Tuesday, June 28, 2005

KERTAS LAPORAN KES PEMBERIAN RASUAH OLEH YB. TAN SRI MOHD. ISA ABDUL SAMAD

Badan Pencegah Rasuah Malaysia,
WILAYAH PERSEKUTUAN
Tingkat 5, Rumah Persekutuan
Jalan Sultan Hishamudin
Peti Surat 6000
50502 KUALA LUMPUR
Tel: 03-26923111, 03-26933942
Fax: 03-6931441 Tarikh : 28 Jun 2005

Tuan,

LAPORAN KES PEMBERIAN RASUAH OLEH YB. TAN SRI MOHD. ISA ABDUL SAMAD

Pada 24 Jun 2005 bertempat di Menara Dato’ Onn, PWTC panel Lembaga Disiplin UMNO yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail telah membuat keputusan menggantung keahlian dan jawatan YB. Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad selama 6 tahun yang didapati bersalah dalam melakukan rasuah. Keputusan itu telah di siarkan dalam semua media utama dalam Negara pada 25 Jun 2005.

YB. Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad telah didapati bersalah melakukan rasuah pada Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung pada 21-25 September 2004, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Berdasarkan laporan media Al-Jazeera, melalui agen bernama Salim Sharif merangkap Setiausaha Politik, beliau telah merasuah para perwakilan dengan bayaran RM 300 hingga RM 1,000 bagi memenangi kerusi Naib Presiden UMNO. Ekoran dari kecurangan itu, beliau berjaya mendapatkan undi tertinggi, iaitu sebanyak 1507 undi dan menjawat jawatan sebagai Naib Presiden UMNO.

Ketika melakukan kesalahan itu, beliau juga merupakan seorang ahli Parlimen bagi Parlimen Jempol, Negeri sembilan dan penjawat awam berstatus Menteri bagi Kementerian Wilayah Persekutuan yang dilantik dalam rombakan Kabinet Malaysia pada 27 Mac 2004. Tindakan beliau ini telah menjatuhkan imej institusi berkenaan dan menghapuskan keyakinan rakyat, khususnya di Wilayah Persekutuan terhadap kejujuran beliau.

Saya Haji Mohamad Noor bin Mohamad atas dasar menjaga kepentingan dan hak sivil rakyat lainnya, dengan ini menganggap beliau sebagai terlibat dalam kes pemberian rasuah untuk mendapatkan kepentingan tertentu, berdasarkan peruntukan Akta Pencegahan Rasuah 1997, Perenggan ke 11;

11. Jika-

(b) mana-mana orang secara rasuah memberikan atau bersetuju untuk memberikan atau menawarkan apa-apa suapan kepada mana-mana ejen sebagai dorongan atau upah bagi melakukan atau tidak melakukan, atau kerana telah melakukan atau tidak melakukan apa-apa perbuatan berhubungan dengan hal-ehwal atau perniagaan prinsipalnya, atau bagi memberikan atau tidak memberikan sokongan atau tentangan kepada mana-mana orang berhubungan dengan hal-ehwal atau perniagaan prinsipalnya;

dia adalah melakukan suatu kesalahan.

Perenggan ke 16 pula menyatakan bahawa;

16. Mana-mana orang yang didapati bersalah atas suatu kesalahan di bawah seksyen 10, 11, 13, 14 atau 15 boleh apabila disabitkan-

(a) dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada empat belas hari dan tidak lebih daripada dua puluh tahun; dan

(b) didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bersama – sama dengan ini pihak saya melampirkan beberapa salinan laporan media tempatan dari dalam dan luar negeri sebagai bahan bukti dan rujukan tuan.

Memandangkan kes ini telah menjadi isu besar yang bukan sahaja didalam negara, malah meliputi imej Malaysia di luar negara yang melibatkan tokoh penting negara, maka dengan itu, saya berharap agar pihak tuan dapat mengambil tindakan segera dan melakukan siasatan ke atas kes beliau ini.

Sekian. Terima Kasih.

Yang Benar,

Hj. Mohamad Noor bin Mohamad
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home