Saturday, June 11, 2005

DEMONTRASI AMAN ‘SELAMATKAN MARUAH ISLAM’

KENYATAAN MEDIA (14 April 2005)

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengajak seluruh Umat Islam untuk hadir bersama dalam Demontrasi Aman ‘Selamatkan Maruah Islam’ yang bakal berlangsung di Perkarangan Masjid Kg. Baru pada 15/4/2005, iaitu esok hari selepas solat Jumaat.

Dijangkakan, sekurang-kurangnya 10,000 orang umat Islam akan berhimpun di Masjid Kg. Baru, sebagai menyatakan bantahan terhadap tuntutan dan keangkuhan Sisters In Islam dan Jawatankuasa Kaukus Parlimen yang mana antara intipati tuntutan mereka adalah;

1.Menuntut agar Undang-undang yang bertujuan mengawal moral masyarakat dimansuhkan termasuklah semua undang-undang diperingkat Kebangsaan, Negeri dan kerajaan Tempatan.

2.Menuntut agar kuasa Mufti-mufti dikaji dan dihapuskan.

3.Menuntut agar kerajaan mengiktiraf kebebasan beragama dalam Negara ini, dalam erti kata lain membenarkan Umat Islam yang ingin keluar dari Islam mengistiharkan kermurtadan mereka secara terbuka tanpa campurtangan Mahkamah Syariah.

4.Mendesak agar pihak Jabatan Pendaftaran Negara menghapuskan pernyataan status Agama dalam kad pengenalan, bagi memudahkan Umat Islam mengsistiharkan Kemurtadan mereka.

5.Membenarkan agama lain memberikan pandangan dan mempersoalkan cara hidup dan akidah umat Islam melalui cadangan mereka menubuhkan Majlis Perundingan Antara Agama (ICM).

6.Mendesak agar pihak Jabatan Agama tidak campurtangan dalam urusan peribadi Umat Islam di Malaysia termasuklah dalam tatacara berpakaian, pergaulan dan cara hidup, walaupun ianya bertentangan dengan hukum Islam seperti tidak menutup aurat, tidak bersembahyang dan berpuasa atau melakukan maksiat seperti judi, minum arak dan zina atas dasar menjaga hak asasi manusia.

Pihak DPPWP memandang serius penglibatan Sisters In Islam - Jawatankuasa Kaukus Parlimen yang tidak bertanggungjawab serta mempergunakan nama persaudaraan Islam dan rakyat Malaysia untuk membawa ideologI Jaringan Islam Liberal (JIL) dalam masyarakat Malaysia.

Di Negara luar, khususnya Indonesia Jaringan Islam Liberal yang tumbuh bagai cendawan selepas Kejatuhan Kerajaan Islam Othmaniah di Turki telah mewujudkan satu gelombang kegusaran baru dalam gelodak akidah umat Islam. Ideologi baru ini melahirkan akidah bida’ah yang diinspirasikan dari pemikiran Kamal Attarturk yang pada mulanya menterjemahkan bahasa al-Quran, kemudian mentafsir mengikut nafsu dan akhirnya mengenepikan al-Quran sebagai panduan umat Islam.

Antara pelopor Sisters In Islam yang jelas menyesatkan Umat Islam adalah Aminah Wadud yang pada bulan Mac yang lepas mengemparkan dunia dengan isu Mengimami Solat Jumaat di New York. Tidak cukup dengan itu, makmum dibiar bercampur aduk, wanita dan perempuan, malah ada kalangan makmum wanita yang tidak bertudung. Ini jelas satu penghinaan kepada akidah Umat Islam seluruh dunia.

Meneliti garapan pemikiran yang dilontar oleh Sisters In Islam dan Jawatankuasa Kaukus Parlimen di Malaysia ternyata mereka juga punyai idea dan corak pemikiran yang sama. Umat Islam di Malaysia perlu memahami bahawa apa yang dibawa oleh mereka merupakan satu perancangan jahat yang sebenarnya cuba mewujudkan satu tekanan baru kepada Umat Islam yang telah dilabelkan pengganas oleh Amerika. Jika di kenang kembali kenyataan Presiden Amerika George W. Bush pada tahun lepas, beliau telah mencadangkan agar al-Quran ditafsir semula, dan Kurikulum agama di sekolah-sekolah yang ada di Negara Islam di kaji. Idea yang dipaparkan sememangnya berhubung kait dengan apa yang diperjuangan oleh Sisters In Islam.

Satu lagi perkembangan kurang sihat dalam hal berkaitan adalah campur tangan Peter Schier, Pengarah Konrad Adenauer Foundation (KAF) Malaysia, dengan memberi bantuan kewangan, bagi mempromosikan aktiviti yang di jalankan oleh Jaringan Islam Liberal di Malaysia.

Peter Schier terbabit dalam beberapa aktiviti yang memberi gambaran buruk kepada Islam. Beliau pernah menganjurkan persidangan Etika Global, yang merupakan satu konsep sekular, bertujuan menggantikan agama sebagai sumber ajaran moral dan etika. Beliau mengambil ajaran-ajaran bersamaan dari semua agama, yang digabungkan semuanya menjadi sumber utama etika dan moral, dalam pada itu mereka cuba memansuhkan sistem perundangan syariah Islam.

Dalam kegiatan yang sama beliau juga pernah menayangkan satu dokumentari mengenai Etika Global. Di dalamnya ada beberapa aspek yang memberi gambaran buruk kepada Islam. Ini ditentang beberapa tokoh Islam terkemuka seperti Prof Kamal Hassan dan pemimpin ABIM. Beliau turut menjadi editor bersama buku bertajuk “Is Malaysia An Islamic State?” yang mana beberapa isu-isu bertentangan dengan kedudukan Islam di Malaysia telah diheboh-hebohkan.

Peter Schier dikatakan pakar dalam campurtangan masalah politik di negeri beliau bertugas. Pada tahun 90-an, semasa beliau di Kemboja sebagai wakil KAF, beliau telah diserang oleh beberapa pihak di sana kerana campurtangannya dalam hal ehwal politik negara itu. Sekarang nampaknya beliau melakukan kerja yang sama di Malaysia. Tepat sekali digambarkan beliau sebagai “cultural saboteuer” (pakar sabotaj budaya). Kerajaan digesa supaya meninjau gerak-gerinya yang sentiasa memasukkan pendirian “anti-Islam” melalui kegiatan KAF di negara ini sebelum tercetus tragedi tidak diingini.

Selain itu, DPPWP bertegas untuk menentang idea yang dilontarkan oleh mereka dan menuntut agak Pihak Majlis Raja-Raja bersuara dan juga Perdana Menteri selaku Ketua Kerajaan mengarahkan agar Sisters In Islam disiasat dan dilarang keras mengunakan nama Islam dalam perjuangan mereka kerana apa yang mereka bawa tidak mengambarkan akidah umat Islam yang sebenarnya.

Sekali lagi DPPWP mengajak kepada semua umat Islam di Negara ini untuk turun berhimpun secara aman di perkarangan Masjid Kg. Baru pada esok hari bagi menzahirkan rasa kasih dan cinta mereka kepada Islam dan ketaatan mereka kepada Allah dan RasulNya.

Pemuda PAS sanggup mati bermandi darah seandainya ada pihak-pihak tertentu yang berdegil dan cuba menyerang serta merosakkan agama Islam. Kami yakin bahawa perhimpunan pada esok hari akan berjalan dengan baik dan aman. Diharapkan pihak Polis dapat memberikan kerjasama yang baik, khususnya dari kalangan yang beragama Islam kerana perhimpunan esok hari bukannya memperjuangan kemungkaran tetapi akidah Umat Islam yang juga menjadi akidah mereka.

DPPWP mengucapkan terima kasih kepada Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPN Selangor) yang telah bersedia untuk menjayakan program ini pada esok hari secara bersama. Dengan itu DPPWP juga menjemput kepada semua pertubuhan dan Institusi yang dikuasai oleh Umat Islam, seperti Parti Keadilan Rakyat, ABIM, JIM, Hizbul Tahrir, Persatuan Ulama, Jamaah Tabligh dan sebagainya untuk turut serta. DPPWP juga mencabar Pemuda UMNO untuk hadir sebagai membuktikan keikhlasan mereka memperjuangkan Umat Melayu Islam di Malaysia.

DPPWP dan DPPN Selangor berharap agar Umat Islam di seluruh Negara mulai minggu ini dapat mengadakan Solat Hajat di masjid, surau atau di mana sahaja mereka berada dan memohon kepada Allah agar menyelamatkan akidah umat Islam di Malaysia khasnya dan seluruh dunia Umumnya.

Sarbaini Rahmat
Timbalan Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home