Friday, January 20, 2006

Kenyataan Media DPPWP 04/08/2005: Perarakan Membantah Akta ISA 2005

Image hosted by Photobucket.com

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) amat kesal dengan sikap acuh tak acuh pihak Kerajaan dalam menangani isu Mangsa-mangsa Tahanan ISA.

Pada 17 Jun yang lalu, delegasi Majlis Perundingan Parlimen Mengenai Hak Asasi Manusia yang diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz telah membuat lawatan ke atas para tahanan di Kem Tahanan Kemunting.

Seramai 115 tahanan ditemui, dari jumlah itu, Seramai 39 orang ditahan lebih tiga tahun manakala 25 orang antara dua dan tiga tahun. Majlis tersebut telah membuat kenyataan dan rayuan bagi membebaskan tahanan-tahanan yang telah ditahan selama 2 tahun atau lebih. Mereka seharusnya dibebaskan atau dihadapkan ke Mahkamah sekiranya wujud bukti-bukti yang menyebabkan kes mereka dianggap sebagai kes 'Prima Facie.'

Namun, hingga ke hari ini tiada sebarang perubahan dibuat. Para tahanan masih menerima layanan ‘double standard’ dan tidak dibenarkan menemui keluarga mereka dalam keadaan yang selesa. mereka dipisahkan dengan tingkap kaca dan hanya dapat bercakap dari lubang kecil yang ditebuk ditengah kaca tersebut.

Selain itu, DPPWP juga dimaklumkan bahawa beberapa orang tahanan yang dituduh sebagai anggota Kumpulan Militan Malaysia, termasuklah anak Tn. Guru Nik Abd Aziz telah dilanjutkan tempoh tahanan selama 2 tahun lagi.

Perit telinga mendengar, perit lagi hati yang menanggung. Betapa berat mata kita menaruh simpati, berat lagi bahu mereka yang terpaksa melalui musim-musim getir dipenjara sepi itu.

Oleh itu, DPPWP menyeru simpati seluruh rakyat Malaysia agar kita sama-sama bangkit untuk menuntut keadilan bagi pihak mereka. Mengapa kita harus membisu bila mana, adanya rakyat jati negara tercinta ini yang diazab di tanahair sendiri tanpa mengetahui apakah salah mereka.

Telah rosakkah hati budi dan pemikiran kita hingga sanggup membuta tulikan diri sendiri dan tidak mahu mendengar jeritan batin mereka. Bagaimana raungan ketidakpasrahan keluarga mangsa-mangsa ISA ini. Dimanakah kita melangkah disaat mereka bergenang air mata. Lalukah kita menjamah butiran nasi, dihemperdu penderitaan mereka.

Ayuh!!! wahai rakyat, kita bangkit...semarakkan semangat perjuangan rakyat. Kita bersama mengatur langkah, kita mahu mereka dibebaskan. Ajaklah seluruh teman dan saudara tuan-puan untuk kita sama – sama berhimpun dan berarak bagi menyatakan sokongan kita pada perjuangan pembebasan mangsa ISA.

Pada 12 Ogos 2005 (Jumaat), seusai sahaja solat Jumaat yang kita persembahkan pada Allah Rabbul Jalil, kita bersama mengorak langkah kebersamaan berhimpun di Hadapan Masjid Negara. InsyaAllah kita akan bergerak beramai-ramai menuju ke Bangunan Suhakam di Jalan Raja Laut. Pimpinan tertinggi Barisan Alternatif, Gerakkan Mansuhkan ISA dan NGOs lainnya akan turut bersama.

Kita gerakkan seluruh jentera yang ada, kita bawa sepanduk dan juga placard tanda bantahan kita pada akta zalim ini. Perarakan ini juga akan mengiringi para pimpinan yang akan membawa dokumen rayuan dan gesaan agar pihak Suhakam bertindak bagi pihak rakyat marhaien ini.

Semoga kepelbagaian lapisan rakyat ini akan dapat mengemudi pemikiran pemimpin Kerajaan untuk membebaskan mangsa-mangsa yang tidak berdosa itu.

Bebaskan Tahanan ISA-Mansuhkan ISA


Riduan Mohd Nor
Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home