Friday, January 20, 2006

Konsert Kebajikan Live 8, Menjadi Pentas Mencarut dan Pertunjukan Aksi Liar

KENYATAAN MEDIA (6 Julai 2005)

Kuala Lumpur, 6 Julai 2005 : Konsert Live 8 yang berlangsung pada 2 Julai 2005 (Sabtu lepas) di Hyde Park, London dan juga di Tokyo, Johannesburg, Paris, Rome, Berlin, Moscow, Philadelphia serta Barrie, Kanada telah mendapat liputan meluas di kebanyakkan negara.

Konsert yang diadakan itu bertujuan untuk mendesak negara - negara G8 menangani kemiskinan di Afrika. Konsert tersebut telah diadakan selama 12 jam tanpa henti dengan melibatkan ramai artis dan disiarkan secara langsung diseluruh dunia.

Walaubagaimana pun konsert Live 8 yang disiarkan secara langsung oleh Perbadanan Penyiaran Britain (BBC), di Hyde Park, London telah mencuri tumpuan ramai apabila 2 orang artis ternama, Madonna dan Snoop Dogg mencarut ketika membuat persembahan. Kejadian berlaku kira – kira pada pukul 9 malam, iaitu waktu siaran bagi kategori untuk tontonan keluarga.

Tindakan mereka ini telah mendapat bantahan dan aduan dari orang ramai. Pihak BBC mengesahkan bahawa hampir 400 aduan diterima ekoran kejadian itu. BBC meminta maaf secara terbuka kepada para penonton dan menyatakan itu adalah kesilapan peribadi yang tidak seharusnya dilakukan oleh artis berkenaan.

DPPWP tertarik dengan fakta yang diakui sendiri oleh pihak BBC ini. Hakikat inilah yang harus diterima oleh para penganjur konsert sama ada dari dalam dan luar negara. Walaupun hanya 400 aduan diterima dari jutaan yang menonton persembahan itu, namun kesannya amat besar terhadap para penonton.

Sikap artis yang sebegini sememangnya banyak berlaku. Bukan sahaja dari segi percakapan, aksi – aksi mereka diatas pentas juga kadang kala keterlaluan dengan gaya berpakaian dan juga bahasa yang keterlaluan. Sikap artis sama ada diatas pentas atau pun diluar menjadi perhatian ramai. Mereka adalah public figure dan menjadi ikutan kepada peminat mereka.

Oleh itu, DPPWP berasakan bahawa konsert – konsert yang dianjurkan dalam negara selepas ini haruslah turut mengambil kira akan kesan jangka panjang terhadap masyarakat, khususnya golongan muda. Sikap dan gaya keterlaluan artis di luar pentas kerap kali mencuri perhatian.

DPPWP tidak menolak pendekatan konsert bagi melakukan kebajikan, tetapi biarlah ianya berjalan dalam landasan yang betul dan tidak merosakkan moraliti masyarakat. DPPWP khuatir, seandainya konsert – konsert yang tidak bermanfaat seperti Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Mentor, Program Relax di RTM dan sebagainya diteruskan tanpa membuat penilaian, maka masyarakat Malaysia akan menjadi mangsa ketamakkan industri hiburan negara.

Hiburan tanpa matlamat, dengan konsep undian SMS yang dilihat sebagai aktiviti membazir ini telah menjadi kegilaan. Seharusnya satu kajian dibuat oleh pihak kerajaan agar rakyat Malaysia dapat menjimatkan perbelanjaan dan tidak dibazirkan untuk program yang tidak bermanfaat. DPPWP dimaklumkan bahawa, aktiviti undian SMS ini bukan sahaja disertai oleh golongan muda yang bekerja malah turut mempengaruhi pelajar Universiti dan sekolah yang tiada pendapatan sendiri.

Mereka sanggup membazirkan duit biasiswa dan pinjaman untuk melakukan aktiviti yang tidak mendatangkan faedah ini. DPPWP mencadangkan agar aktiviti ini dihapuskan segera kerana jika dibiarkan berterusan, maka pusingan wang dalam ekonomi negara tidak akan memberikan faedah kepada rakyat.

Kerajaan harus membantu rakyat, walaupun itu adalah kecuaian peribadi. Kerajaan juga harus melihat bahawa kejadian ini tidak akan berlaku jika tiada ruang diberikan oleh pihak kerajaan untuk pihak penganjur konsert realiti sebegini mempromosikannya. Ianya umpama dadah, jika tiada pengeluar maka tiadalah penjual dan penagih dadah. Tidak guna jika kerajaan terus memberi ruang untuk pihak syarikat penyiaran berkenaan mengaut keuntungan atas kerugian besar rakyat.

DPPWP juga ingin menasihatkan para artis dan penganjur konsert agar mematuhi adab dan batasan semua agama di Malaysia ketika mengadakan pertunjukan pentas atau berada ditengah masyarakat. Cara pemakaian mereka haruslah mengikut citra masyarakat Timur, dan menutup aurat bagi yang muslim.

Gaya keterlaluan dan juga muzik yang keras seharusnya tidak berlaku kerana ianya akan mendatangkan pengaruh negatif kepada anak – anak muda yang cenderung kepada aksi – aksi ganas dan liar. Kadang kala para pendengar muzik tidak dapat menghayati lirik sesebuah lagu dengan baik kerana muzik yang digunakan keterlaluan dan tidak sesuai.

Ini dapat dilihat dalam konsep lagu ‘Pergi Tak Kembali’ yang pernah dilagukan oleh Kumpulan nasyid Rabbani satu ketika dulu. Lirik lagu tersebut membawa mesej agar kita mengingati mati, tetapi muzik pula keterlaluan dan mengambarkan bahawa mati itu adalah satu keseronokan.

Perkara yang sama banyak berlaku dalam lagu – lagu berentak R&B, Rock, Heavy Metal dan sebagainya. Lirik yang baik tidak berguna jika muziknya tidak sesuai dan artis tersebut juga harus menjiwai lirik lagu tersebut bukan sahaja ketika membuat persembahan tetapi dimana jua mereka berada.

DPPWP bersetuju dengan pandang Ust. Idris Ahmad dalam program Debat Perdana TV1, pada 3 Julai lalu. PAS tidak menolak hiburan dan DPPWP berharap agar industri hiburan negara dapat diperkemaskan bagi melahirkan golongan artis contoh dan boleh dibanggakan oleh semua warga.

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home