Saturday, June 11, 2005

Perutusan Khas Sempena Sambutan Hari Wilayah, Maal Hijrah 1425 & Tahun Baru Cina

KENYATAAN MEDIA (01 Februari 2005)

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) ingin menyampaikan Ucapan Selamat Menyambut Hari Wilayah iaitu pada 1 Februari 2005 (Hari ini) kepada seluruh warga kota metropolitan ini. Disamping itu, tidak lupa juga kepada seluruh umat Islam di seluruh pelusuk tanahair, khususnya di Wilayah Persekutuan kami mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Maal Hijrah 1426H. Seterusnya bagi semua masyarakat Cina di Wilayah Persekutuan dan seluruh negara yang bakal menyambut Tahun Baru Cina pada 9 Februari ini, pihak kami mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada anda semua.

Semoga dengan ketiga – tiga perayaan yang kita bakal lalui ini, kita akan dapat melihat perubahan wajah kehidupan warga kota yang harmoni dalam melayari kehidupan baru selepas ini. Kita cukup serik dengan masalah jenayah ragut, rogol dan bunuh yang kini menjadi perbualan hangat di mana jua kita berada. Kita berharap agar kadar Jenayah akan dapat dikurangkan lagi.

Kita menasihatkan agar orang ramai yang tinggal atau berkunjung ke Ibu Kota supaya sentiasa memerhatikan barang – barang berharga seperti beg tangan dan perhiasan agar tidak menjadi perhatian para peragut yang semakin tidak berperikemanusiaan. Begitu juga kepada adik – adik muda kita yang kian mendewasa, kita berharap agar budaya berpakaian tidak senonoh, sendat, pendek dan memancing nafsu buas para perogol dapat dihentikan. Walau pun tidak semua wanita yang berpakai sebegitu menjadi mangsa, namun adakah adik – adik masih ingin membuka ruang untuk perlakuan rogol itu terus berlaku atau menanti hingga diri sendiri menjadi mangsa?

Seterusnya, kepada para ibu bapa kita mengesyorkan agar ibu bapa dapat meluangkan masa bersama keluarga dan memerhati anak – anak mereka agar tidak berpeleseran tak tentu hala bersama rakan – rakan mereka. Kini, kegiatan lumba haram di ibu kota telah kembali aktif. Justeru itu, lihatlah pada anak – anak lelaki kita agar mereka tidak termasuk dalam senarai mangsa – mangsa kemalangan jalan raya yang kian meningkat saban tahun akibat aktiviti yang tidak bermoral itu.

Kepada Dato’ Ruslin Hasan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baru dilantik pada 14 Disember 2004 pula, kami mengharapkan agar adanya agenda pembaharuan yang positif ke arah menaikkan lagi imej Kuala Lumpur sebagai bandaraya yang unggul.

Kta berharap agar Dasar Setinggan Sifar yang dilaksanakan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada tahun ini dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan kebajikan rakyat marhaien di ibu kota. Kita menyedari bahawa terdapat beberapa kawasan setinggan di Wilayah Lembah Pantai, Bandar Tun Razak, Seputeh, Batu, Kepong dan Segambut yang menjadi sasaran jentolak DBKL. Kami mengharapkan sikap ehsan pihak DBKL agar penduduk setinggan ini diberikan pampasan yang sewajarnya dan gantian tempat tinggal yang baik. Kita tidak mahu mereka ditempatkan di rumah – rumah Flat yang sesak macam tin sardin seperti di Flat Pekeliling yang hanya mempunyai satu bilik bagi setiap rumah.

Kita juga memohon agar pihak DBKL dapat memerhatikan projek – projek pembangunan yang dilakukan di sekitar Ibu Kota agar ianya tidak menjejaskan alam semulajadi serta mengancam penduduk sekitar. Kita tidak mahu tragedi yang berlaku seperti di tapak pembinaan projek SMART di zon Keramat yang mengorbankan seorang kanak – kanak pada tahun lepas berlaku lagi. Penemuan mayat kanak – kanak dalam timbunan lumpur di kawasan projek tersebut membongkar rahsia ketidakcekapan pihak kontraktor yang dipertanggungjawabkan dalam memastikan tiadanya orang luar di tapak pembinaan tersebut. Kita juga berharap agar projek SMART itu dapat diselesaikan segera agar masalah banjir di ibukota dapat di atasi.

Kita juga berharap agar pihak DBKL dapat membuat pemantauan terhadap Sistem Pengangkutan Monorail yang berada di dalam kawasan DBKL. Trauma warga KL terhadap 2 kemalangan yang disebabkan masalah mekanikal jentera tersebut perlulah di pandang serius agar ianya tidak berulang di masa hadapan.

Seterusnya pihak DPPWP berharap agar pihak DBKL dapat meningkatkan lagi kecekapannya dalam menguruskan masalah sampah di ibu kota. Timbunan sampah sarap yang kian bertambah setiap hari menjadi masalah dan akan menjadi punca kepada penyebaran penyakit seperti taun dan demam denggi yang kini semakin meningkat. Kualiti kebersihan di pasar – pasar seperti Pasar Chow Kit dan Pudu perlulah dititik beratkan. Bau tikus dipasar – pasar tersebut perlulah dihapuskan bagi mewujudkan suasana yang sihat dalam kota raya ini. Kita juga menasihatkan agar para peniaga dan penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dapat bekerjasama dalam menyelesaikan masalah sampah ini dengan tidak membuang sampah sesuka hati.

Menjelang Awal Muharam juga, kita berharap agar DBKL dapat memerhatikan aktiviti perniagaan Pusat – pusat Hiburan disekitar Bukit Bintang-Jalan Sultan Ismail serta Bangsar. Kita memahami akan kepentingan pusat – pusat itu yang menjadi sumber kewangan kepada DBKL melalui bayaran cukai premis perniagaan. Namun kita berharap agar pihak DBKL dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dapat bekerjasama dalam membuat pemeriksaan agar tiadanya umat Islam yang singgah berhibur di tempat – tempat berkenaan. Bayangkanlah jika anak – anak anda berada dipusat hiburan itu, menghabiskan usia mudanya, bepeleseran tanpa sedikit pun kenal akan budaya bangsanya dan tidak memikirkan akan akidah yang dianutinya.

Kita harap agar DBKL bersikap tegas untuk menguatkuasakan arahan agar Umat Islam dilarang dari memasuki Pusat hiburan yang menyediakan arak dan pusat perjudian. Kita juga berharap agar lesen perniagaan bagi mana – mana peniaga yang cuai yang membiarkan anak – anak remaja bawah umur atau umat Islam memasuki premis mereka ditarik serta merta. Kita tidak mahu DBKL menerima wang haram dengan mengorbankan akidah generasi Melayu yang kini semakin hilang jatidiri.

Seterusnya kita berharap agar pihak Polis dan JAWI, dapat mengambil tindakan terhadap penularan semula aktiviti pelacuran di Jalan Chow Kit dan Jalan Tunku Abdul Rahman. Pada hari ini, kita juga dapat melihat pada setiap malam akan aksi – aksi menjijikan golongan Makyah yang berkeliaran di kedua Jalan berkenaan bagi menjual batang tubuh mereka yang amat memualkan kita. Kita berharap agar Pondok Polis di kedua – dua tempat berkenaan dapat menjalankan fungsinya bagi mengatasi masalah ini, agar kehadiran pihak berkuasa dapat dirasai dan dihormati oleh rakyat.

Akhir sekali pihak DPPWP ingin sekali menyeru kepada semua pihak agar mengambil langkah – langkah positif ke arah menjana budaya hidup yang cemerlang dalam meninggikan taraf masyarakat ibu kota. Program kemasyarakatan seperti gotong royong, berekreasi serta meningkatkan ilmu pengetahuan haruslah dijana agar kita mampu untuk memahami akan erti sebenar kehidupan ini dan menghargai akan peluang hidup yang diberikan oleh Allah s.w.t. Semoga di Tahun Baru ini kita akan merintis jalan kemajuan yang unggul selari dengan pembinaan potesi kemanusian yang Insya Allah akan melakarkan satu lagi mercu tanda kejayaan buat Kuala Lumpur sebagai Kota yang memiliki penduduk yang berakhlak tinggi.

Sekian, terima kasih.

“Bersama Kita Menjunjung Ilmu, Bersama Kita Mengukir Tamadun”

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home