mana ejen sebagai dorongan atau upah bagi melakukan atau tidak melakukan, atau kerana telah melakukan atau tidak melakukan apa-apa perbuatan berhubungan dengan hal-ehwal atau perniagaan prinsipalnya, atau bagi memberikan atau tidak memberikan sokongan atau tentangan kepada mana-mana orang berhubungan dengan hal-ehwal atau perniagaan prinsipalnya;

dia adalah melakukan suatu kesalahan.

Perenggan ke 16 pula menyatakan bahawa;

16. Mana-mana orang yang didapati bersalah atas suatu kesalahan di bawah seksyen 10, 11, 13, 14 atau 15 boleh apabila disabitkan-

(a) dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada empat belas hari dan tidak lebih daripada dua puluh tahun; dan

(b) didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bersama – sama dengan ini pihak saya melampirkan beberapa salinan laporan media tempatan dari dalam dan luar negeri sebagai bahan bukti dan rujukan tuan.

Memandangkan kes ini telah menjadi isu besar yang bukan sahaja didalam negara, malah meliputi imej Malaysia di luar negara yang melibatkan tokoh penting negara, maka dengan itu, saya berharap agar pihak tuan dapat mengambil tindakan segera dan melakukan siasatan ke atas kes beliau ini.

Sekian. Terima Kasih.

Yang Benar,

Hj. Mohamad Noor bin Mohamad
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan

Memorandum Yang Dihantar Kepada YB. Dato' Dr. Mashitah Ibrahim

Y.B. DATO' DR. MASHITAH BINTI IBRAHIM
Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri,
Aras 3, Blok Barat, Bangunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 PUTRAJAYA.

YB. Dato’,

Assalamualaikum w.w

MEMORANDUM MEMOHON PENJELASAN TERHADAP ISU JUAL DIRI KERANA TERDESAK

Merujuk kepada jawapan YB. Dato’ dalam ruangan ‘Anda musykil, Dr. Mashitah Jawab’ di Harian Metro bertarikh 19 Jun 2005 yang bertajuk “Jual Diri Kerana Terdesak”.

Adalah dengan ini Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) bersama Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (DMPWP) menyatakan rasa kekesalan terhadap jawapan yang telah diberikan oleh pihak YB. Dato’ kerana;

1. Kenyataan darurat yang dinyatakan dalam jawapan YB. Dato’ agak samar, ringkas dan tidak diperincikan sehingga mewujudkan banyaknya tafsiran terhadap konteks darurat itu sendiri.

2. Kenyataan bahawa melacur itu dimaafkan dalam keadaan darurat telah menimbulkan banyak kekeliruan memandangkan soalan yang diberikan oleh En. Razin itu merujuk kepada isu semasa yang melibatkan masalah ibu tunggal masakini yang terpaksa melacur bagi menyara anak mereka.

3. DPPWP dan DMPWP melihat bahawa jawapan yang diberikan oleh YB. Dato’ itu tidak bersesuaian dengan suasana dan masalah masyarakat sekarang yang kita semua belum lagi dapat menafsirkannya sebagai suasana darurat. Umat Islam masih memiliki Baitulmaal sebagai pusat mendapatkan bantuan dan tiada istilah darurat dalam keadaan umat Islam masa kini.

4. DPPWP dan DMPWP juga mendapati bahawa jawapan YB. Dato’ itu telah mewujudkan polemik dan keraguan dalam masyarakat muslim di Malaysia yang dikhuatiri bakal menjadikan alasan darurat yang tidak jelas ini sebagai batu loncatan kepada membiaknya masalah pelacuran kalangan ibu tunggal dalam Negara.

Image hosted by Photobucket.com
-Ketua Pemuda Wilayah, Ust. Riduan bersama Exco DPPWP menyerahkan memorandum kepada Wakil Dr. Mashitah-

Diatas beberapa alasan diatas, pihak DPPWP dan DMPWP berharap agar pihak YB. Dato’ dapat;

1. Mengeluarkan penjelasan terperinci berhubung istilah darurat dan realiti semasa masalah ibu tunggal yang dipersoalkan melalui media tempatan berhubung perkara ini bagi mengelakkan umat Islam terus berada dalam kekeliruan.

2. Memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana mewujudkan rasa sangsi dan kegusaran terhadap hukum yang dikeluarkan oleh YB. Dato’ sebelum ini.

Secara keseluruhannya, DPPWP dan DMPWP berharap agar pihak YB. Dato’ dapat berhati – hati dalam memberikan jawapan berhubung perkara yang melibatkan soal – soal hukum dalam apa jua makalah dan media atau ditempat umum bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan dikalangan Umat Islam di Malaysia.

Sekian. Pandangan dan desakan kami.


Yang Benar,


Riduan Mohd Nor
Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Nuridah Bt Mohd Salleh
Ketua
Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan

ANWAR DIPECAT DAN DIPENJARA, ISA SAMAD?

KENYATAAN MEDIA (27 Jun 2005)

Kuala Lumpur, 27 Jun 2005 : Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyokong Perhimpunan Rakyat ! "Pecat Menteri Wilayah" yang dianjurkan oleh Kumpulan Aktivis Reformasi Dan Kumpulan Kumpulan Badan Bukan Kerajaan Yang Progresif dan akan diadakan pada;

Tarikh : 28 Jun 2005 (Selasa)
Masa : 12.30 tengahari
Tempat : Di hadapan DBKL,
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur

Perhimpunan ini selaras dengan kenyataan media DPPWP pada 26/6 yang bertajuk “Isa Samad wajib letak jawatan Menteri Wilayah Persekutuan”.

Walau apa jua alasan yang diberikan oleh Isa Samad, kenyataan dan bukti yang dikemukakan dalam Lembaga Tatatertib UMNO telah menjelaskan segala jenayah beliau.

Justeru itu adalah tidak layak bagi beliau untuk terus mengetuai Institusi Tertinggi di Wilayah Persekutuan iaitu di Kementerian Wilayah Persekutuan selaku Menteri dan juga sebagai ahli Parlimen Jempol. Beliau seharusnya malu dan berundur dari semua jawatan yang beliau pegang sekarang.

Jika Dato’ Seri Anwar Ibrahim dahulu dipecat dari semua Jawatan dalam UMNO dan kerajaan kerana baru disiasat dan dituduh, bagaimana pula dengan Isa Samad?

Jika Dato’ Seri Anwar Ibrahim dahulu dipenjara, dibogelkan dan dipukul sebelum didapati bersalah bagaimana pula dengan Isa Samad yang telah nyata bersalah?

Dosa Isa Samad bukan pada pemimpin UMNO sahaja, tetapi kepada semua ahli UMNO dan umat Melayu.

Tidak cukup dengan itu, sehingga kini kepimpinan beliau di Kementerian Wilayah Persekutuan pula belum lagi menampakkan apa – apa perubahan yang positif terhadap pembangunan Wilayah Persekutuan. Kehadiran beliau hanya mengundang pertikaian massa.

Pertikaian beliau dalam isu Kuasa Datuk Bandar Kuala Lumpur memperlihatkan beliau tamakkan kuasa. Tidak cukup dengan itu, beberapa perkampungan rizab Melayu seperti Kg. Baru pula telah cuba dijual kepada syarikat bukan Melayu dibawah kepimpinan beliau.

Segala ini menunjukkan beliau ini, bukanlah insan yang layak dinobatkan sebagai Menteri atau pemimpin. Kebobrokkan beliau dalam UMNO amatlah kecil, dan pastinya banyak lagi permasalahan lain atau rasuah yang beliau lakukan dapat dibongkar jika siasatan dijalankan dengan telus melalui Badan Pencegah Rasuah.

DPPWP mendesak kepada semua ahli PAS, UMNO dan rakyat, khususnya penduduk Wilayah Persekutuan untuk hadir ke Perhimpunan Rakyat pada hari selasa ini bagi menunjukan kebersamaan dalam menolak Isa Samad sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. Biarlah Wilayah dipimpin oleh Ahli Parlimen yang bersih dari gejala busuk sebegini.

Ayuh!!! kita hadir, suarakan hak rakyat. Kita berhak mendapatkan pemimpin yang lebih adil dan bersih dari perbuatan jenayah rasuah.

DPPWP juga berharap agar pihak Polis dapat memberikan kerjasama dan tidak diRASUAH bagi menganggu perhimpunan aman ini. Insya Allah kerjasama semua pihak bakal menyaksikan perhimpunan ini berjalan dengan aman.

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

TAWARIKH BULAN JUN : PEMIMPIN BN GONCANG PEMIMPIN BA TERUS KUKUH

Image hosted by Photobucket.com

KENYATAAN MEDIA (27 Jun 2005)

Kuala Lumpur, 27 Jun 2005 : Bulan Jun 2005 politik Negara dimulai dengan semangat demokrasi terpimpin yang di’hijau’kan dalam PAS. Muktamar PAS yang berlangsung diputik pada awal bulan ini menjadi wadah kecemerlangan pemikiran positif ahli yang melantik kepimpinan baru dalam nada persaudaraan.

Serangan bertali arus dari media utama Negara yang disadurkan dengan tohmahan politikus pemimpin BN berjaya dihadam oleh ahli PAS yang akhirnya melakarkan kemenangan manis dengan terlantiknya Ust. Nasaruddin Mat Isa sebagai Timbalan Presiden PAS.

Kerusi panas jawatan Naib Presiden berjaya disejukkan dengan kehadiran YB. Husam Musa, Hj. Mohamad Sabu dan Dato’ Dr. Hassan Ali. Kehadiran trio ini umpama mimpi ngeri buat BN dalam pertembungan dimensi politik Negara.

Tidak cukup dengan itu, kehadiran semula beberapa orang pemimpin PAS yang tidak dipilih dalam Muktamar ke dalam Jawatankuasa PAS Pusat seperti YB Senator Hj. Hassan Shukri, Dato’ Mustapha Ali dan beberapa tokoh lagi telah menguatkan lagi kesatuan dan kekuatan jentera kepimpinan parti.

Suara keramat Pemuda melalui pimpinan YB Salahuddin Ayub berjaya membuatkan pemimpin UMNO terkebil – kebil. Tohmahan mereka bahawa pemuda PAS layu dan tidak berani mengkritik pemimpin telah diketepikan dan laungan takbir pemuda PAS berjaya menenggelamkan kesayuan hasrat UMNO yang ingin melihat pemuda berpecah melalui ‘anai – anai’ tajaan mereka.

Disebalik berita gembira yang tersinar dibawah lembayung hijau PAS ini seluruh Negara dikejutkan dengan berita – berita malang yang melanda pakatan parti Barisan Nasional.

Motto ‘Satu Lagi Projek Kerajaan Barisan Nasional’ telah membakar perasaan rakyat ekoran tindakan zalim Kerajaan BN di Terengganu ‘ada hari’ yang merobohkan Rumah ALLAH di RTB Bujal seminggu sebelum Muktamar Pas berlangsung.

Kerajaan BN Terengganu marah bila umat Islam Terengganu membina Rumah Allah diatas tanah yang dikuasai BN. Mereka tidak benarkan ALLAH bina rumah dimuka bumi ciptaanNya. Apakah keramat BN hingga mengkhianati hak ALLAH. Perlukah lesen dan kebenaran untuk bina rumah ALLAH ditanah milik ALLAH?

Lantas, atas dasar kesedaran yang tidak berbelah bahagi umat Islam bangkit berhimpun dihadapan Wisma Darul Aman pada 19 Jun 2005. Bukan sahaja mereka tidak peduli isu perobohan rumah ALLAH, YB Rasul yang tidak maksum yang ditemui hanya sibuk berbicara tentang keretanya yang kononnya dicalarkan oleh pendemo.

Pada 22 Jun pula, di Melaka, BN melantik ADUN Pantai Kundur, Ab. Rahaman Ab. Karim sebagai Exco mengantikan Datuk Wira ‘Rasuah’ Amid Nordin yang meletakkan jawatan kerana digantung oleh UMNO ekoran terlibat dalam rasuah.

Perjalanan BN kian berliku bila mana Datuk S. Sothinathan dari MIC digantung selama 3 bulan kerana mempertikaikan tindakan Kerajaan yang menarik pengiktirafan Ijazah Perubatan Crimea State Medical University (CSMU) semasa prosiding Dewan Rakyat pada 21 jun 2005. Wira penyokong MIC ini dibiarkan tergantung tanpa pembelaan oleh Presiden MIC yang nyata mengambil sikap individualistik dan tidak berminat mempertahankan hak pelajar India.

Kisah duka BN ini berterusan bila mana rayuan YB Datin Paduka Tan Yew Kew yang digantung oleh MCA selepas dituduh mengedarkan rakaman VCD cetak rompak pergaduhan pemilihan cawangan MCA di jalan Young Klang ditolak. Jawatankuasa Disiplin Parti itu yang bermesyuarat pada 23 Jun 2005 hanya mengurang tempoh penggantungan dari setahun kepada 6 bulan.

Seterusnya, ‘Projek Kerajaan BN’ yang terhangat dipasaran telah meletup didada – dada akhbar tempatan pada 24 Jun 2005. Hits utama menyaksikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad digantung 6 tahun kerana didapati bersalah terlibat dalam merasuah pengundi – pengundi dalam pemilihan UMNO tahun lalu. Kemenangan meragukan yang beliau kecapi sebanyak 1507 undi ternyata adalah hasil dari wang rasuah yang beliau berikan.

Tawarikh politik negara sepanjang bulan Jun benar – benar mengejutkan ramai pemerhati politik yang menganggap PAS telah terkulai layu dipersada politik Negara ekoran kekalahan dalam Pilihraya 2004. Kebangkitan semula PAS yang dilakarkan pada bulan Jun ini bakal merintis jalan perjuangan yang getir buat BN yang kini berlayar dengan bahtera bocor di kiri dan kanan.

Ombak reformasi yang satu ketika dahulu ditiupkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim kini kian terasa semula. Kebangkitan rakyat kini semakin terasa ekoran dasar – dasar ‘mentah’ Kerajaan BN dalam mentadbir Negara. Dari isu Minyak, Tol, Kos pengangkutan, kini rakyat dibebani pula dengan isu penswastaan air, khidmat perubatan, isu jarum dan kondom percuma dan banyak lagi.

Rakyat semakin keliru dan marah kerana pemimpin BN yang semakin goncang ini telah cuba mengoncangkan kesabaran rakyat. Semoga rakyat dapat mengingati kezaliman BN ini dan bangkit membuat perubahan di Pilihanraya akan datang.

“Mendepani Cabaran, Paksi Kebangkitan Perjuangan”

Khuzaini Rahman
Setiausaha
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan


JARUM DAN KONDOM FREE UNTUK PELACUR ‘DARURAT’

KENYATAAN MEDIA (27 Jun 2005)

Kuala Lumpur, 27 Jun 2005 : Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menentang sikap dungu Kerajaan BN yang masih berdiam diri dan berdegil untuk meneruskan pemberian Jarum dan kondom percuma kepada para penagih bagi menyelesaikan masalah penularan wabak HIV.

Belum lagi program membazir ini dilaksanakan, Dr. Mashitah pula memulakan hanyunan sumbang beliau melalui jawapan penuh kesamaran dalam warta Harian Metro pada 19 Jun yang lalu.

Ternyata kenyataan beliau itu telah mendatangkan banyak kegusaran dan kelam kabut dalam masyarakat, khususnya bagi mereka yang gagal menafsirkan maksud ‘darurat’ yang dinyatakan beliau. Jika dibaca dalam soalan yang diberikan, ternyata Dr. Mashitah hanya menjawab maksud istilah ‘terpaksa’ dan tidak menjawab soalan lain secara keseluruhannya.

Tindakkan cuai beliau ini seolah – olah memberikan jalan pintas bagi ibu – ibu tunggal yang merasakan diri mereka ‘terdesak@darurat’ untuk menjerumuskan diri ke dalam sindiket pelacuran.

Seharusnya beliau bertanggungjawab untuk memperincikan jawapan beliau dan mematikan polemik kekeliruan yang melanda masyarakat kini. Seandainya perkara ini tidak diselesaikan maka akan bertambahlah masalah HIV dalam Negara melalui kepesatan Industri Pelacuran Negara yang turut disertai oleh golongan ibu tunggal yang asalnya tidak berdosa.

Sambutan ‘cemerlang, gemilang dan terbilang’ pastinya dilagukan bagi meraikan penyertaan mereka dalam industri dosa ini. Tidak cukup dengan itu, insentif kondom yang ditaja oleh Kerajaan BN bakal menyemarakkan lagi nafsu buas mereka yang mungkin bertambah khayal dibawah pengaruh dadah ekoran jarum free cap BN.

Oleh itu DPPWP, berasa bertanggungjawab untuk meneruskan bantahan ini dan kita berharap agar rakyat bangkit menyemarakan tentangan hinggalah kerajaan dapat membatalkan hasrat pembaziran ini.

Kamaruzaman Mohamad
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Saturday, June 25, 2005

ISA SAMAD WAJIB LETAK JAWATAN MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN

Image hosted by Photobucket.com
MOHD. ISA Abdul Samad di kediamannya di Kampung Sri Rusa, Port Dickson malam tadi selepas beliau digantung keahlian UMNO selama dua penggal. - Gambar MD. SHAHJEHAN MAAMIN.

KENYATAAN MEDIA (26 Jun 2005)

Kuala Lumpur, 26 Jun 2005 : Pada pagi 24 Jun 2005, Panel Lembaga Disiplin UMNO yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail telah menjatuhkan hukuman penggantungan keahlian selama 6 tahun kepada Naib Presiden UMNO, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.

Mohd Isa telah disabitkan bersalah atas 5 pertuduhan daripada 9 pertuduhan asal rasuah (politik wang). Antara pertuduhan yang dikemukakan adalah berhubung amalan rasuah termasuk membabitkan penganjuran pertemuan, mengadakan majlis makan dan memberi wang untuk membeli undi.

Perbuatan rasuah ini telah dilakukan oleh Mohd. Isa melalui agennya merangkap Setiausaha Politik beliau, Salim Shariff ketika bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan September tahun lalu.

Dalam pertandingan tujuh penjuru bagi jawatan itu, Mohd. Isa berada di kedudukan teratas dengan 1,507 undi diikuti Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam mendapat 1,329 undi, manakala Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin di tempat ketiga dengan 1,234 undi.

Penggantungan ini telah mengesahkan segala desas desus berhubung kemenangan besar beliau dalam Pemilihan UMNO yang lalu. Ini sekaligus menunjukan bahawa UMNO bukan sahaja busuk diperingkat bawahan tetapi sememang membusuk dari peringkat atasan.

Keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin UMNO ini benar – benar mencalarkan karier politik Mohd Isa. Beliau seharusnya berundur serta merta sebagai Ahli Parlimen. Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan juga mendesak agar beliau meletakan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan memandangkan beliau juga telah melanggar kod etika penjawat awam.

Jika dirujuk pada Akta Pencegahan Rasuah 1997, beliau kini seharusnya sudah merengkok didalam penjara. Perenggan ke 11, Akta Pencegahan Rasuah 1997 telah menyatakan bahawa;

11. Jika-

(b) mana-mana orang secara rasuah memberikan atau bersetuju untuk memberikan atau menawarkan apa-apa suapan kepada mana-mana ejen sebagai dorongan atau upah bagi melakukan atau tidak melakukan, atau kerana telah melakukan atau tidak melakukan apa-apa perbuatan berhubungan dengan hal-ehwal atau perniagaan prinsipalnya, atau bagi memberikan atau tidak memberikan sokongan atau tentangan kepada mana-mana orang berhubungan dengan hal-ehwal atau perniagaan prinsipalnya;

dia adalah melakukan suatu kesalahan.

Perenggan ke 16 pula menyatakan bahawa;

16. Mana-mana orang yang didapati bersalah atas suatu kesalahan di bawah seksyen 10, 11, 13, 14 atau 15 boleh apabila disabitkan-

(a) dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada empat belas hari dan tidak lebih daripada dua puluh tahun; dan

(b) didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Malangnya UMNO telah memutar belitkan perkataan RASUAH kepada POLITIK WANG dan menghalang Badan Pencegah Rasuah untuk membuat siasatan berdasarkan perundangan Negara dengan alasan bahawa perbuatan itu terkandung dalam soal – soal peribadi UMNO.

Amat jelek rasanya bila Wilayah Persekutuan diwakili oleh seorang Menteri yang jelas mengamalkan rasuah. Baru – baru ini juga, beliau telah kemaruk Kuasa Datuk Bandar Kuala Lumpur dan cuba mengurangkan kuasa yang telah diperuntukkan dalam Perundangan Kerajaan Tempatan.

Perbuatan beliau ini adalah satu perkara yang amat memalukan UMNO kerana status beliau bukanlah Ketua Cawangan, beliau adalah pemimpin tertinggi Nombor Tiga dalam UMNO. Beliau gagal menunjukan sikap yang baik dan seharusnya beliau keluar dari Kementerian Wilayah Persekutuan dan dikeluarkan dari senarai ahli Kabinet.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mencabar Pak Lah untuk mengambil tindakan tegas terhadap Mohd Isa seperti mana tindakan tegas yang diambil terhadap YB Sothinathan. Walaupun perbuatan Isa ini berlaku diluar Parlimen tetapi ianya telah menjejaskan nama baik Institusi Tertinggi Negara itu selaku ahli Parlimen dan ianya boleh dianggap sebagai perbuatan menghina kredibiliti Parlimen dan penjawat awam.

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Friday, June 24, 2005

Antara Pengantungan YB Sothinathan dan Kereta YB Rasol


KENYATAAN MEDIA (25 Jun 2005)

Kuala Lumpur, 19 Jun 2005 : Dunia politik dalam Barisan Nasional (BN) hari ini semakin mengelikan hati rakyat. Belum lagi habis berbicara soal Jarum dan Kondom kini BN membuat kejutan baru dengan mengantung Datuk S. Sothinathan sebagai Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli selama tiga bulan, berkuat kuasa serta-merta. Tidakkan tidak profesional ini berlaku setelah YB Sothi mengkritik kerajaan berhubung isu Universiti Perubatan Crimea State (CSMU), Ukraine.

Walaupun berdepan dengan tindakan pergantungan, semangat beliau untuk perjuangkan hak Pelajar India yang belajar di Ukraine telah membakar kesatuan BN dengan MIC. Cuma kita agak simpatik kerana BN bersikap tidak profesional dan menolak kritikan yang baik oleh beliau. Sikap BN yang tidak boleh dikritik ini mengambarkan pada masyarakat bahawa BN adalah kesatuan parti kuku besi.

BN tidak memperjuangkan rakyat tapi lebih kepada perjuangan peribadi pimpinan BN. Masyarakat minoriti India yang sememangnya ramai belajar di Ukraine menjadi mangsa bila isu ini tidak diselesaikan secara baik. Ahli MIC menjadi kambing hitam selepas pimpinan tertinggi BN berkeras untuk meneruskan penarikan balik pengiktirafan ijazah perubatan CSMU di Ukraine oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

span >Keadaan berbeza di Terengganu, Exco – exco yang telah membuli masyarakat RTB di Terengganu terus mendapat sanjungan BN. Kini YB. Rasul yang tidak maksum itu, kecoh pula tentang kereta beliau yang dicalarkan oleh pendemo yang berhimpun secara aman di hadapan Wisma Darul Iman pada 19 Jun yang lalu.

DPPWP berpandangan bahawa isu kereta beliau yang calar itu adalah perkara kecil dan dimaklumkan bahawa insiden itu sebenarnya tidak dilakukan oleh pendemo pada hari itu. Apa yang mereka cuba alihkan sebenarnya adalah tentang isu perobohan RTB termasuklah Masjid di kg. Bujal.

YB Rasol lebih sayangkan kereta Mercedes beliau berbanding rumah Allah yang mereka robohkan dengan jentolak. Ingat, Rumah Allah itu bukan setakat calar tapi rebah menyembah bumi. Dimaklumkan bahawa perobohan itu dibuat tanpa mengeluarkan naskhah Al-Quran yang disimpan dalam Masjid. Jadi runtuhan Masjid itu telah turut menghimpit kitab suci Allah itu ditengah – tengah kutukan malaikat kepada pimpinan zalim UMNO.

Inilah bezanya perjuangan UMNO dan BN dengan PAS dan BA. PAS dan BA membenarkan ahlinya mengkritik pimpinan dan dasar yang diamalkan secara terbuka pada bila – bila masa termasuklah dalam Muktamar atau Mesyuarat Agung. Kerana kita yakin bahawa pandangan ahli itu perlu diberikan perhatian dan kita tiada masalah untuk bermuhasabah.

Kita perjuangkan nasib rakyat, walaupun kita sendiri ditekan oleh kerajaan zalim BN. Kita cuba sedaya mungkin untuk pastikan rakyat dapat hidup selesa ketika PAS perintah Terengganu.

Tapi BN bukanlah sebegitu. Mereka bukanlah sandaran yang baik. Mereka gantung dan pecat ahli atau pimpinan yang baik dan berani menegur . Pimpinan yang kaki ampu, kaki rasuah diberikan tempat yang baik dalam UMNO dan BN. Samy Vellu pula kini semakin takut bersuara untuk Perjuangkan YB Sothi kerana dia juga banyak masalah dalam Kementerian Kerja Raya.

Keadaan ini menunjukan bahawa suara orang India melalui MIC semakin terhimpit dalam BN yang mengamalkan sikap double standard untuk kaum minoriti itu. PAS dan BA sedia perjuangkan nasib masyarakat India dan kita juga tiada masalah untuk membantu mereka khususnya yang terbiar diladang – ladang luar bandar. Walaupun PAS dan BA tidak semewah UMNO dan BN, tapi roh perjuangan yang ada dalam PAS dan BA lebih berani untuk suarakan kesakitan hidup rakyat.

Semoga rakyat dapat membuka mata untuk bangkit membuat perubahan. Rakyat derita BA juga merasainya, tapi pimpinan BN tetap angkuh dan bersikap individualistik. Mereka naikan elaun ahli parlimen tapi rakyat terpaksa tanggung melalui kenaikkan harga petrol dan diesel. Tidak lama lagi subsidi diesel pula akan dimansuhkan, perkhidmatan hospital dan air diswastakan, maka rakyat akan lebih menderita lagi.

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Kami Bantah Konsert 'Inul Live In Genting'

Image hosted by Photobucket.com

KENYATAAN MEDIA (25 Jun 2005)Kuala Lumpur, 25 Jun 2005 : Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyokong penuh bantahan yang diutarakan oleh Dewan Pemuda PAS Pahang berhubung penganjuran Konsert Inul Darastita di Genting Highlands pada 25 Jun 2005 malam ini.

Sebelum ini, pada 1 Mei yang lalu beliau telah melakukan aksi 'Gelek Gerudi' (Lihat Gambar DiBawah) di Stadium Merdeka dengan kelulusan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia. Kali ini, tanpa terduga beliau berani untuk kembali lagi bagi melakukan aksi - aksi serupa yang mana ianya telah turut menerima bantahan dari masyarakat Indonesia melalui Majlis Ulama Indonesia (MUI).

Image hosted by Photobucket.com

DPPWP menyeru kepada umat Islam di Malaysia agar memboikot artis ini dan tidak menghadiri konsert ini. Pastikan tiada kalangan sahabat dan saudara mara anda membeli tiket untuk melihat persembahan beliau sebagai tanda protes. Perlu diingat bahawa konsert ini bakal berlangsung Di Genting Highland, antara pusat perjudian terbesar di Asia. Fikirkanlah bahana bala Allah yang mungkin terjadi dipuncak genting seandainya kita masih menyokong aktiviti maksiat sebegini.

Tidak salah jika ada artis luar, apa lagi artis muslim dari dalam negara yang ingin mengadakan konsert. Tetapi biarlah dalam keadaan yang menutup aurat, tidak menghairahkan dan melalaikan umat Islam dari mengingati Allah. Hormatilah saudara seagama dan seakidah. Bagi artis - artis bukan beragama Islam, DPPWP menasihatkan agar mereka dapat menjaga adab berpakaian dalam erti kesopanan yang sebenar selaras dengan budaya dan adab resam rakyat Malaysia yang bertatasusila.

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Pelaburan RM 24 Billion Kerajaan BN Untuk TUDM Tidak Berbaloi

Image hosted by Photobucket.comImage hosted by Photobucket.com

-Pesawat Hawk 208 Yang Terhempas-

KENYATAAN MEDIA (24 Jun 2005)

Kuala Lumpur, 24 Jun 2005 : Lajnah Kebajikan Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mengucapkan takziah kepada balu juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Allahyarham Kapten Yusairi Kliwon yang terbunuh selepas pesawat pejuang Hawk 208 yang dipandunya terhempas di Labuan pagi semalam.

Sebanyak lapan kemalangan telah berlaku membabitkan pesawat itu sejak September 1995 hingga Disember 2003. Kali terakhir, nahas berlaku di Pantai Sepat, Pahang, pada 2003. dan terkini berlaku di labuan pada pagi semalam. Rentetan, tragedi malang ini semakin menghantui Tentera Udara DiRaja Malaysia.

Berita harian pagi ini melaporkan bahawa;

“Pada 1996, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika itu, Jeneral Tan Sri Ismail Omar, mendedahkan semua 28 pesawat Hawk MK108 dan MK208 yang dibeli Malaysia, tidak dapat digunakan sepenuhnya sejak 1994.

Beliau berkata, kerosakan 40 komponen, kebanyakannya berkaitan sistem avionik yang sensitif kepada iklim dan cuaca, selain ketiadaan pakar tempatan serta alat ganti dikenal pasti punca masalah itu.”

DPPP melihat bahawa Kerajaan gagal membuat penilaian dengan baik sebelum mengadakan kontrak jual beli bagi 10 pesawat Hawk siri 100 (MK108) dan 18 siri 200 (MK208) yang dibekalkan British Aerospace Systems (BAE) menerusi kontrak pembekalan pesawat bernilai RM2.4 bilion pada 1994.

Malaysia telah banyak membazirkan wang untuk membeli pesawat – pesawat ini dan kos penyelenggaraan yang terpaksa dibuat di Britain sangat tinggi.

Image hosted by Photobucket.com

-Pesawat Hornet FA-18D-

Kini TUDM juga terpaksa mengunakan khidmat juruterbang yang belum berpengalaman untuk berlatih menerbangkan pesawat canggih yang baru dibeli iaitu Hornet FA-18D dan MiG-29. Kita khuatir jika sikap tidak bertanggungjawab ini diteruskan, maka ramailah anak tempatan menjadi korban seperti Allahyarham Kapten Yusairi Kliwon. Selain itu Kerajaan akan membazirkan jutaan ringgit yang telah dibelanjakan bagi memberi pesawat tempur yang mahal ini.

DPPP berharap agar para juruterbang TUDM diberikan latihan dan pengalaman melalui program latihan diluar Negara secukupkan sebelum kerajaan membeli sesuatu pesawat. Latihan penyelenggaraan enjin pesawat aerodinamik perlu diberikan bagi memastikan Malaysia mampu menyelenggara pesawat sendiri dan tahu perincian masalah yang berlaku pada tiap pesawat.

Tidak guna jika Malaysia bangga memiliki pesawat canggih Top Gun ini, kalau juruterbang kita gagal diberikan peluang menguasainya terlebih dahulu. Negara lain pasti akan mentertawakan Malaysia, kerana semua pesawat telah terhempas sebelum sempat berjuang dimedan tempur sebenar.

Kita berharap agar Kerajaan dapat membantu TUDM dengan memberikan peruntukan latihan yang sewajarnya bagi memastikan pejuang – pejuang Negara yang berkhidmat dalam TUDM berada dalam keadaan selamat.

DPPP mendesak agar balu yang baru dinikahi oleh Allahyarham pada awal bulan ini dan keluarga Allahyarham diberikan pampasan dan bantuan yang sewajarnya. Semoga Allah menempatkannya dikalangan orang – orang yang beriman.


Riduan Mohd Nor
Pengerusi
Lajnah Kebajikan Dewan Pemuda PAS pusat dan,

Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Saturday, June 18, 2005

“Jarum dan Kondom Percuma” - Satu Lagi Projek 'Gila' Kerajaan BN

KENYATAAN MEDIA (19 Jun 2005)

Image hosted by Photobucket.com

Kuala Lumpur, 19 Jun 2005 : Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) kesal terhadap tindakan pihak Kerajaan BN dibawah pimpinan Pak Lah yang enggan mendengar pandangan rakyat terhadap isu pemberian jarum, dan kondom percuma bermula Oktober ini.

Adalah menjadi satu trend bagi Pak Lah pada hari ini untuk menuruti bulat – bulat saranan dari Menteri di Kementerian tertentu bagi menangani isu – isu besar dalam Negara tanpa membuat kajian yang terperinci dan perbahasan yang menyeluruh. Pak Lah gagal memainkan peranan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang mampu berdikari. Beliau hanya mampu menjadi ‘Pak Angguk ‘ kepada apa jua saranan yang diberikan oleh anak buahnya di Peringkat Kementerian dan Kabinet.

Pandangan dan idea yang tidak diperhalusi seperti isu pemberian jarum dan kondom percuma melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) benar – benar menyentap rasa kesal rakyat diatas ketidakefisienan pengurusan Pak Lah yang gelabah dalam menangi isu HIV/AIDS dalam Negara.

Keputusan muktamad telah dibuat tanpa meminta pandangan pihak – pihak lain terlebih dahulu. Melalui media tempatan Pak Lah dan Dr. Chua hanya memasarkan idea politik mereka untuk meminta pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan, tetapi hakikatnya keputusan telah dibuat. Kenyataan Pak Lah bahawa projek ini tetap dilaksanakan pada Oktober ini menutup ruang perbincangan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan dan khalayak sebenarnya. Tindakkan tidak ikhlas ini mengelirukan rakyat dan memberikan laluan yang amat mudah untuk Kerajaan BN melaksanakan Idea dangkal ini.

Berita Harian baru-baru ini melaporkan bahawa Dr Chua telah mengatakan

“kerajaan dijangka cuma membelanjakan RM145 juta setahun bagi memberi jarum suntikan dan kondom percuma kepada 130,000 penagih dadah, yang dipercayai mampu mencegah 90,000 kes baru jangkitan HIV. Perbelanjaan itu tiga kali ganda lebih murah berbanding kos membeli ubat untuk 90,000 penghidap HIV baru yang dianggarkan RM500 juta setahun.”

Alasan ini dilihat seperti satu pandangan yang logik dan bijak. Namun mengikut perincian yang dibuat, jumlah penagih dadah ini hanyalah 0.5% dari Jumlah keseluruhan rakyat Malaysia sehingga suku tahun kedua 2005 yang keseluruhannya kini berjumlah 26.13 juta orang.

DPPWP juga mendapati bahawa 85% dari jumlah penagih yang dilaporkan oleh KKM merupakan penagih yang bekerja dan mereka adalah kelompok 1% dari jumlah keseluruhan tenaga kerja aktif dalam Negara yang berjumlah 10.55 juta orang.

Keadaan ini seharusnya menjelaskan kita bahawa para penagih yang direkodkan ini kebanyakannya terdiri dari mereka yang bekerja dan mampu membeli dadah sendiri. Jadi saranan kerajaan membelanjakan RM 145 juta untuk memberikan jarum suntikan dan kondom percuma untuk mereka dilihat sebagai elaun untuk mereka meneruskan aktiviti yang tidak sihat.

Penagih ini tetap akan mencari sumber – sumber dadah ‘asli’ sebagai makanan utama dan Metadon percuma yang diberikan oleh kerajaan hanyalah ‘Vitamin’ untuk mereka yang hakikatnya juga adalah dadah.

Menurut Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Dzulkifli Abdul Razak dalam tulisan beliau dalam Majalah Kosmik Bil. 3 tahun 1995 yang bertajuk ‘KUMPULAN DADAH NARKOTIK ‘;

“Metadon ialah satu lagi narkotik tiruan. Selalunya ia digunakan untuk mengawal proses detoksifikasi ataupun ‘pembuangan’ narkotik lain daripada tubuh penagih. Ini kerana walaupun kesannya sama dengan narkotik lain, kesan tersebut tidak seteruk dan secepat jenis lain. Metadon juga boleh disalahgunakan dan menyebabkan maut. “

Jelas di sini bahawa Projek KKM ini, juga pastinya tidak dapat menyelesaikan isu penagihan baru dan berulang yang terus meningkat. Adakah kerana Kerajaan ingin menjimatkan budget, jalan pintas sebegini perlu dikuatkuasakan.

Walaupun di Iran, projek sebegini berjaya namun peningkatan penagih baru tetap berlaku. Di Amerika, projek ini telah gagal dan menyebabkan peningkatan mendadak penagih dadah baru.

Kerajaan melalui Jabatan Anti Narkotik PDRM seharusnya menyelesaikan isu pengedaran dadah dalam negara. Malaysia yang kini dijadikan Negara Transit kepada Industri Perdagangan Dadah Antarabangsa bagi Asia Tenggara seharusnya punyai agenda yang serius untuk membanteras sindiket dadah yang berleluasa dalam Negara.

Kerajaan gagal menangani perkembangan Industri Dadah dalam Negara, jadi mengapa perlu Kerajaan menaburkan baja bagi membiakkan benih penagihan ini. Isu penularan penyakit HIV hanyalah satu alasan untuk meluluskan agenda bodoh Kerajaan bagi mendorong penagih dadah yang menguasai 85% dari jumlah penghidap penyakit HIV yang dikesan hingga 2003 meneruskan aktiviti.

Kondom percuma yang bakal diedarkan pula bakal meningkatkan lagi pendapatan tahunan sindiket pelacuran dalam Negara kerana mereka tidak perlu lagi memasukkan pakej Kondom percuma dalam perniagaan yang mana telah diberikan subsidi oleh Kerajaan BN.

Menurut Pegawai Pencegah Maksiat, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, Asisten Supritendan Choo Lily, sejak 1996 hingga Februari 2003, sebanyak 17,448 wanita rakyat asing telah ditangkap kerana terlibat dalam aktiviti Pelacuran. DPPWP menjangkakan bahawa sindiket ini bakal meningkatkan kapasiti perkhidmatan mereka ekoran Skim Penggalakan Kerajaan BN melalui kondom percuma.

Pihak Kerajaan BN harus menerima hakikat bahawa mereka tidak boleh mengawal aktiviti Seks penghidap HIV dan pengedaran Kondom percuma itu nanti, pastinya tidak akan dapat memastikan bahawa orang yang diberikan Kondom itu akan mengunakannya ketika bersama dengan Isteri sahaja.

Penyalahgunaan kondom untuk tujuan melanggan pelacur atau melakukan aktiviti Seks bebas pastinya akan berlaku. Ini akan seterusnya akan menggalakan perkembangan Industri Maksiat dalam Negara.

Jadi, DPPWP bertanya kepada pihak Kerajaan BN, di manakah logik yang mereka ingin gunakan bagi menyelesaikan masalah dadah dan penghidap HIV dalam Negara? Dalam kesungguhan Kerajaan BN untuk mengurangkan kos membeli ubat untuk 90,000 penghidap HIV yang dianggarkan RM500 juta setahun ini Kerajaan BN sebenarnya telah merangka pelan jangka panjang untuk meningkatkan kewujudan kumpulan pengidap HIV generasi baru.

Kerana ingin menyelesaikan masalah 130, 000 orang penagih ini Kerajaan bakal mewujudkan 50% lagi penagih baru dan penghidap HIV setiap tahun melalui Skim Penggalakan Pemberian Jarum Suntikan percuma.

Percubaan yang tidak mendatangkan faedah ini, seharusnya tidak dilaksanakan kerana pada masa akan datang budget RM 145 juta oleh Kerajaan ini tetap akan meningkat ke angka RM 500 juta atau lebih ekoran Kerajaan sendiri tidak dapat mengawal kepesatan Industri Pengedaran Dadah dan Pelacuran dalam Negara secara serius. Jika tiada punca atau sumber pastilah gejala Dadah dan HIV tidak melanda Negara.

Oleh itu DPPWP berharap agar Kerajaan menghapuskan Punca penyebaran dadah dan HIV ini secara serius. Jika dilihat dari data penghidap penyakit HIV ini, kebanyakkan sumber utama mereka mendapat penyakit ini adalah dari perkongsian jarum suntikkan dan penjualan dadah dipasaran serta pelacuran yang dilakukan dibalik Kelab – Kelab Malam dan pusat maksiat lainnya.

Oleh itu, pihak Kerajaan harus telus untuk memantau dan mengurangkan kewujudan pusat Hiburan ini. Kerajaan bangga mengatakan bahawa projek pemberian Jarum dan Kondom di Iran berjaya mengatasi masalah HIV, namun hakikatnya Kerajaan tidak mengambil insiatif seperti Kerajaan Iran yang mengurangkan pusat – pusat maksiat yang menjadi sarang penetasan HIV ini sebenarnya.

DPPWP berharap agar Kerajaan mengambil kira pandangan rakyat dan NGOs dan tidak terus menguatkuasakan cadangan atas nama Skim Perintis atau Eksperimen. Eksperimen bernilai RM 145 juta ini amat berat bagi rakyat meluluskannya memandangkan keadaan ekonomi semasa tidak mengizinkan. Subsidi diesel yang bakal dihapuskan seharus tidak berlaku seandainya projek ‘gila’ KKM ini tidak dilakukan.

Kerana 130 000 orang penagih ini, Kerajaan bakal menyusahkan 26 juta rakyat Malaysia yang tidak bersalah. Rakyat bakal mengecapi kenaikkan harga barang dan Cukai yang tinggi bagi menyara 130 000 penagih dadah ini. Inilah Projek sebenar Kerajaan BN yang hakikatnya hanya tahu untuk menyusahkan rakyat.

Kini, tradisi membela rakyat telah hilang dari agenda Kerajaan, BN yang ada pada hari ini telah merosakkan kerajaan. Projek Jarum dan kondom ini pula bakal menjadi rebutan bagi Pemimpin BN menaikkan kroni masing – masing melalui tender penyediaan prasarana untuk projek ‘gila’ ini. DPPWP menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar berani untuk menegur kesilapan pengurusan Kerajaan BN dan bangkit membuat perubahan dalam Pilihanraya akan datang.

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekut
uan

Sunday, June 12, 2005

UMNO KEMARUK KUASA DATUK BANDAR KUALA LUMPUR

KENYATAAN MEDIA (13 Jun 2005)

Kuala Lumpur, 13 Jun 2005 : Pada minggu lepas warga kota ditayangkan dengan sebuah sandiwara remang – remang kotaraya edisi 2005 yang diarahkan oleh pimpinan UMNO Wilayah Persekutuan berhubung kuasa Datuk Bandar Kuala Lumpur. Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) melihat bahawa desakan UMNO Wilayah Persekutuan untuk menghadkan kuasa Datuk Bandar Kuala Lumpur adalah satu cadangan Politik semata – mata.

DPPWP meragui strategi yang dilakukan dalam mendesak agar kuasa Datuk Bandar Kuala Lumpur itu dihadkan. Seharusnya UMNO Wilayah Persekutuan memahami bahawa Akta Ibu Kota Persekutuan, 1960 (Akta 190) telah memberikan penjelasan yang cukup berhubung bidang kuasa dan juga tanggungjawab Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk melapor pada Menteri di Kementerian Wilayah Persekutuan.

Cadangan agar Ketua UMNO Bahagian di Wilayah Persekutuan diberikan peluang untuk bersama – sama menentukan dasar dan pentadbiran DBKL menunjukan bahawa UMNO sebenarnya kemaruk kuasa. DPPWP tiada masalah jika ahli Parlimen yang mewakili setiap Parlimen di Wilayah Persekutuan diberi ruang untuk terlibat dalam urusan menentukan dasar dan pentadbiran DBKL kerana itu hak mereka sebagai wakil rakyat. Tetapi, biarlah suara semua ahli Parlimen diterima secara sama rata dan bukannya mewakili satu parti politik sahaja.

Tuntutan pimpinan UMNO agar mereka juga dilibatkan dalam soal penentuan dasar DBKL menunjukan bahawa mereka cuba menguasai DBKL dan pentadbirannya. Seandainya ini berlaku maka pastinya Kuala Lumpur ini akan dipergunakan oleh UMNO untuk mengaut segala peluang melalui DBKL demi kepentingan parti UMNO sahaja. Akhirnya DBKL akan menjadi Dewan Bandaraya UMNO pula.

Segala lesen premis, cukai – cukai dan perundangan pastinya akan dikuasai oleh UMNO. Mereka pastinya akan mempergunakan DBKL untuk membina lebih banyak kekayaan melalui pelbagai projek pembangunan DBKL. Segala tender - tender dan peluang projek pembangunan akan diberikan pada kroni - kroni UMNO dan ini akan menafikan hak kontraktor lain yang berkelayakkan yang bukan kroni UMNO.

Perlu diingat bahawa Kuala Lumpur ini merupakan sebuah metropolitan yang dihuni bukan sahaja oleh orang Melayu. PAS juga parti yang dianggotai oleh orang Melayu, tetapi PAS juga prihatin terhadap hak orang bukan Melayu. Apa kata mereka yang bukan Melayu bila mana Parti UMNO yang membawa suara orang Melayu ini menguasai Bandaraya ini. Pastinya mereka akan melihat bahawa berlakunya satu ketidakadilan yang ketara dalam memberikan hak antara kaum.

Justeru itu, DPPWP melihat bahawa UMNO perlu menarik semula cadangan mereka untuk duduk bersama dalam urusan penentuan dasar DBKL. Isu kuasa Datuk Bandar Kuala Lumpur hanyalah satu tipu helah disebalik agenda tersembunyi UMNO sebenarnya.

DPPWP berpendapat bahawa parti politik dari kalangan Kerajaan dan Pembangkang boleh membantu DBKL melalui penyampaian cadangan dan saranan berfakta melalui saluran dan slot perbincangan awam kepada DBKL . Biarlah kuasa membuat keputusan dalam hal – hal dasar itu diuruskan oleh pihak pentadbiran DBKL yang juga punyai Lembaga Penasihatnya sendiri.

Kementerian Wilayah Persekutuan pula seharusnya bijak dalam menguruskan pembangunan Wilayah Persekutuan dan tidak sekadar bergantung pada DBKL. Tidak wujud persoalan bahawa DBKL lebih berkuasa dari Kementerian Wilayah Persekutuan. Apa yang perlu difahami adalah bidang tugas yang seharusnya dilaksanakan demi kebajikan rakyat.

Sekali lagi DPPWP menegaskan bahawa, pihak DPPWP akan membuat bantahan seandainya UMNO diberikan kuasa dalam menentukan dasar – dasar dan pentadbiran DBKL. Semoga DBKL akan dapat memberikan khidmat yang terbaik untuk kebaikkan semua kaum secara adil di Wilayah Persekutuan dan bukannya untuk penyokong UMNO semata.

“Mendepani Cabaran, Paksi Kebangkitan Perjuangan”

Riduan Mohd Nor
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Saturday, June 11, 2005

PAKSI KEBANGKITAN PERJUANGAN : BUKAN RETORIK PEMIMPIN DAN AHLI PAS

KENYATAAN MEDIA (06 Jun 2005)

Alhamdulillah, Muktamar Agung PAS kali ke-51 yang berakhir semalam akhirnya telah menjawab segala teka teki yang bermain digelanggang pemikiran seluruh ahli PAS dan rakyat Malaysia.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan setinggi – tinggi tahniah kepada barisan kepemimpinan baru PAS Pusat dan juga Dewan – Dewan PAS Pusat yang telah meraih kepercayaan ahli untuk memimpin PAS bagi sesi 2005 – 2007.

PAS Pusat yang diterajui oleh YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang sebagai Presiden dan Ust. Nasharuddin Mat Isa sebagai Timbalan Presiden yang baru merupakan gandingan dua generasi yang pastinya akan membuka mata pemimpin UMNO dan parti lainnya. Disamping itu, pemilihan YB Hj. Husam Musa, Hj. Mohamad Sabu dan Dato’ Dr. Hassan Mohd Ali sebagai Naib Presiden dilihat sebagai satu ancaman baru kepada gelanggang politik tanahair.

DPPWP juga yakin bahawa perubahan barisan kepemimpinan tertinggi ini juga memperjelaskan lagi sikap ahli PAS yang kini disemarakkan dengan agenda perubahan yang besar terhadap masa depan PAS. Mengorak langkah perjuangan yang ke-51, PAS kini dilihat semakin matang dengan wujudnya ramai barisan pelapis kepemimpinan seperti yang dinyatakan oleh mantan Naib Presiden, Dato’ Mustafa Ali sebelum ini.

Bagi DPPWP, sebelum pemilihan dibuat, telah jelas dikalangan ahli bahawa PAS terlalu ramai pemimpin yang berkebolehan. Siapa pun jua yang dicalonkan sebelum ini, diyakini mampu untuk membawa satu anjakan sikap dan corak kepemimpinan PAS di masa yang mendatang. Hakikat situasi ini terpaksa ditelan oleh UMNO dan kelompok yang satu spesis dengan mereka.

Diharapkan agar perubahan yang diinginkan oleh ahli akan dapat dilakukan oleh barisan pemimpin yang telah diamanahkan tanpa menjejaskan dasar – dasar utama parti. Dalam pada itu, DPPWP juga mengingatkan kepada semua lapisan kepemimpinan dan ahli disemua peringkat untuk memberikan wala’ kepada barisan pimpinan PAS Pusat yang telah dipilih kali ini.

DPPWP telah bersedia untuk memberikan wala’ dan juga bakti kepada semua pemimpin yang telah dipilih. DPPWP juga yakin bahawa pemimpin yang tidak terpilih dalam pemilihan kali ini akan mendapat tempat yang sewajarnya dalam parti, sesuai dengan kepakaran dan bentuk sumbangan yang boleh diberikan.

Tiadanya golongan yang kalah atau menang dalam PAS, yang ada hanyalah golongan yang sentiasa berjaya dalam mengejar keredhaan Allah. PAS bukan seperti UMNO dan parti lainnya yang sanggup bergadai maruah dengan memberikan rasuah dalam pemilihan pucuk pimpinan demi mengejar nafsu dunia. PAS mengajar ahlinya agar mengambil sikap merapatkan ukhuwah disemua peringkat.

Segala perangai dan teladan buruk yang berlaku disemua peringkat sebelum ini, diyakini akan berubah kepada landasan yang baru. Atas dasar bersaudara dan niat berjuang kerana Allah, maka seluruh ahli PAS diharapkan dapat menolak kelompok anai – anai atau mereka yang cuba merosakkan parti dari dalam atau pun luar.

Sikap yang hanya menyebelahi pemimpin tertentu atau berpuak – puak bukanlah budaya dalam PAS. Apa yang kita perlu pertingkatkan kini adalah kekuatan dalaman dan sikap saling tegur menegur secara berhikmah. Alhamdulillah, Muktamar kali ini berjaya dan menjadi ruang muhasabah yang terbuka kepada semua peringkat kepemimpinan dan ahli.

Bumi mana yang tidak pernah ditimpa hujan, rumahtangga mana yang tidak pernah bergoncang, begitulah sejarah yang telah dilalui oleh PAS. DPPWP yakin bahawa sejarah ini pasti akan berulang kerana perjuangan ini umpama roda, adakala PAS diatas, adakalanya PAS dibawah. Yang pasti kekal diatas hanyalah Islam dan juga Allah yang menguasai alam ini.

Pemimpin dan ahli PAS hari ini merupakan rantaian baru yang menjanakan jentera perjuangan di maya pada ini. Kepada semua ahli, harus diingat bahawa Pilihanraya hanyalah salah satu medium dakwah kita, uslub yang lain juga tidak harus dikesampingkan. Perjuangan mendidik rakyat untuk memahami Islam dan kebaikkan agama Allah ini harus diteruskan. InsyaAllah masa depan PAS pasti akan terus gemilang seandainya dasar PAS untuk mendaulahkan sebuah Kerajaan Islam di Malaysia tidak berubah.

Segala usul dan muhasabah yang dibahaskan sepanjang Muktamar harus di lihat dari sudut yang positif. Apa yang dibahaskan bukanlah sekadar muhasabah untuk pemimpin tertinggi parti, muhasabah itu juga telah dilontarkan untuk menyedarkan semua barisan kepemimpinan dan ahli di peringkat Negeri dan Wilayah Persekutuan.

Tidak guna kita berharap agar pemimpin tertinggi parti berusaha untuk berubah dan menjiwai perjuangan ini, seandainya semua lapisan kepemimpinan di peringkat bawahan tidak memberikan wala’ dan membuat perubahan minda serta sikap. DPPWP bimbang seandainya barisan pemimpin yang baru ini dijadikan sebagai tempat sidaian wacana harapan dan idea bombastik ahli sahaja tanpa adanya sokongan dan perlaksanaan dari bawah.

Perubahan menyeluruh perlu dilakukan. Semua lapisan dan jentera parti harus digerakkan ke arah satu matlamat yang sama. Lajnah – lajnah serta Jabatan yang wujud di semua peringkat perlu berdikari dalam memahami mesej dan arahan pemimpin PAS Pusat.

Telah banyak idea dan dasar – dasar telah dibentangkan, namun tidak semua barisan pimpinan peringkat bawahan dapat berfikir jauh untuk melaksanakan segala saranan PAS Pusat. Sebagai contoh, program pentarbiyyahan yang sentiasa menjadi isu utama dalam Muktamar gagal dilaksanakan oleh semua peringkat secara tersusun.

Apa yang ada dalam minda kebanyakkan pemimpin dan ahli bawahan, tarbiyyah itu adalah usrah dan kuliah agama sahaja. Skop tarbiyyah dan juga dasar - dasar lainnya perlu dilihat secara meluas. Pemimpin diatas merangka dasar – dasar utama dan saranan – saranan perlaksanaan, pemimpin dibawah pula harus bijak merealisasikan apa yang telah diperturunkan.

Badan – badan Perhubungan serta Dewan – Dewan PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan harus bijak menelaah massa dan membentuk gerakkan secara berterusan. Sikap proaktif harus disemarakkan melalui program – program massa yang sesuai dengan tuntutan masyarakat tanpa menjejaskan dasar utama PAS.

Jika ada kalangan ahli PAS yang memencilkan diri dari kelompok masyarakat, DPPWP menasihatkan agar keluar dari kepompong lama dan merentasi batas masa untuk bersama rakyat , bak kata pepatah, di mana bumi dipijak, di situ Islam dijunjung. Sikap yang sentiasa berasa lemah dan tidak yakin terhadap masa depan Islam harus dibuang. Sebagai pejuang Islam kita harus bangga menunaikan amanah Allah dan Allah tetap bersama kita walau pun kita sedikit atau pun ramai, walau pun kita susah atau pun senang.

Kerajaan Islam telah bermula dengan golongan yang sedikit, tetapi telah musnah ketika dikuasai oleh golongan yang ramai - ketika Islam menguasai satu pertiga dunia. Fahamilah sejarah ini, janganlah kita rasa lemah kerana kita kalah pada pilihanraya atau tidak menguasai kerajaan sepenuhnya. DPPWP yakin bahawa golongan yang sedikit yang menyertai PAS hari ini bakal mengukuhkan Paksi Kebangkitan Perjuangan yang kita warisi dari Rasulullah. Perjuangan kita bukan kerana bangsa, bukan kerana warna kulit atau perbezaan budaya, Islam yang menjadi dasar PAS sejahtera untuk semua kaum di Malaysia.

Mentaliti sebagai pembangkang harus dipadamkan dari skrin pemikiran semua ahli. Kita harus berfikir sebagai pemerintah dalam erti kata yang sesuai dengan apa yang PAS miliki kini. Kita perlu berusaha menjadi agen kebajikkan dan juga tempat rakyat berkongsi kesenangan dan kepayahan hidup mereka.

Jangan kita jadi macam BN, mereka perintah Negara, kuasai segalanya, tetapi gagal memerintah fikiran dan hati rakyat. Cukuplah kita menguasai corak pemikiran pembangkang sebelum ini, kali ini kita bangkit sebagai golongan kerajaan yang tidak menguasai Negara tetapi menguasai pemikiran dan hati rakyat. InsyaAllah bila semua rakyat bersama dengan PAS dari segi fikrah dan sikap, pasti BN tidak mampu lagi merasuah rakyat bagi mengekalkan kemenangan.

Akhir sekali DPPWP berharap agar satu peningkatan yang positif dapat digerakkan di semua peringkat parti ke arah kebersamaan fikrah yang satu dalam manhaj yang terarah oleh tampuk kepemimpinan yang baru ini. Perjuangan PAS tidak akan pergi jauh seandainya barisan kepemimpinan yang dilantik pada hari ini dibiarkan mengemudi bahtera perjuangan ini bersendirian. Kita harus bekerjasama dalam melakukan tugas masing – masing dan mengelakkan sebarang pertelingkahan yang pastinya akan mengoncangkan bahtera ini dari dalam. Semoga Allah merahmati keikhlasan perjuangan kita semua.

“Mendepani Cabaran, Paksi Kebangkitan Perjuangan”

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Kerajaan BN dijangkiti HIV

KENYATAAN MEDIA (04 Jun 2005)

Kuala Lumpur, 04 Jun 2005 : Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) tidak bersetuju cadangan pihak kerajaan BN untuk memperkenalkan insentif khas kepada golongan penagih dadah.

Berita TV3 pada pukul 8 malam semalam (03 Jun 2005) melaporkan bahawa pihak Kerajaan BN bercadang untuk memberikan insentif khas kepada golongan penagih dadah bagi mengawal perkembangan kes HIV dan AIDS dalam negara.

Dalam cadangan itu, pihak Kerajaan BN berhasrat untuk memberikan peruntukan sebanyak RM 7 Juta bagi membekalkan dadah jenis Metadon, RM 2.5 Juta untuk Jarum Suntikan serta 1 Juta untuk bekalan Kondom secara percuma kepada semua penagih dadah berdaftar dalam negara.

Pihak DPPWP melihat bahawa dasar ini bertentangan dengan hasrat rakyat yang mahu melihat gejala dadah dalam negara dikurangkan hingga ke angka sifar. Ia juga menunjukan bahawa Kerajaan BN gagal menangani masalah ini secara bijak dan menyerah kalah terhadap golongan penagih ini. Inilah bukti bahawa, Kempen Anti dadah seperti 6 Jahanam yang dilancarkan pada awal tahun ini hanyalah satu gimik politik untuk memperbodohkan rakyat.

Adakah Kerjaan BN telah dijangkiti oleh Virus HIV hingga gagal memikirkan jalan lain untuk menyelesaikan masalah dadah dalam negara?

Setelah harga diesel dan petrol dinaikkan atas alasan Kerajaan tidak mampu untuk terus memberikan subsidi kepada rakyat, Kerajaan BN dengan angkuh ingin memalingkan peruntukan itu kepada golongan penagih dadah pula. Rakyat tidak buta dan rakyat akan bangkit kiranya saranan ini diteruskan.

Statistik yang direkodkan melalui Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (NADI) menunjukan bahawa jumlah penagih baru telah meningkat dari 18, 601 orang pada tahun 2003 kepada 19, 810 orang pada 2004. Sebanyak 17, 473 orang bekas penagih kembali menagih pada tahun 2003 dan angka ini meningkat sebanyak 18, 862 orang pada 2004.
Angka – angka ini hanya menjelaskan bahawa program pemulihan yang dijalankan oleh pihak Kerajaan BN gagal untuk menurunkan jumlah penagih aktif dalam negara. Angka – angka ini jugalah yang menyumbang kepada bertambahnya penghidap penyakit HIV yang kini telah melebihi 60, 000 orang dalam negara.

Pandangan Mufti Perak, Dato Seri Harussani Zakaria baru-baru ini yang mencadangkan agar pengidap-pengidap HIV perlu diasingkan harus dilihat sebagai satu cadangan yang positif bagi mengawal merebaknya penyakit AIDS. Cadangan ini perlu dikaji dengan mengambil kesan hubungan sosial penghidap penyakit ini dengan masyarakat dan juga keluarga mereka. Walaubagaimana pun DPPWP tidak berhasrat untuk melihat masyarakat memencilkan penghidap HIV ini atau memisahkan mereka dari keluarga mereka.

DPPWP percaya bahawa konsep pengasingan yang boleh dilakukan adalah dengan mengasing barang – barang keperluan harian termasuk makan minum serta peralatan harian. Pengasingan melalui penjara atau meletak mereka ke satu tempat khas hanya boleh dilakukan kepada penghidap HIV yang degil, enggan memberikan kerjasama dan aktif dalam aktiviti penagihan serta pelacuran.

Selain itu, masyarakat juga harus disedarkan secara lebih positif tentang penyakit HIV agar masyarakat tidak memandang serong kepada golongan ini. Tidak semua penghidap penyakit ini dapat menerima hakikat bahawa mereka menghidap HIV. Golongan suri rumah dan mereka yang tidak bersalah kerana dijangkiti penyakit ini melalui pasangan masing tanpa disedari haruslah diberikan sokongan agar mereka dapat meneruskan hidup dengan baik.

Pendidikan agama dan moral perlu diperbanyakkan hinggalah ke peringkat Universiti dan tempat kerja bagi memastikan rakyat sedar dan berawas tentang perkembangan terbaru gejala HIV ini. Kerajaan harus tegas dan proaktif mengaturkan program membanteras masalah sosial yang wujud akibat adanya program – program hedonisme seperti konsert yang tidak mendidik jiwa rakyat.

Kerajaan tidak boleh bersikap hangat – hangat tahi ayam dan menghabiskan berjuta ringgit dengan sekadar melancarkan promosi politik dan gimik pelancaran kempen – kempen anti dadah dan masalah sosial. Apa yang penting adalah usaha yang berterusan dan penguatkuasaan undang – undang dalam cara yang strategic serta tegas. Tidak guna jika pihak Kerajaan mengadakan pelancaran Kempen Anti Dadah dan Memerangi Gejala Sosial tapi dalam masa yang sama budaya hiburan, konsert hedonisme dan pusat maksiat yang menggalakkan percampuran bebas dibiarkan bermaharajalela.

Sekali lagi pihak DPPWP menegaskan bahawa tindakan Kerajaan BN yang mencadangkan pemberian insentif ini harus ditolak oleh semua rakyat. Peruntukan tersebut boleh digunakan untuk keperluan lain termasuklah memberikan subsidi perubatan kepada rakyat yang miskin.

Kepada semua rakyat, DPPWP menyeru agar dapat memikirkan perkara ini. Rakyat harus menolak BN dalam pilihanraya akan datang kerana telah menaikkan harga minyak yang bebanan ekonomi rakyat meningkat dan dalam masa yang sama BN cuba pula merebakkan gejala sosial dan dadah secara tersusun dalam masyarakat.

Kerajaan apakah ini? Semua kerajaan didunia ingin memakmurkan rakyat, tapi BN pula cuba menjahanamkan rakyat. Ayuh!!! kita tolak Kerajaan BN dan kembalikan hak rakyat.

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

HAPUSKAN BUDAYA SAMSENG SEKOLAH

KENYATAAN MEDIA (04 Jun 2005)

Kuala Lumpur, 04 Jun 2005 : Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) berasa kesal dengan kejadian Buli yang berlaku di Sekolah Menengah Agama Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang baru – baru ini.

DPPWP bersimpati terhadap nasib yang menimpa adik Muhammad Afiq Qusyairi Baharuddin, 13 yang kini terlantar di Wad Institut Kajisaraf Tunku Abdul Rahman (Neurologi) HKL. Jenayah yang dilakukan oleh samseng sekolah ini amat sukar untuk diterima oleh masyarakat.

Setelah setahun kita memperingati pemergian Allahyarham Muhammad Farid Ibrahim akibat dipukul oleh pelajar senior di Sekolah Menengah Agama (SMA) Dato' Klana Petra Ma'amor, Negeri Sembilan kejadian serupa terus berlaku lagi.

Pihak Kementerian Pelajaran perlu bertindak serius dalam mendapatkan laporan rasmi kes – kes disilpin Pelajar secara bulanan selepas ini. Kejadian seumpama ini hanyalah menambahkan trauma terhadap Ibubapa dan pelajar – pelajar Junior.

Budaya orentasi dan sesi suai kenal yang memberikan kelebihan kepada pelajar senior membuli pelajar junior haruslah dimansuhkan. Program – program induksi yang lebih berorentasikan semangat setiakawan dan kasih sayang harus diterapkan oleh semua Sekolah dan pusat pengajian di negara ini.

Pelajar – pelajar asrama harus dipantau oleh warden – warden secara lebih bertanggungjawab. Pihak sekolah dan warden asrama seharusnya bersedia untuk mendedahkan masalah disiplin pelajar kepada pengetahuan pihak Polis dan Jabatan Pendidikan Negeri agar kes – kes disiplin diperingkat Sekolah dapat diatasi.

Budaya ganas seperti ini tidak seharusnya diberikan ruang. Asrama seharusnya tidak disalahgunakan untuk melakukan aktiviti tidak bermoral ini. Justeru itu, pihak PIBG seharusnya berani menegur dan meminta laporan tahap disiplin pelajar dari pihak sekolah bagi memastikan anak – anak mereka selamat disekolah.

Kejadian ini adalah satu perkara yang amat memalukan dan pihak Sekolah berkenaan harus dipertanggungjawabkan atas kegagalan menangani masalah disiliplin pelajar mereka. DPPWP menasihatkan agar para remaja dan pelajar sekolah di negara memperbaiki diri dan disiplin agar mereka boleh melangkah jauh ke hadapan. Jangan rosakkan masa depan diri sendiri dengan menyertai aktiviti yang tidak berfaedah seperti ini. Budaya samseng haruslah dihapuskan dalam diri dan diperbaiki dengan menjadikan semangat berkasih sayang dan hormat menghormati sebagai budaya hidup.

DPPWP juga memperingatkan kepada Kerajaan BN yang angkuh memerintah negara agar mengharamkan segera penyiaran program – program yang mempromosikan keganasan. Aksi – aksi ganas yang dilakukan oleh samseng sekolah ini sebenarnya wujud akibat pengaruh filem – filem ganas yang banyak disiarkan oleh pihak penyiaran seperti RTM, ASTRO, NTV7, TV3 dan TV8.

Konsep 18SG yang pernah dikuatkuasakan oleh pihak Kerajaan sebelum ini tidak lagi dipatuhi oleh kebanyakan syarikat penyiaran dalam negara. Rancangan hiburan ganas termasuklah konsert – konsert heavy metal, rock, rap dan punk yang bukan budaya rakyat Malaysia serta penyumbang kepada perlakuan ganas haruslah diharamkan dinegara ini.

Nada – nada hiburan negara ini perlulah disederhanakan agar tidak terlalu mengundang kepada wujudnya budaya samseng serta perilaku diluar batasan kemanusian. Semoga budaya kasih saying dapat dipromosikan secara meluas bagi mewujudkan masyarakat yang dinamik di masa kini dan akan datang.

Dr. Ishak Ibrahim
Timbalan Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

GARIS PANDUAN HIBURAN SARANAN JAKIM BERCANGGAH DENGAN PERLEMBAGAAN DAN ISLAM HADHARI

KENYATAAN MEDIA (28 Mei 2005)

Kuala Lumpur, 28 Mei 2005 : Kabinet Malaysia telah mengambil keputusan yang bertentangan dengan kehendak masyarakat Muslim di Malaysia pada hari dengan menangguhkan cadangan mewujudkan garis panduan hiburan yang disarankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Alasan untuk membuat kajian semula terhadap saranan yang dianggap bertentangan dengan Perlembagaan hanyalah memperkuatkan lagi dakwaan bahawa Malaysia bukannya Negara Islam. Kempen Islam Hadhari yang dilaksanakan kini hanyalah sekadar gimik untuk memukau Umat Islam di Negara ini yang sebelum ini dihujani propaganda UMNO yang telah mengistiharkan Malaysia sebagai Negara Islam.

Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang sebelum ini pernah menyokong cadangan memansuhkan Undang – Undang Agama Islam oleh Sisters In Islam merupakan antara orang yang kuat menentang Usul JAKIM ini. Alasan beliau bahawa Kementerian Kesenian dan Warisan sudah mewujudkan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) untuk mengawal Industri Hiburan dalam Negara amat kerdil berbanding masalah sosial yang berlaku kini.

PUSPAL hanya mengawal artis – artis dari luar Negara, bagaimana artis yang telah sedia ada? Kerajaan BN seharusnya telah membincangkan perkara ini dan melaksanakannya sejak mereka mula – mula memerintah lagi. Namun kecuaian yang dilakukan sepanjang pemerintahan BN hanyalah menambahkan lagi barah hedonisme dalam Industri Hiburan Negara.

Dr. Rais percaya agama mesti digunakan untuk tujuan keagamaan semata-mata dan tidak dilaksanakan terhadap corak kehidupan rakyat Malaysia seluruhnya. Kepercayaan beliau inilah yang digunakan untuk berhujah dengan Majlis Fatwa Kebangsaan dan JAKIM. Ianya jelas menunjukan bahawa beliau sebenarnya sudah jauh dari apa yang dikehendaki oleh Islam.

Apa yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini adalah merupakan satu cadangan yang konstruktif yang perlukan perlaksanaan. Pemantauan yang dibuat oleh PUSPAL dan Kementerian Penerangan selama ini adalah tidak tetap dan tegas.

Dr Ismail berkata, satu ketika dulu pernah ada garis panduan pakaian untuk persembahan artis wanita di Radio Televisyen Malaysia (RTM), manakala artis lelaki berambut panjang pula perlu memotong rambut untuk persembahan di televisyen.

“Tetapi tiba-tiba ia seperti ia tidak diteruskan. Ini menimbulkan keraguan dan berdasarkan inilah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan memberikan cadangan berkaitan garis panduan bagi pertunjukan hiburan,” katanya.

Oleh itu, pihak Kerajaan perlu mengambil berat terhadap saranan JAKIM dan Majlis Fatwa Kebangsaan. Jangan kerana ingin memuaskan hati golongan tertentu Kerajaan merosakkan rakyat dengan Industri Hiburan yang dicemari oleh racun hedonisme yang sebenarnya ditolak oleh semua agama di Malaysia.

Golongan artis dan badan – badan penyiaran seharusnya menghormati waktu – waktu beribadat umat Islam dengan tidak mengadakan konsert atau program hiburan. Mereka juga perlulah mengamalkan cara berpakaian yang sopan dan menutup aurat serta tidak melampau dalam mengadakan pertunjukan hiburan.

Islam tidak menolak hiburan tetapi biarlah ianya tidak melalaikan hingga menggangu waktu ibadat dan juga merosakkan akhlak umat Islam. Pergaulan umat Islam juga tidak disekat tetapi biarlah berpada – pada agar Industri Hiburan Negara tidak dijadikan sebagai tempat Pesta Maksiat.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) berharap agar pihak Kerajaan mengambil langkah serius dalam menangani kekalutan yang berlaku dalam Industri Hiburan Negara. Golongan artis yang kini banyak terpengaruh dengan budaya Muzik dan Perfileman Hollywood dan Bollywood perlu disedarkan agar tidak terus hanyut. Biarlah mesej hiburan yang mereka bawakan memberikan manfaat terhadap masyarakat dan tidak merapu – rapu hingga tidak nampak hala tuju melainkan sekadar untuk berhibur sahaja.

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

JAWAPAN KITA PADA PERINTAH ALLAH S.W.T

KENYATAAN MEDIA (25 Mei 2005)

25 Mei 2005 (Kuala Lumpur) : Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) hari ini telah menerima surat pengesahan untuk Demontrasi Aman Membantah Penghinaan Al-Quran oleh Tentera Amerika. Surat berkenaan yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung PAS Pusat, Ust. Nasarudin Mat Isa membuktikan bahawa PAS benar – benar komited terhadap Isu – isu antarabangsa yang melanda Umat Islam kini.

Isu kezaliman tentera Amerika yang bukan sahaja menyiksa merogol dan membunuh saudara kita di Iraq, malah mereka juga tergamak memperhinakan Al-Quran yang menjadi rukun iman yang ke-4 bagi semua umat Islam menjadi satu cabaran baru pada kita di Malaysia.

DPPWP berasa amat kesal bila mana segelintir umat Islam dinegara ini tidak berasa sensitif terhadap kejadian yang sebegini dengan alasan bahawa kejadian itu tidak berlaku di Malaysia. Ada juga yang berpendapat bahawa adalah lebih baik kita menjaga intipatinya sahaja tanpa perlu menyelamatkan naskhah yang berupa buku itu.

Ingatlah bahawa intipati Al-Quran juga mendidik kita agar menjaga zahirnya Al-Quran itu. Samalah seperti kita menjaga iman kita didalam hati. Adakah cukup jika kita letakkannya didalam hati sedangkan tubuh kita melakukan banyak perkara maksiat. Kita minum arak dan makan babi kononnya iman kita sudah ada dalam hati, dan zahirnya tidak penting.

Maka, DPPWP mengajak agar seluruh umat Islam hari ini memikirkan perkara ini. Kita tidak mahu kelak, Islam yang kita amalkan secara lahiriah akan tinggal didalam hati sahaja. Lihatlah pada sejarah kekufaran Mustapa kamal Attarturk yang mengajarkan umat Islam agar menyimpan Iman mereka di dalam hati dan memusnahkan semua nashkah Al-Quran dan juga semua perkara yang menjadi syiar Islam. Akhirnya umat Islam selepas zamannya tidak mengenali tulisan Al-Quran, tidak tahu baca Al-Quran dan tidak faham isi Al-Quran.

Seandainya umat Islam di Malaysia tidak mahu bangkit pada hari ini, maka janganlah kita berharap Allah ingin memandang muka kita diakhirat kelak. Setelah kita tidak mengendahkan watikah suci yang diperturunkanNya kepada semua insan. Jangan kita menjadikan diri kita teman kepada golongan kufar ini dengan terus berpeluk tubuh menjaga iman dan al-Quran didalam hati bersendirian. Fikirkanlah apa akan jadi pada generasi kita selepas 20 tahun akan datang.

Kepada pihak berkuasa, DPPWP berharap agar adanya rasa keIslaman dalam diri mereka untuk turun bersama umat Islam yang percaya kepada Al-Quran bagi mendaulahkan Islam dimata dunia. Jangan kita sekadar bangga menganjurkan Pertandingan Musabaqah Al-Quran tetapi dalam masa yang sama kita biar Al-Quran dihina. Kelak, apa lagi yang mahu dibaca oleh para Qari dan Qariah seandainya Juzuk al-Quran itu hilang didunia ini. Mampukah kita semua menghafal al-Quran untuk diwariskan kepada generasi mendatang.

Ayuh! Kita sahut panggilan Ust. Nasarudin untuk turut serta dalam perhimpunan ini. Tanpa mengira organisasi yang kita wakili kita berkumpul dihadapan Kedutaan Amerika, di Jalan Tun Razak pada 27 Mei 2005 sejurus selepas solat Jumaat.

Kepada semua ahli Pemuda dan ahli PAS yang bangga bernaung dibawah Parti Islam ini, diseluruh Negara DPPWP menyeru agar kita hadir bagi menyatakan bantahan dan kebersamaan Iman kita semua. DPPWP berharap agar semua ahli diseluruh Negara dapat hadir di Ibu Kota pada tarikh tersebut, kerana ini bukannya isu DPPWP dan umat Islam di Wilayah Persekutuan sahaja. Ini Isu Umat Islam seluruh dunia.

Kita harus malu bila Allah bertanya kita di akhirat kelak tentang apakah yang kita buat pada 27 Mei 2005 selepas solat Jumaat, seandainya kita tidak hadir ke Demontrasi Aman ini. Tidak malukah kita jika kita menjawab “ Ya Tuhanku, ketika itu aku sedang sibuk bekerja”, “Aku sibuk nak makan”, Aku sibuk nak jaga anak isteriku”. Lupakah kita bahawa rezeki, jodoh dan ajal maut itu sudah Allah sediakan sebelum kita dilahirkan lagi.

Justeru itu, ayuh! Kita buktikan pada mereka yang memusuhi Islam dan umatnya Islam bahawa kita punya Iman dan keyakinan tinggi pada Allah dan Kitabnya. Kita percaya, kita imani dan kita akan amalkan perintah Allah di dalam Al-Quran yang menyeru kita bangkit bila Islam dicabar dan dihina sedemikian rupa.

Sebagai tanda kita hadir dengan penuh keamanan DPPWP menyeru agar semua umat Islam yang hadir dapat membawa placard, banner, dan risalah yang menyatakan bantahan. Pihak DPPWP tidak bersetuju kepada mereka yang hadir untuk membuat provokasi atau membawa apa jua perkara yang diyakini bisa mengugat keselamatan awam. Pihak PAS tidak akan bertanggungjawab terhadap mereka – mereka yang melanggar arahan pimpinan atau penganjur Demontrasi ini. Semoga pihak keselamatan, khususnya pihak Polis di Kuala Lumpur, tidak menggangu perhimpunan aman ini.

khaibar...khaibar ya Yahuud...! Jaisyu Muhammad saufa ya'ud...!

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Takziah:Naib Canselor UUM meninggal dunia

KENYATAAN MEDIA (24 Mei 2005)

Assalamualaikum w.w

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP), mengucapkan takziah diatas pemergian Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fawzi Mohd. Basri menghadap Ilahi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4.47 petang di Hospital Selayang, Selangor semalam (23 Mei 2005) kerana menghidap penyakit sehticaemic shock yang dideritainya sejak setahun lalu.di hadapan isteri, Datin Aishah Ibrahim dan tiga daripada empat orang anaknya.

Semoga Allah menganjari Allahyarham setimpal dengan amalan yang telah Allahyarham laksanakan didunia. Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar terhadap dunia pendidikan Negara, khususnya bagi warga UUM. Semoga pengalaman baik bersama Allahyarham akan sentiasa dikenang dan menjadi sejarah untuk kita dan generasi yang akan datang.

Semoga kaum kerabat Allahyarham dapat menerima takdir Ilahi ini dengan hati yang penuh ketaqwaan dan kesabaran. Ketahuilah bahawa semua yang hidup dan bernyawa itu pasti akan mati. Innalillah Wa Inna Illah Hirojiun, Hanya Allah jualah tempat kita semua akan kembali.

Salam takziah dari kami, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Wassalam,

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

PDRM : JANGAN JADI TALI BARUT AMERIKA

KENYATAAN MEDIA (20 Mei 2005)

20 Mei 2005 (Kuala Lumpur) - Hari ini Dewan Pemuda PAS Pusat yang diketuai YB Salahudin Ayub telah menyerahkan memorandum bantahan penghinaan tentera Amerika terhadap Al-Quran di Teluk Guatanamo. Pegawai Khas Sekretariat PBB di Kuala Lumpur, Anis Yusal Yusoff telah menerima memo dari YB Salahudin, Ust. Idris Ahmad dan Sdr. Mohamed Hanipa Maidin jam 12.30 tengahari hari ini.

Selepas solat Jumaat, Pemuda PAS telah turun bersama Umat Islam untuk berdemo bagi membantah tindakan askar Amerika yang tidak menghormati akidah umat Islam.

Demontrasi ini yang bertemakan “Menjunjung Kemuliaan Al-Quran”, diadakan sejurus selepas solat Jumaat di Masjid Kampung Baru. Lebih 1000 orang umat Islam telah berkumpul bagi menyatakan bantahan mereka terhadap tindakan bacul tentera Amerika itu. Antara pimpinan lain yang hadir adalah Tn. Hj. Mohamad Nor-Tim. Pesuruhjaya PAS Wilayah, Ust. Riduan Mohd Nor-Ketua Pemuda DPPWP, Ust. Ramli Sidom Ketua Pemuda PAS Selangor dan pimpinan PAS lainnya

Walaubagaimana pun, pada hari ini pihak Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan berasa amat kecewa dengan tindakan tidak Islamik pihak Polis DiRaja Malaysia yang cuba mengagalkan perhimpunan ini. Seawal perhimpunan beberapa orang pegawai Polis yang beragama Islam telah menghampiri Anjung Masjid yang dijadikan tempat perhimpunan.. Laungan takbir bergema memecah suasana.

Ketika Sdr. Khairul Anuar Mat Zuki-Exco DPPWP mula berucap, Polis telah mengeluarkan ugutan untuk menangkap beliau. Walaubagaimana pun Ust Idris Ahmad kehadapan untuk membakar semangat umat Islam untuk terus berhimpunan dengan melaungkan takbir Allahu Akhbar dan disambut oleh umat Islam yang hadir.

Keadaan semakin riuh bila mana Ahli Jawatankuasa Masjid Kg. Baru memasang kaset bacaan Al-Quran dengan kuat bagi mengganggu perhimpunan aman ini. Tindakkan kebudak –budakkan ini telah mendapat kritikkan dari umat Islam yang hadir dan di lihat semakin tidak matang.

Ucapan Ust Idris disambung oleh Sdr. Hanipa Maidin.. Ketika itu, suasana menjadi semakin tegang bila mana pihak Polis bertegas untuk menyuraikan perhimpunan. Adegan tarik menarik banner dan hailer antara penunjuk perasaan dan pihak polis berlaku. YB Salahuddin Ayub telah telah tampil untuk meredakan suasana dan memberikan ucapan ringkas. Doa umat Islam bersama Ust Idris telah mengakhiri perhimpunan singkat pada petang ini. Dengan penuh rasa kesal umat Islam telah bersurai dan InsyaALLAH akan tampil dihadapan Kedutaan Amerika pada hari Jumaat Minggu hadapan bagi menyatakan bantahan rakyat terhadap kezaliman Israel dan sikap kurang ajar tentera Amerika.

DPPWP melihat bahawa perhimpunan hari ini telah memberikan gambaran pada rakyat bahawa pihak Polis dan AJK Masjid Kg. Baru dibawah Kerajaan Islam Hadhari BN bersetuju dengan tindakan tentera Amerika yang mencampakkan Al-Quran ke Lubang tandas.

Mereka patut malu bila berada dihadapan Allah dan Rasulullah di akhirat kelak kerana membiarkan Kitab Wahyu Allah menjadi bahan buangan di dalam tandas. Mereka harus malu kepada Umat Islam kerana gagal untuk bersama mempertahankan maruah kitab suci umat Islam.

Mereka harus meminta maaf kepada semua umat Islam dan kembali memikirkan bahawa apa yang mereka lakukan pada hari ini tiada bezanya dengan tindakkan tentera Amerika yang memperhinakan Al-Quran dihadapan tahanan Islam di penjara Guatanamo. Mereka seharusnya insaf dan turut bangkit bagi mempertahankan akidah Islam yang mereka anuti dan bukannya mengganggu perjuangan murni umat Islam yang hadir.

DPPWP mengucapkan syabas terhadap pimpinan dan umat Islam yang hadir pada hari ini. Walaupun perhimpunan pada hari ini adalah kecil di mata Kerajaan BN, kerdil di dalam pandangan Amerika, tetapi yang pasti inilah kehendak Allah s.w.t. Semoga pihak Polis dapat memberikan kerjasama yang baik untuk perhimpunan Aman yang bakal diadakan minggu hadapan iaitu pada 27 Mei 2005 dihadapan Kedutaan Amerika selepas solat Jumaat.

Umat Islam akan hadir untuk berhimpun secara aman dan tiada apa yang perlu dirisaukan oleh Pihak Polis. Atas nama keamanan kami menjemput semua umat Islam untuk hadir bagi menyatakan bantahan terhadap kezaliman Israel dan Tentera Amerika. InsyaALLAH perhimpunan pada minggu hadapan akan di ketuai oleh Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tn. Guru Hj. Abd Hadi Awang.

khaibar...khaibar ya Yahuud...! Jaisyu Muhammad saufa ya'ud...!

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

"Perhimpunan Aman Menjunjung Kemulian Al-Quran"

Assalamualaikum w.w

Hari demi hari, umat Islam dikejutkan dengan pelbagai cabaran baru dari pihak musuh - musuh Islam yang tidak pernah berhenti untuk memadamkan Cahaya Islam di muka bumi ini. Isu hangat di palestine kian membara setelah puak pelampau Yahudi meningkatkan ancaman mereka untuk memusnahkan Masjidil Aqsa. Kepungan demi kepungan dibuat setelah beberapa orang pemimpin pelampau Yahudi itu dibebaskan oleh askar Israel baru - baru ini.

Minggu lepas pula, Majalah News Week telah melaporkan bahawa Al Quran diletakkan di dalam tandas oleh tentera Amerika dipenjara di Guatanamo, tindakkan ini sekaligus telah menambahkan kemarahan umat Islam seluruh dunia. Di India pula, pelampau Hinddu yang didalangi Bhartiya Janta Party (BJP) telah menuntut untuk merobohkan Bangunan Istana Taj Mahal yang menjadi simbol Kehebatan tamadunan Islam Di India. Sebelum ini mereka telah berjaya meruntuhkan Masjid Babri di Uttar Pradesh, Utara India.

Gencaran ancaman dan penghinaan yang di lontarkan kepada umat Islam hari seharusnya menimbulkan kesedaran pada kita bahawa tiada gunanya kita bangga menjadi umat Islam jika pada zahirnya kita terus berdiam bila mana Islam dan syiarnya diperhinakan. Hinanya kita bila membiarkan akidah kita dipijak, kemuliaan kita dicampak ke tandas. Di manakah rasa sensitiviti dan bukti kita mencintai Allah.

Ayuh wahai Pemuda Islam dan Umat Islam!!! kita bangkit....bangkit untuk memadamkan api perseteruan yang dibakar oleh musuh Islam. Kita bangkit untuk melaungkan suara keamanan demi mengembalikan Imej Islam di mata dunia. Agama kita bukan agama pengganas, Islam kita membawa keamanan......Ayuh!!! kita Berdemontrasi secara aman sebagai simbolik untuk menyatakan bantahan terhadap penghinaan yang dilontarkan oleh musuh - musuh Islam.

Esok (20 Mei 2005-Jumaat) kita berhimpun di Masjid Kg. Baru selepas solat Jumaat ,atas nama persaudaraan Islam kita bawa sepanduk, Banner dan placard sebagai tanda kita mahukan Islam dihormati oleh Dunia.

Kita berharap agar "Perhimpunan Aman Menjunjung Kemulian Al-Quran" ini mendapat kerjasama dari pihak Masjid Kg. Baru dan juga pihak keselamatan. Kita bukan pelampau Hinddu yang ingin musnahkan Masjid Kg. Baru, Kita umat Islam yang ingin memuliakan Al-Quran dan mempertahankan kemuliaan Islam.

Kami juga mengajak agar Pihak Keselamatan yang beragama Islam dapat turut serta dan tidak mengganggu perhimpunan aman ini. Jika pihak Kerajaan Malaysia tidak mampu berbuat apa - apa dan bersuara untuk Isu ini, biarlah rakyat bangkit untuk bersuara dan menyatakan bantahan.........sebarkan maklumat ini kepada semua umat Islam.

Salam perjuangan buat umat Islam diserata negara.........kita jumpa di Masjid Kg. Baru.

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

GT JEPUN BAKAL GEGARKAN ISLAM HADHARI

KENYATAAN MEDIA (20 Mei 2005)

20 Mei 2005 (Kuala Lumpur) - Kejuaraan GT Jepun yang bakal berlangsung pada 26 Jun ini semakin hangat dipromosikan. Sebanyak 45 buah kereta melibatkan 90 orang pemandu GT akan beraksi di litar Sepang dalam merebut kejuaraan ini.

Pengurus Pengiklanan dan Pemasaran Sepang International Circuit Sdn. Bhd. Azlan Akil memaklumkan bahawa sebanyak 50,000 tiket telah mula dijual diseluruh Negara. Tiga gadis litar GT Jepun, Mai Akiyama, Kaoru Asami dan Aki Oguchi telah diimport ke Malaysia khusus untuk mempromosikan acara ini.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan syabas kepada Kerajaan Islam Hadhari yang diterajui oleh UMNO atas kejayaan mereka menjuarai sirkit pengimportan Gadis Litar ini. Umum memaklumi bahawa kehadiran gadis-gadis litar ini turut disertai oleh puluhan gadis litar tempatan yang terdiri dari kalangan gadis Melayu, Cina dan India di Negara ini.

Rakyat Malaysia tidak perlu bersusah payah untuk ke Hawaii atau pantai Malibu di Amerika untuk melihat wanita – wanita berpakaian bikini. Kini Malaysia mulai mengorak langkah ‘Hadharinya’ dengan mengunakan wanita seksi sebagai agen promosinya.

DPPWP melihat bahawa inilah yang cuba dicorakkan oleh Kerajaan UMNO-BN untuk memajukan rakyat dewasa ini. Litar berprestij dengan label antara yang terbaik didunia ini bakal menjadi saksi kerakusan nafsu dan kehilangan identiti pemimpin UMNO di Malaysia.

UMNO yang ghairah dengan slogan ‘Hidup Melayu’ bakal menjadi terpencil ditengah tempikan penonton di Litar Sepang kelak. Maruah umat Melayu pastinya akan luluh digilis desingan enjin – enjin motokar GT Jepun ini. Amat malang bagi kita bila Kerajaan UMNO-BN membiarkan Negara kita dijajah kembali oleh Negara Jepun melalui trek GT Jepun ini. Jika dulu mereka hadir menjajah tanahair dan kebebasan datuk nenek kita, kini mereka kembali menjajah pemikiran dan budaya warisan yang ada dalam diri kita sendiri.

Lantaran dari itu DPPWP berharap agar pertandingan GT Jepun ini dikaji semula penganjurannya kerana ianya tidak menepati kondisi budaya rakyat Malaysia. Walaupun namanya GT Jepun, tetapi ianya diadakan di Malaysia dan penganjur seharusnya peka terhadap kehendak moraliti rakyat Malaysia.

DPPWP mengecam tindakkan Kementerian Pelancongan Malaysia (MOT) yang menjadi teman sejawat dalam menaja penganjuran GT Jepun ini kerana telah menyalahgunakan peruntukan dari dana awam untuk mempromosikan program ini. Secara umumnya program perlumbaan motokar ini tidak salah dari segi syariat kerana ianya dapat mempamerkan persaingan teknologi terkini yang boleh dimanfaatkan.

Tetapi kegilaan penganjur yang mengunakan wanita seksi dengan perbelanjaan jutaan ringgit bagi mempromosikan program ini dilihat sebagai satu pembaziran. Bukan dari segi material sahaja, tetapi dari segi akhlak dan imej bangsa Malaysia sendiri. Mengapa perlu kita promosikan budaya Jepun dan keseksian gadis Litar mereka di Negara ini?

Objektif Kementerian Pelancongan Malaysia yang dinyatakan dalam Laman Web MOT adalah;

Membangunkan Kebudayaan Kebangsaan Malaysia berteraskan Dasar Kebudayaan Kebangsaan ke arah mengukuhkan perpaduan negara, memelihara dan mengawal keperibadian kebangsaan serta memperkayakan kehidupan kemanusiaan dan kerohanian yang seimbang dengan pembangunan sosioekonomi; dan

Memajukan industri pelancongan menjadi suatu industri utama dalam ekonomi negara dengan mendorongkan perkembangannya yang berasaskan kepada unsur-unsur Kebudayaan Kebangsaan


Justeru itu, DPPWP melihat bahawa MOT telah lari dari matlamatnya untuk mempromosikan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan gagal membangunkan produk kebudayaan tempatan sebagai sumber untuk menjana tarikan pelancong.

Apa salahnya jika MOT mengunakan pemuda dan pemudi tempatan untuk mempamer kesopanan dan budaya bangsa Malaysia yang seharusnya menjadi contoh dan kebanggaan di seantero pelusuk dunia. Tidak seharusnya pihak MOT menyerap masuk kebudayaan yang tidak bermoral dalam masyarakat tempatan. Lihat sahaja galeri foto yang mempromosikan GT Jepun ini, semuanya mempamerkan susuk tubuh wanita yang hanya sekadar menutup dada dan bahagian dibawah pusat.

Jika dilihat dalam pengalaman penganjuran acara serupa ini di Litar Antarabangsa Bahrain, sejarah F1 yang lalu mencatatkan sedikit kelainan bila mana tiadanya gadis litar yang seksi dan arak atau Champagne yang menghiasi litar serta podium utama. Mengapa Malaysia yang gah melaungkan imej Negara Islam berani menongkah arus kebudayaan sendiri dengan mempromosikan sesuatu yang bukan dari kehendak semasa rakyat.

Tindakkan ini seolah – olah menyuntik racun dalam saluran kehidupan rakyat. Apa gunanya Kerajaan membazirkan wang mewujudkan pusat – pusat rawatan masalah sosial dan juga mempromosikan budaya bangsa, tetapi dalam masa yang sama memberikan peruntukkan untuk aktiviti yang merosakkan anak bangsa.

Malaysia tidak perlu bersaing dengan Singapura atau Negara lain dalam hal yang membazir seperti ini. Dalam keadaan ekonomi Negara yang kurang stabil, seharusnya produk pelancongan Negara diperhebatkan melalui sumber dalaman dan bukannya diimport dari luar Negara.

Dana awam yang terlalu banyak dibazirkan untuk pengurusan Litar Sepang dan program – programnya juga perlu dinilai. Adakah berbaloi Kerajaan membazirkan wang USD 95 juta setahun bagi menyara aktiviti yang tidak memberikan manfaat untuk semua lapisan rakyat.

Kos penyelenggaraan Litar Sepang yang bernilai jutaan ringgit ini, seharus digunakan oleh pihak Kerajaan untuk mendirikan rumah – rumah kos rendah untuk rakyat. Ianya juga boleh digunakan untuk melengkapkan prasarana infrastruktur bagi masyarakat diluar Bandar.

Apakah kerana ingin memuaskan hati dan memenuhi minat Pimpinan dan anak – anak pimpinan BN dalam dunia permotoran Kerajaan perlu mengorbankan jutaan ringgit wang rakyat. Datuk Mokhzani Tun Mahathir yang dilihat sebagai juara pengurusan Sepang International Circuits (SIC) seharusnya sedia untuk memikirkan masalah rakyat yang rumah – rumah mereka dirobohkan di RTB Pengkalan Merbau di Pekan Sungai Tong, Terengganu dan banyak lagi termasuklah di Kuala Lumpur ini.

Kita tidak mahu mereka meraikan tetamu GT Jepun ini dengan layanan Kelas satu dan dalam masa yang sama membiarkan rakyat duduk merempat di surau – surau dan tepian jalan kerana tiada rumah.

DPPWP menyeru kepada rakyat Malaysia agar memikirkan perkara ini dan membuat anjakan paradigma dan perubahan dalam memastikan nasib mereka terbela tanpa mengira status dan taraf hidup. Jangan biarkan yang kaya terus berpesta dan yang miskin terus menderita, budaya bangsa dipencilkan, budaya luar diperagungkan.

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

KEMPEN MEMBANTAH KENAIKKAN HARGA MINYAK DAN BARANGAN PENGGUNA

KENYATAAN MEDIA (13 Mei 2005)

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) berasa amat simpati terhadap nasib yang terpaksa dilalui rakyat lantaran ketidakpekaan Kerajaan Barisan Nasional terhadap kesusahan yang dialami.

Indeks Harga Pengguna dalam Negara kini, telah meningkat sebanyak 1% iaitu dari 1.4% tahun lepas kepada 2.4% tahun 2005. Purata rakyat Malaysia yang tinggal dan bekerja dibandar – Bandar besar seperti Kuala Lumpur, George Town dan Johor Bahru berpendapatan RM 1500 – RM 2500. Diluar Bandar pula purata rakyat Malaysia menerima pendapatan sekitar RM 500 – RM 1000.

Jumlah ini tidak memadai dengan apa yang rakyat terpaksa bayar untuk mendapatkan barangan keperluan hidup. Pelbagai belanja terpaksa di kurangkan. Sebuah Keluarga yang mempunyai anak seramai 2 orang pastinya akan terbeban dengan kenaikan harga minyak dan barangan lain di pasaran.

Bayangkanlah pendapatan bulanan keseluruhan keluarga ini RM 5,000 (pendapatan suami isteri). Setelah ditolak dengan KWSP sebanyak RM 600 jumlah yang tinggal hanyalah RM 4,400. Perbelanjaan untuk persekolahan anak (2 Orang) RM 800, sewa rumah RM 500, ansuran kereta RM 500, petrol RM 600 (RM 20 sehari) tol RM 90 (RM 3 sehari), Bil elektrik, air dan telefon RM 600, belanja dapur RM 1,000, Selengaraan kereta dan lain-lain perkara RM 400.

Jumlah keseluruhan adalah RM 5,090. Perbelanjaan bulanan ini dikira tanpa mengambil kira kos-kos lain yang berada diluar jangkaan isi rumah tersebut. Keadaan ini sekaligus mengambarkan pada kita bahawa tabungan isi rumah akan menjadi negatif setiap bulan.

Jika dilihat pada laporan Bank Negara (sila rujuk http://www.bnm.gov.my), jumlah deposit simpanan individu di seluruh Negara merosot kepada RM 1,740 juta pada Januari 2005 berbanding RM 4,078 juta pada Disember 2004. Jumlah Deposit Negara secara keseluruhan pula merosot dari RM 14, 237 juta pada Disember 2004 kepada RM 3,827 juta pada Januari 2005.

Pertumbuhan tahunan bagi Aktiviti pemberian pinjaman oleh bank kepada isi rumah pula telah meningkat daripada 10.7% pada 2004 kepada 21.9% pada tahun 2005.

Data-data ini sudah cukup untuk mengambarkan pendapatan isi rumah atau rakyat yang sudah tidak mencukupi untuk tujuan tabungan dan rakyat terpaksa meningkatkan jumlah hutang ekoran desakan ekonomi semasa. Justeru itu, tindakkan menaikkan harga minyak dan tol pada hari semakin menambahkan lagi azab yang dideritai.

Mungkin rakyat masih menganggap keadaan ini tidak terlalu serius. Ekonomi dikatakan sedang menuju ke arah yang lebih dinamik dan mengembang. Namun semua itu hanyalah fatamorgana dan pastinya rakyat harus beringat bahawa sejarah kenaikkan harga bahan api, tol dan barangan pengguna dalam tempoh setahun setengah pemerintahan Pak Lah sentiasa berlaku dan tiada penurunan dicatatkan.

Tiada kempen mencegah atau menghalang inflasi dilakukan, projek – projek besar tetap berjalan, elaun ahli parlimen naik, peruntukkan di setiap Kementerian naik. Dalam masa yang sama, bonus tahunan kakitangan awam menurun, tuntutan menaikkan gaji kakitangan awam oleh CUEPACS pula ditolak mentah – mentah. Apa yang naik ? minyak, tol, tambang kenderaan awam dan komersial, barangan pasar, dan banyak lagi naik!!!

Inilah hadiah atas mandat yang diberikan oleh rakyat kepada Barisan Nasional yang memimpin Negara. Pemimpin BN tidak merasai keperitan rakyat sebab mereka makan di hotel – hotel besar dengan duit cukai rakyat, mereka turun ke pasar untuk tengok harga barang tetapi tidak boleh berbuat apa – apa. Mereka boleh dapat elaun perubatan yang tinggi di hospital – hospital ternama berserta dengan layanan kelas pertama, tetapi rakyat terpaksa menunggu berjam – jam untuk mendapatkan rawatan dan membayar sendiri kos rawatan yang kini bakal swastakan.

PAS sentiasa bersama rakyat untuk memahami dan berkongsi keperitan yang dilalui. Dalam usaha PAS mendesak pihak kerajaan untuk mengkaji semula kenaikkan harga minyak dan tol, PAS berharap agar rakyat sedar dan berani untuk bersuara. Selagi rakyat berdiam dan tidak menzahirkan masalah yang dirasai kini, pastinya Kerajaan BN akan terus menaikkan harga barangan sesuka hati mereka.

Oleh itu DPPWP menjemput kepada semua ahli dan rakyat untuk hadir ke program berikut bagi mendesak Kerajaan BN berfikiran waras dan bijak dalam menangani kemelut ekonomi yang melanda Negara.

1. Public campaign-Edaran risalah penerangan berhubung kenaikkan harga Minyak & Inflasi bersama Pimpinan Pemuda Pusat;

Tarikh : 14 Mei 2005 (Sabtu)
Masa : 5.00 petang
Tempat : Berkumpul di Masjid India
(Digalakkan solat asar di Masjid & datang awal)

*Operasi edaran risalah kempen akan diadakan di sekitar jalan Masjid India hingga ke SOGO.

2. Himpunan Rakyat Membantah Kenaikkan Harga Minyak
Tarikh : 14 Mei 2005 (Sabtu)
Masa : 9.30 malam
Tempat : Markas Tarbiyyah, Taman Melewar
Tajuk : Kenaikkan Harga Barang dan Inflasi,
Hadiah Barisan Nasional Untuk Rakyat
Pemidato : YB Salahuddin Ayub
Ust. Idris Hj. Ahmad
Sdr. Mazlan Aliman
Ust. Nik Abduh Nik Abd Aziz
Ust. Riduan Mohd Nor

Pihak kami berharap agar rakyat dapat hadir dan semoga program ini akan berjalan dengan baik tanpa gangguan dari mana - mana pihak termasuklah pihak Keselamatan.

Harapan kami juga, semoga Kerajaan dapat sedar akan tekanan hidup yang dialami rakyat, khususnya di ibu kota dan dapat menimbangkan kenaikkan gaji bagi semua kakitangan awam dan swasta di Malaysia. InsyaAllah perhimpunan ini akan berjalan dengan baik kerana ini adalah sebahagian usaha kita untuk menolong rakyat. sila sebarkan maklumat ini

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Remaja Gagal Hadiri PLKN Kena Penjara – Kerajaan Harus Bertanggungjawab

KENYATAAN MEDIA (11 Mei 2005)

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) kesal dengan tindakkan keterlaluan pihak Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menyebabkan seorang remaja di Kangar, Perlis dipenjarakan hari ini. Ahmad Hafizal Ahmad Fauzi, 18, menjadi remaja pertama dihukum atas kesalahan tidak menghadiri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada Julai tahun lalu.

Beliau yang tidak diwakili peguam telah dibicarakan dengan menggunakan Akta 628 Seksyen 18(1) Akta Khidmat Negara 2003;

18. (1) Mana-mana orang yang tidak menghadirkan dirinya bagi latihan khidmat negara seperti yang dikehendaki supaya dibuat olehnya menurut kuasa pemberitahuan yang dikeluarkan oleh Majlis di bawah subseksyen 17(2) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Majistret Wan Norzanuar Wan Ahmad telah menjatuhkan hukuman penjara 14 hari kepada beliau setelah beliau gagal membayar tawaran denda sebanyak RM 600 ekoran kemiskinan yang dialami oleh beliau dan keluarga.

Dalam rayuan yang dikemukakan, Beliau, yang tinggal di Kampung Titi Serong, Jalan Kuala Perlis telah memaklumkan mahkamah bahawa beliau gagal hadir ke PLKN ekoran kesempitan hidup yang memaksa beliau bekerja dibendang untuk membantu menyara keluarga.

Pihak DPPWP tidak mempersoalkan tindakkan mahkamah yang telah menjatuhkan hukuman, tetapi tindakkan kerajaan BN melalui Jabatan Peguam Negara amat keterlaluan kerana perkara sebegini boleh diselesaikan diluar mahkamah.

DPPWP mempersoalkan, adakah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Kementerian Pertahanan Malaysia telah benar – benar menjalankan langkah – langkah yang betul bagi memastikan semua remaja yang gagal menghadiri program ini dapat dihubungi. Adakah pihak JLKN ada menghantar pegawai untuk memaklumkan beliau atau menyiasat punca – punca beliau gagal hadir ke program tersebut. Adakah pihak Kerajaan membuat penyiasatan terhadap latar belakang remaja ini sebelum membawa kes beliau ke Mahkamah.

Seharusnya pihak Kerajaan membantu keluarga beliau dan bukannya membebankan beliau dengan sesuatu perkara yang beliau tidak boleh lakukan dalam satu masa yang sama iaitu bekerja untuk menyara keluarga dan menyertai PLKN. Program PLKN selama 3 bulan yang menawarkan elaun bulanan sebanyak RM 100 adalah tidak memadai untuk beliau menanggung keluarga beliau setiap bulan.

Seharusnya pihak Kerajaan menawarkan bantuan kewangan yang lebih kepada remaja seperti beliau agar mereka boleh menyertai PLKN tanpa rasa risau terhadap masalah kewangan keluarga beliau. Pihak DPPWP dimaklumkan bahawa pihak JLKN membayar RM 80 – RM 150 sehari bagi setiap jurulatih dan Fasilitator yang bertugas dalam PLKN. Kebanyakkan jurulatih dan fasilitator tersebut adalah dari kalangan mereka yang sudah bekerja dan mendapat pelepas bergaji dari majikan mereka untuk menjalankan tugas Negara.

Keadaan ini jauh berbeza dengan apa yang diperolehi oleh peserta PLKN, iaitu RM 100 sebulan dan juga kakitangan Kerajaan yang lain. Kerajaan tidak perlu menambahkan elaun tersebut kepada semua peserta PLKN, tetapi Kerajaan perlu menggunakan geran bantuan dari Jabatan Kebajikkan Masyarakat untuk membantu remaja yang mempunyai masalah seperti beliau.

Kenyataan bahawa beliau tidak hadir ke PLKN lantaran masalah ekonomi keluarga perlu dipertimbangkan. Hukuman penjara yang beliau hadapi hanyalah menambahkan beban kepada beliau. Tindakkan tersebut sekaligus, telah menyamakan beliau dengan penjenayah yang lain dan status banduan bakal menghantui hidup serta masa depan beliau selepas ini. Justeru itu pihak DPPWP berharap agar pihak Kerajaan menilai semula tindakkan yang diambil agar tidak merosakkan masa depan remaja ini.

Di sudut yang lain, DPPWP mengesa agar Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis mengambil langkah – langkah segera dan yang bersesuaian untuk membantu remaja ini. Disamping itu, DPPWP juga bersedia untuk menawarkan khidmat Guaman kepada mana – mana remaja yang tidak berkemampuan seperti beliau agar perkara sebegini dapat diadili dengan sebaiknya dan memastikan nasib orang - orang seperti beliau mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Selain itu, DPPWP juga berharap agar cara perlaksanaan modul - modul PLKN dikaji semula agar ianya dapat menjaminkan keberkesanan dalam mendidik akhlak remaja. DPPWP berharap agar masalah percampuran remaja lelaki dan perempuan yang terlalu bebas dapat diatasi. Program – program PLKN sebenarnya jauh berbeza dengan apa yang cuba ditiru oleh Malaysia dari Negara lain seperti Singapura dan Korea.

Di Malaysia PLKN hanya sekadar program latihan yang menyamai program – program Biro Tatanegara (BTN) yang lain dan tiada apa – apa yang luar biasa. Bila mana pelajar – pelajar ini berjaya memasuki Universiti, mereka akan dipaksakan pula menghadiri program BTN dan semua ini hanyalah bertujuan untuk mengindoktrinasikan mereka agar patuh kepada Kerajaan BN dan bukannya pada Agama dan Negara.

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan