Friday, November 17, 2006

UMNO Yang Semakin Kerepot

Oleh : Herman Samsudeen.

Perhimpunan Agung UMNO baru sahaja berakhir semalam. Pelbagai aksi dan telatah kita dapat lihat, dari si luncai dan labu-labu, semuanya sibuk memegang erat periuk nasi elektronik mereka agar tidak dirampas.

Berhati-hati?

Disepanjang babak-babak Perhimpunan, kegerunan UMNO terhadap kelantangan Tun Mahathir amat terasa. Paling sinis, Pak Lah menyatakan amaran awal beliau untuk memastikan agar para perwakilan berhati-hati dalam membuat kenyataan dan berbahas. Melalui kenyataan yang dipetik daripada Harian Metro, ternyata bahawa beliau cuba mendindingkan kenyataan berupa ugutan halus kepada para perwakilan;

“sikap berhati-hati bukannya bermakna takut tetapi sikap itu adalah antara amalan baik yang dituntut bukan sahaja dalam Islam, malah semua agama kerana sikap hati-hati adalah asas keharmonian…”

Nampak seperti satu nasihat yang ikhlas dari seorang pemimpin yang tua kepada awak-awaknya. Hakikatnya kenapa perlu Pak Lah sebut tentang perkara ini. Berpuluh tahun UMNO mengadakan Perhimpunan Agung, rasanya ahli-ahli UMNO yang hadir ke Perhimpunan tersebut tidaklah terlalu bodoh untuk diperingatkan perkara yang menjadi asas dalam hubungan sosial. Etika perbahasan harus sedia difahami oleh semua.

Ahli UMNO berhak untuk bertanya apa sahaja termasuklah tentang dasar-dasar kerajaan. Kenapa perlu takut untuk menyatakan pandangan. Pemimpin UMNO seharusnya bersifat terbuka untuk menerima pandangan sama ada dari ahli UMNO, Mahathir atau orang lain.

Kenyataan Pak Lah ini hanyalah menambahkan keyakinan bahawa beliau kini dihantui ketakutan terhadap bayang-bayang Mahathir. Beliau sedar bahawa kedudukannya kian terancam dan sedang giat mengukuhkan pasak dirinya yang kian goyah.

UMNO dan Pak Lah harus menerima hakikat bahawa legasi pemerintahan yang diwarisi dari Tun Mahathir kini semakin lemah dan pimpinan BN yang diterajui UMNO telah kekontangan idea untuk meneruskan pembangunan Negara. Rancangan Malaysia Ke Sembilan adalah warisan terakhir Mahathir yang diedit oleh Pak Lah sebelum dilancarkan pertengahan tahun ini.

Gagasan Pak Lah amat kabur dan rakyat masih tertanya-tanya akan hala tuju Negara ini dibawah panji-panji Pak Lah.

Masalah Sosial

Masalah ekonomi Negara kita semakin tegang. Dalam hal ini, Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Rafidah cuba melarikan tumpuan perwakilan wanitanya dari membahaskan isu-isu politik dan ekonomi. Beliau sedar bahawa rakyat kini semakin peka dan berani bersuara tentang hal ehwal politik dan ekonomi Negara.

Rakyat amat tertekan dengan kenaikkan harga minyak, tariff air dan pelbagai barangan. Lihat sahaja harga secawan (Cawan polisterin) teh tarik yang dijual semasa Perhimpunan ini yang berharga RM 2. Terkejut para perwakilan UMNO yang datang dari kampung.

Masalah sosial bukanlah perkara baru, tetapi Rafidah baru sedar akan hal ini. Kenyataan Rafidah mengenai keperluan umat Melayu memahami agama adalah satu nasihat yang amat baik.

DPPWP berharap agar Rafidah turut sama memahami asas-asas agama. Walau pun kubur kita lain-lain seperti yang selalu dikatakannya, tetapi sebagai pemimpin wanita Islam, beliau harus memberikan contoh yang baik. Jangan kerana ghairah untuk mendapatkan undi, agama Islam dijadikan mainan dan dalam masa yang sama identiti asas wanita Islam iaitu tudung dicarik-carikkan untuk menayangkan jambul yang kian beruban.

DPPWP amat bersetuju agar pendekatan agama dijadikan modal asas bagi memperkukuhkan semula identiti bangsa Melayu. Kita sedar bahawa Islam itu amat sinonim dengan kehidupan umat Melayu. Cabaran kita kini semakin global. Bukan sahaja dalam hal ehwal dadah, Aids, HIV, Mat Rempit, Bohsia-bojan. Ahli-ahli UMNO perlu bangkit dari tidur bagi mempertahankan akidah anak-anak bangsa kita yang kini menjadi semakin parah. Setiap tahun, ada sahaja anak-anak Melayu yang tampil ke Pejabat Pendaftaran Negara atau menjengah ke Pintu Mahkamah bagi mendapatkan hak kebebasan murtad.

Itulah hakikat yang malas untuk difikirkan oleh pemimpin UMNO kerana mereka berpegang pada prinsip kubur kita lain-lain. Bagaimana pula dengan nasib anak-anak melayu yang kini semakin bangga mengamalkan gaya hidup bebas-western lifestyle. Mereka bangga menuang arak ke dalam batang leher mereka dengan tangan meraba pasangan masing-masing penuh dengan tatu, tindik dan rambut berwarna-warni pelbagai fesyen.

Kerakusan Pemimpin UMNO

Evolusi kehidupan bangsa Melayu kini semakin mengugah akar budaya bangsa. DPPWP melihat bahawa UMNO semakin gagal dalam memenuhi hasrat bangsa Melayu. Kita adalah bangsa yang semakin gagah bersaing, namun sedikit demi sedikit jati diri bangsa kita luput, tergadai dek kerakusan pemimpinan UMNO yang hanya mementingkan diri sendiri.

Lihatlah mahligai-mahligai pimpinan UMNO di Selangor, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang dan diseluruh Negara. Dari pimpinan Pemuda diperingkat Cawangan hinggalah pimpinan tertinggi lainnya semuanya sibuk mengumpul harta berkepuk-kepuk.

Perpaduan Ala UMNO

Isu perpaduan, juga semakin serius diperkatakan oleh pimpinan UMNO. Mereka sibuk mendakwa bahawa wujudnya anasir-anasir diluar UMNO seperti PAS yang cuba memecah belahkan bangsa Melayu. Tapi kita lihatlah sejarah. Siapa sebenarnya pemecah belah bangsa.

Sejak zaman pengasas UMNO, Dato’ Onn kita telah lihat UMNO berpecah belah. Kemudian zaman pertembungan Tunku Abdul Rahman dan Mahathir, UMNO kali kedua retak dengan pemecatan Mahathir dari UMNO. Setelah itu Pertelagahan Mahathir dan Musa Hitam, menyaksikan UMNO telah diistiharkan parti haram oleh mahkamah dan keadaan pada masa itu memaksa Mahathir menubuhkan UMNO baru. Drama seterusnya, Mahathir memecat Anwar Ibrahim melalui fitnah kotor beliau. Kini, Mahathir sekali lagi memainkan peranannya dalam episod penuh mendebarkan dengan Pak Lah, pengganti beliau.

Setiap pertembungan ini menyaksikan perpecahan ahli-ahli UMNO, yakni orang Melayu sendiri. Pada setiap pertembungan, UMNO tidak lupa untuk menuding jari dengan memfitnah PAS sebagai parti pemecah belah umat Melayu. Rakyat sedia maklum akan sejarah hitam UMNO ini. Dan pada setiap pertembungan itu, tiada ahli-ahli PAS yang terlibat. Semuanya adalah pelakon-pelakon dan badut kalangan orang UMNO sendiri.

Ahli UMNO Jangan Cepat Puas Hati ?

Dalam Ucapan Perasmian Dato’ Seri Najib di Majlis Perasmian Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, 13 November lalu, harapan agar ahli UMNO tidak mudah berpuas hati terhadap pencapaian Melayu begitu bersemarak dilaungkan.

Beberapa contoh kejayaan anak – anak watan dihamburkan bagi membuka mata ahli-ahli UMNO khususnya yang tinggal dibandar – bandar besar. Najib mengakui bahawa kebanyakan anak-anak Melayu yang berjaya adalah berasal dari kelompok budak kampung yang mendewasa sebagai jurutera dan bakal angkasawan. Ini sekaligus menimbulkan tanda tanya? Dimanakah anak-anak bangsa Melayu yang membesar dan dididik di ibu-ibu kota metropolitan. PAS akui, memang ramai anak-anak kota ini yang menyertai kejayaan anak-anak Melayu yang lain. Tapi, tidak dapat dinafikan bahawa ledakan globalisasi teknologi dan budaya menyebabkan ramai kalangan anak-anak melayu yang lupa asal-usul.

PAS sentiasa bersedia untuk menyertai gagasan mendewasakan pemikiran generasi Melayu dan PAS berharap agar UMNO tidak bercakap dengan lidah yang bercabang.

Kemusnahan Bangsa Melayu Kerana UMNO

Selama ini, PAS berjuang untuk mempertahankan Sekolah-sekolah Agama Rakyat (SAR) yang dianggap sebagai pengamal sistem pendidikan konservatif yang pro pembangkang dan pusat melahirkan pengganas. Segala tuduhan ini tidak pernah dibuktikan kebenarannya dimana-mana mahkamah.

Akibat kekeliruan yang difitnah oleh UMNO ini, segala bantuan kepada SAR telah dihentikan dan pelajar-pelajar SAR disaran memasuki Sekolah-sekolah konvensional. Ini sekaligus menyebabkan SAR tidak dapat bernafas. Sistem pendidikan tertua Negara kini semakin musnah dimamah oleh nafsu pemimpin UMNO yang gilakan projek-projek pembinaan sekolah bagi memenuhkan kantung mereka.

UMNO harus bersyukur kerana rakyat sendiri sanggup bersusah payah membina sekolah-sekolah ini dan hanya memerlukan sedikit bantuan dari kerajaan berbanding Sekolah-sekolah konvensional yang seratus peratus menggunakan duit Kerajaan. SAR semakin pupus, dan keadaan ini akan menyebabkan warisan sistem pendidikan Melayu hilang dari diari kehidupan umat Melayu. UMNO harus malu dengan pemimpin kaum Cina dan India yang berebut-rebut menaikkan sistem pendidikan mereka walaupun terpaksa mengeluarkan duit dari poket sendiri.

PAS juga merasa amat kesal dengan tindakan pemimpin UMNO yang menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk mata pelajaran Sains dan Matematik diperingkat sekolah. Setelah lebih 3 tahun dasar ini dikuatkuasakan oleh Kementerian pendidikan, kini pemimpin UMNO sendiri yang bersuara untuk menarik balik dasar bodoh sombong ini. Pelbagai komentar diajukan oleh para ibu bapa termasuklah ahli UMNO yang mana anak-anak mereka didapati gagal untuk menguasai kedua-dua mata pelajaran tersebut dalam bahasa Inggeris.

Sekarang ini, terpulanglah pada UMNO untuk membuat keputusan, sama ada ingin meneruskan dasar ini atau tidak. Demi kepentingan bangsa Melayu, UMNO harus sedar diri dan tidak membuat sesuatu dasar yang menyusahkan bangsa sendiri. Semarak perjuangan UMNO kian malap, dan ahli-ahli UMNO harus berfikir secara waras dan keluar dari UMNO.

Pemimpin UMNO Memang Mudah Lupa dan Kaki Bodek

Anwar Ibrahim dan Mahathir yang telah keluar dari rejim kepimpinan UMNO telah sedar bahawa UMNO memang mudah lupa. Setiap pemimpin baru yang menggantikan yang lama akan dibodek habis-habisan. Sesiapa yang cuba menentang pasti akan dikritik habis-habisan, seperti mana yang dialami oleh Mahathir dan Muhkriz sekarang.

Dalam laporan akhbar semalam, Muhkriz dengan selambanya memperlekehkan ucapan Pak Lah yang dianggap tiada idea dan visi baru:

‘‘Saya rasa ucapan (Presiden) itu telah disampaikan tahun lalu. Saya mengharapkan ada perkara baru. Mungkin dia (Abdullah) ada idea lain.”

Ucapan beliau ini telah disanggah dan dikritik pedas oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan Ketua Pemuda UMNO telah berkata:

‘‘Selama ini saya lihat dan teliti apa yang dibuat beliau (Mukhriz) tetapi sekarang ini sudah keterlaluan. Jika dia (Mukhriz) berterusan begini, saya kena memikirkan semula kedudukannya dalam barisan Exco saya,” ujarnya.

Sehubungan dengan perkara tersebut, Hishammuddin meminta Exco kanan Pergerakan Pemuda UMNO itu segera tampil memberikan penjelasan berhubung tindakannya itu.

Beginilah ketakutan pemimpin UMNO dan sikap tidak professional mereka dalam menerima kritikan. Tindakan tergopoh-gapah pemimpin UMNO ini dalam mempertahankan ucapan Pak Lah telah menunjukkan sikap UMNO yang pasif dan tidak terbuka dalam menerima pandangan ahli. Sepatutnya mereka bertanya pada Muhkriz tentang kebenaran dakwaan beliau dan bukannya terus membuta tuli membela Pak Lah.

Memang benar apa yang diucapkan oleh Muhkriz itu. Ahli-ahli UMNO lainnya juga sedar bahawa Ucapan Pak Lah pada tahun ini tidak begitu menarik kerana semua yang dibangkitkan adalah isu-isu usang yang ditempelkan bagi memenuhi tentatif Perhimpunan kali ini.

UMNO, masa zaman Mahathir jadi ketua memang pantang kalau ada orang yang kritik beliau. Sekarang pun sama, semua hulubalang sibuk untuk menunjukkan kesetiaan. Kita tidak lupa bagaimana lakonan mantap Rafidah, Azalina, Hismuddin, dan Pak Lah sendiri dalam mempertahankan Mahathir ketika beliau berkuasa. Segala ucapannya adalah betul dan benar belaka. Siapa yang mengkritik terus dilabel sebagai pengkhianat. Sekarang bukan setakat Mahathir, anaknya Muhkriz yang menjadi perwakilan pun ingin disumbat mulut dan dilarang bersuara.

Inilah parti lapuk yang telah kehilangan arah tuju. Setiap pemimpin punya agenda sendiri dan malas untuk memikirkan masa depan umat Melayu secara serius. Mereka juga bermain silap mata dengan menghentam MCA yang pernah mengkritik UMNO dalam Mesyuarat Agung mereka sebelum ini. Inilah UMNO dan komponen BN lain. Masing-masing tidak ikhlas untuk duduk semeja.

Mereka punyai kepentingan peribadi yang tinggi mengatasi kepentingan rakyat. Jika dakwaan ini salah, UMNO berhak untuk menjawabnya. Tapi, pastikan juga pemimpin UMNO dapat memberikan jawapan releven terhadap projek pembinaan banglo Exco-exco Kerajaan Negeri Selangor yang bernilai lebih RM 40 juta, dan kerelevenan pembatalan projek pembinaan Jambatan altenatif yang menghubungkan Malaysia – Singapura serta beberapa projek lainnya.

Ahli UMNO Harus Bersikap Matang dan Berani Berubah

UMNO telah semakin mendekati hari-hari tuanya. UMNO semakin kerepot dimamah usia dan kecurangan sebahagian besar pemimpinnya yang tidak ikhlas dalam melaksanakan agenda memperjuangkan bangsa Melayu. Kes-kes berprofail tinggi melibatkan pimpinan UMNO yang dilaporkan kepada pihak BPR dan Polis masih lagi tiada tindakan. Kes rasuah dalam pemilihan kepimpinan UMNO berlalu begitu sahaja tanpa dilaporkan untuk tindakan BPR.

DPPWP berharap agar ahli-ahli UMNO dapat membuka mata dan telinga mereka bagi mendorong akal fikiran serta hati mereka untuk bangkit membuat perubahan, seterusnya meninggalkan UMNO.

PAS memahami bahawa amat sukar untuk ahli-ahli UMNO menerima kebenaran bahawa PAS telah berjaya memimpin negeri Kelantan dengan baik. Tiada seorang wakil rakyat pun yang dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Kerajaan Tempatan di mana-mana jajahan Kelantan. Pemimpin PAS juga bebas dari skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Kerajaan PAS Kelantan turut berjaya membuktikan kesungguhan dalam membantu rakyat dan mengurangkan beban hutang negeri serta membangunkan negeri itu sebagai sebuah model Kerajaan Islam yang berjaya walaupun menerima layanan kelas dua oleh Kerajaan Pusat.

Sebagai bukti kebijaksanaan pentadbiran PAS di Kelantan, Laporan belanjawan tahun 2005 telah menjangkakan bahawa Kerajaan Negeri akan berjaya mengutip hasil sebanyak RM276.82 juta akan tetapi hasil dari kesungguhan kerajaan PAS, sebanyak RM318.06 juta telah berjaya dipungut sehingga akhir 2005.

Nasib rakyat Kelantan terbela dan mereka juga dapat melihat pemimpin mereka dekat dengan lokaliti kehidupan mereka tanpa dipisahkan oleh tembok-tembok banglo eksklusif sebagaimana pemimpin di negeri lainnya.

Itulah bezanya PAS dengan UMNO. Terpulanglah pada rakyat untuk memilih perjuang bangsa Melayu yang tulen.

Ke Laman Utama

Friday, January 20, 2006

DPPWP Bantah Keputusan Kabinet tolak Skuad Sukarelawan MAIWP

KENYATAAN MEDIA (19 Januari 2006)

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) membantah Keputusan Kabinet semalam yang menolak penubuhan Skuad Sukarelawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Keputusan itu sekaligus menunjukan kejahilan dan sifat buta tuli mata hati pemimpin UMNO. Ianya satu keputusan yang didasari emosi, terlalu naif, dangkal dan tidak kontruktif.

DPPWP menyokong keberanian pihak MAIWP untuk menubuhkan Skuad tersebut dan ia dilakukan pada masa dan tempat yang sesuai iaitu di Wilayah Persekutuan. Kita telah lihat betapa banyak kegagalan Pihak Polis dan Penguatkuasa DBKL, RELA dan sebagainya dalam menguruskan masalah moral dan kebejatan akhlak yang berlaku di Ibukota dan sekitar Wilayah Persekutuan. Kita perlu terima hakikat bahawa pihak berkuasa tidak cukup kekuatan dan tenaga untuk membanteras jenayah dan maksiat dalam negara.

Hingga ke hari ini isu masalah sosial seperti pelacuran, zina, rogol, bunuh, penjualan VCD lucah, ragut dan pecah tabung masjid tidak selesai. Apa yang Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir boleh lakukan untuk atasi masalah ini semua? Dimana mereka pada saat anak-anak Melayu hanyut dibadai najis dadah dan maksiat sebegitu. Adakah dengan memberikan kondom, jarum dan dadah (Metadon) kerajaan telah berjaya selesaikan isu maksiat dan dadah ini?

DPPWP yakin bahawa penubuhan skuad ini hanyalah sebagai satu suntikkan dan kekuatan baru dalam membantu meringankan tugas-tugas pihak berkuasa. Seperti juga tindakan pihak Polis menubuhkan Rakan Cop, MAIWP juga perlukan sokongan masyarakat dalam membanteras masalah jenayah maksiat.

Rakyat bertanggungjawab dalam menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam memastikan rakyat keseluruhannya dapat hidup aman. Bukan sahaja aman dari wajah ganas penjenayah dan kezaliman yang mereka lakukan, tapi rakyat mahu generasi hari ini dan akan datang bebas dari jenayah maksiat seperti Zina, Rogol, Khalwat dan aktiviti pesta liar dan juga isu-isu seperti Black Metal dan ajaran sesat.

Betapa miskinnya pemikiran Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir. Tindakan mereka tidak selaras dengan gelaran dan kedudukan yang mereka ada sekarang. Mereka patut turun ke padang dan melihat realiti masalah sosial diibu kota yang bukan sahaja disebabkan oleh rakyat tempatan, tapi warga asing.

Tindakkan jakun pemimpin UMNO ini hanyalah memburukan lagi variasi Islam Hadhari yang hikayatnya ditempelkan dengan keindahan Islam. Mereka harus malu dalam menjual nama Islam, dan menghadharikan maksiat ditengah-tengah Ibu kota ini. Bagi DPPWP, tindakkan bodoh mereka ini umpama menggalakkan orang lain merenjis najis ke badan sendiri. MAIWP cadang untuk bantu tolong cuci sahaja, tapi mereka angkuh dan menolak cadangan tersebut, kononnya takut MAIWP skodeng selak kain.

DPPWP berharap agar satu resolusi dan tindakan tegas dibuat dalam mendokong usaha – usaha mencegah maksiat dan membantu pihak berkuasa menjaga keamanan negara. Para sukarelawan ini tidak diberikan elaun atau sebarang bayaran. Mereka juga tidak bertindak diluar bidang kuasa dan ada peraturan khas untuk mereka.

Pihak Jabatan Perdana Menteri tidak harus malu dengan tindakan bijak organisasi dibawahnya seperti MAIWP. Tidak salah bagi organisasi ‘anak’ mengajar ‘bapa’ untuk buat perkara yang difikirkan betul. Jangan kerana nak jaga air muka, ‘anak’ sendiri dihukum ‘ketuk ketampi dan dibogelkan keseluruh negara’ kerana dituduh tidak ikut peraturan, hingga senang orang nak menghentam mereka. JPM harus pertahankan tindakan MAIWP bukannya turut tumpang sekaki menghentam mereka.

DPPWP tetap menyokong akan tindakan bijak pihak MAIWP, dan DPPWP juga akan meneruskan usaha XPDC Dakwah dalam memastikan bahawa di Wilayah Persekutuan ini masih ada lagi orang yang cintakan Islam dan membenci maksiat.

Kepada para Menteri, pemimpin lainnya dan mereka yang tidak bersetuju dengan hal ini, DPPWP menegaskan agar mereka tidak menyalahgunakan kuasa dan mengganggu usaha dakwah yang baik ini. Dan pastikan juga, diri dan keluarga anda tidak dicekup dalam operasi yang dilakukan oleh kami atau penguatkuasa pihak berkuasa. Jangan biar peristiwa di Kelab Zouk dan Kelab malam di Subang berlaku pada diri dan keluarga anda.

“Bebaskan diri dan keluarga anda dari Maksiat”
“Bebas Maksiat Negara Aman”


Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

PERUTUSAN KHAS SEMPENA SAMBUTAN HARI RAYA AIDILADHA 1426H

KENYATAAN MEDIA (09 Januari 2006)

Bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada hari esok, iaitu 10 Januari 2006 bersamaan 10 Zulhijjah 1426H, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) ingin mengucapkan salam Aidiladha dan persaudaraan buat semua warga kota dan umat Islam di dalam dan luar Negara.

Sebelum itu, DPPWP mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa runtuhan hotel di Jalan Janduria di kawasan Al Ghazzah dekat Masjidilharam pada 5 Januari 2006 yang lalu. Mangsa yang kesemuanya berasal dari Sabah telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Mina Muaissim pada hari Sabtu lalu. Semoga Allah merahmati mereka bersama 72 orang Jamaah haji lainnya yang turut terkorban.

Hari ini, tanggal 9 Zulhijjah, Jamaah Haji dari seluruh pelusuk dunia telah meneruskan aktiviti haji dan berwukuf di Padang Arafah. Cuaca yang panas terik di Arafah, adalah bayangan di Padang Mahsyar kelak. Keadaan ini harus dijadikan iktibar dan peringatan buat kita juga, semoga ia akan menguatkan lagi keazaman kita dalam beribadah. DPPWP juga, berdoa agar Allah menerima ibadat haji dan mengabulkan doa para Jamaah yang kini sedang berada dikemuncak musim haji tahun ini.

Dalam pada itu, DPPWP juga ingin mengajak seluruh umat Islam yang tidak berpeluang menunaikan haji, untuk merenungi akan kisah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim di dalam menunaikan perintah Allah s.w.t. dan kesabaran baginda melalui ayat 102 – 103, surah As Saffat,:

"Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata : "Hai anakku, Sesungguhnya aku melihat di dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka Fikirkanlah apa pendapatmu." Ia menjawab : Hai ayahku! Kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar."

Di dalam melaksanakan perintah itu Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail telah menyerahkan diri mereka sepenuhnya di dalam melaksanakan perintah Allah sehingga dengan kurnia Allah yang maha Penyayang, Allah telah menghantarkan seekor kibasy untuk menggantikan Nabi Allah Ismail yang juga disebutkan di dalam surah As Saffat,ayat 106 – 107:

"Sesungguhnya ini benar-benar satu ujian yang nyata. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar."

Oleh itu, dalam kegembiraan menyambut Hari Raya, DPPWP menyeru kepada umat Islam yang berkemampuan pada hari ini untuk melakukan ibadat korban. Ibadat korban bermaksud menyembelih haiwan tertentu seperti unta, kerbau, lembu atau kambing pada hari ke-10, 11, 12 dan 13 Zulhijah.

Ada banyak hadis yang menyebut keutamaan ibadat korban. Antaranya, hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah bahawa Rasulullah bersabda bermaksud:

“Tiada sesuatu amalan yang dikerjakan oleh anak Adam pada Hari Raya Haji yang lebih disukai oleh Allah daripada menumpahkan darah (ibadat korban)."

“Bahawasanya ia (haiwan yang dikorbankan itu) datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya dan bahawasanya darah (korban itu) mendapat tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi. Oleh itu hendaklah kamu berkorban dengan hati yang bersih."
(Hadis riwayat al-Tarmizi)."

Melalui hadis ini, kita dapat dengan jelas bahawa ibadat korban adalah ibadat atau amalan yang disukai oleh Allah. Maka tentunya ia mendapat kemuliaan di sisi Allah pada hari kiamat kelak.

Jika Aidilfitri kita berperang untuk mengikat tali perut dan melawan pelbagai nafsu, Aidiladha mengajarkan kita cara untuk membuktikan kesungguhan perjuangan dan keikhlasan kita pada Allah.

Justeru itu, DPPWP berharap agar sambutan perayaan ini dapat mengukuhkan lagi tali persaudaraan seluruh umat Islam yang berkampung dan bergotong-royong dalam menunaikan ibadah dibulan mulia ini.

Disamping itu, bulan Zulhijjah juga adalah bulan terakhir dalam kalendar umat Islam, maka ianya juga penutup bagi tahun 1426H dan perlulah kita muhasabahkan diri sebelum kita menyahut cabaran 1427H mulai bulan hadapan.

DPPWP berharap agar umat Islam pada hari ini dapat bersatu khususnya di Wilayah Persekutuan dan di Negara ini untuk menghadapi pelbagai kebejatan permasalahan sosial. Apa yang berlaku pada hari semalam, hari ini dan esok pastinya satu cabaran getir untuk kita semua.

Peningkatan masalah sosial seperti amalan seks bebas, penularan penyakit HIV, dadah, gangterism, black metal, ajaran sesat, serta fahaman liberalisme yang kononnya ingin memodenkan umat Islam harus kita tangani dengan baik.

DPPWP berasa bertanggungjawab untuk meneruskan perjuangan dalam menyelamatkan anak bangsa yang kian pudar semangat Islam dan keMelayuan. Ketiadaan Jati diri anak remaja kini menjadi isu utama. Dari tatacara berpakaian yang sendat, ketat dan tidak menutup aurat kerana mengikuti fesyen semasa telah cukup menjelaskan pada kita bahawa generasi masa kini punyai masalah yang serius.

Terdapat segelintir Ibu bapa hari ini yang cuai dalam menguruskan pendidikan dan akhlak anak-anak hingga kadang kala mereka tidak tahu apa yang dilakukan oleh anak-anak mereka yang selalu keluar berpeleseran. Pemuda-pemudi hari ini, tidak ramai yang bersikap seperti Nabi Ismail yang taat pada perintah Allah dan Ibubapanya.

Sikap ibu bapa yang terlalu memetingkan kerjaya dan menyerahkan urusan pendidikan dan pengurusan akhlak anak-anak mereka kepada pengasuh dan pihak sekolah telah menjerumuskan anak-anak mereka ke lembah yang kering dengan kasih sayang. Mereka dibiarkan dengan gaya hidup bebas hingga akhirnya terperangkap dalam wabak judi, arak, dadah dan seks bebas. Malah ada yang sanggup merogol dan membunuh, hatta ibu bapa atau saudara sendiri ada yang menjadi mangsa mereka.

Oleh itu, sempena sambutan Aidiladha ini, DPPWP mengajak seluruh umat Islam agar kembali merenungi diri. Sesungguhnya masih ada peluang untuk kita meraih nikmat kebahagian dunia akhirat. Pengorbanan kita bukan setakat pergi menunaikan haji atau menyembelih lembu dan kambing, Allah menuntut dari kita lebih lagi.

Ambillah masa untuk kita berfikir dan merancang. Ambilah masa untuk kita bersama anak-anak, adik-beradik dan sanak saudara dalam memperbaiki hubungan yang telah lama tercalar dan terbiar sepi. Kita bina kembali semangat mengambil berat dan saling bantu-membantu.

Bersama kita leraikan sikap mementingkan diri dan kita kembalikan sikap prihatin dalam diri untuk turun bersama koloni masyarakat lainnya dalam memerangi parasit sosial yang kian menghambat jendela kehidupan kita.

Mulakan dari rumah, kita pastikan agar nur iman dan Islam memagari keluarga kita. Sedarlah wahai umat Islam! Sesungguhnya benih kemaksiatan yang berada dipintu rumah pasti akan menular ke dalam rumah kalau kita masih mengambil sikap mementingkan diri dan tidak mahu bergotong royong dan berkorban dalam memerangi permasalahan ummah dan masyarakat sekitar.

Kita bantu pihak Polis dan jabatan-jabatan berkaitan dalam membanteras masalah jenayah dengan kembali mengaktifkan rukun tetangga, rakan masjid, serta mewujudkan pasukan anti maksiat dikawasan perumahan masing-masing.

Semoga perayaan Aidiladha ini akan menjadi pencetus kesedaran kita untuk berubah menjadi lebih baik dan maju lagi, kerana tiap umat Islam itu adalah hamba Allah yang terbaik dari kalangan hamba-hambaNya yang lain.

“Hadharah Islamiyyah bukan Islam Hadhari”

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan