Saturday, June 11, 2005

XPDC Dakwah DPPWP dan Demonstrasi Aman Selamatkan Maruah Umat Islam

KENYATAAN MEDIA (10 April 2005)

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada semua ahli-ahli pemuda yang tegar bersengkang mata dalam merealisasikan program XPDC Dakwah Siri1 DPPWP semalam (9 April 2005). DPPWP bersyukur ke hadhat Illahi kerana sambutan seramai 130 orang pemuda PAS Wilayah Persekutuan dan Selangor telah membuktikan bahawa masih ramai lagi pemuda yang masih bersama kita dan berani berdakwah dan berjuang untuk Islam ditengah-tengah kekalutan ‘Islam Hadhari’

Program tersebut telah dimulai dengan ucapan Motivasi oleh Ust Idris Ahmad dan beberapa orang pimpinan DPPP di Taman Melewar pada jam 10.30 malam. 3 kumpulan telah dibentuk untuk tujuan edaran risalah dimana Ust Idris Ahmad timbalan Ketua Pemuda DPPP dan Ust Riduan Mohd Nor Ketua Pemuda DPWP telah mengetuai Kumpulan yang menuju ke Jalan P.Ramlee; Ust Nasaruddin Tantawi dan Ust Zuhdi Marzuki mengetuai kumpulan mereka ke Bintang Walk dan Ust Nik Abduh Nik Aziz dan Ust Azman Shapawi telah mengetuai kumpulan mereka ke Jalan Telawi Bangsar.

Ke semua rombongan tersebut telah bergerak keluar menuju kawasan yang ditetapkan bagi operasi edaran risalah dan jelajah Ibu kota Kuala Lumpur pada pukul 11 malam. Risalah Dakwah Kempen ‘Say no to’ hedonisme menjadi ‘buah tangan’ khas pemuda PAS pada malam semalam kepada anak – anak Melayu yang selama ini dibiarkan hanyut dan rosak oleh pihak Kerajaan.

Bau arak dan kebisingan disko serta pub telah menyambut kedatangan Pemuda PAS di ketiga-tiga tempat ini. Pelbagai aksi yang sukar di terima oleh hati-hati umat Islam menjadi tatapan sepanjang XPDC, dari golongan berpakaian singkat, Hippies hinggalah kepada makyah dan juga kaki mabuk ditemui.

DPPWP berasa sedih kerana masih ada lagi anak-anak muda Melayu beragama Islam yang sanggup memperhambakan diri kepada tokey-tokey disko dan pub ini untuk menjadi penyambut tetamu, pelayan bar, penari dan ‘bouncer. Tanpa rasa segan silu ada juga yang berpelukkan dan melepak ditepi-tepi disko dan pub.

DPPWP juga melihat bahawa ketiga – tiga kawasan ini telah dimanipulasikan oleh pihak kerajaan khususnya dalam mempromosikan pelancongan berkonsepkan hiburan hedonis dengan sasaran utama adalah pelancong dari Negara barat dan Timur tengah yang kaya raya. Ini sekaligus menafikan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam dan membuktikan bahawa kerajaan BN sememangnya tidak pernah ikhlas dalam membentuk imej masyarakat Malaysia yang berbudi pekerti dan bersih dari sampah hedonisma.

DPPWP juga sempat berkunjung ke laman KLCC pada Jam 1.30 pagi dan mendapati masih ramai lagi anak Melayu yang melepak dan bercengkerama di situ bersama pasangan masing – masing. Ketua Pemuda DPPWP, Ust Riduan bersama beberapa orang Pemuda telah turun kelapangan untuk menasihati setiap pasangan yang ditemui dan alhamdulillah tidak perkara yang tidak di ingini berlaku. Pendekatan mesra masyarakat telah diambil dengan usaha memberikan nasihat dan peringatan kepada sasaran yang di temui. Program telah di tamatkan kira-kira pada pukul 2 pagi dan DPPWP mengucapkan syabas kepada semua pemuda yang hadir kerana telah menunaikan sebahagian dari tanggungjawab yang telah di amanahkan oleh Allah kepada semua insan sejak azali iaitulah ‘amal ma’aruf, nahi mungkar’.

Insya Allah DPPWP akan mempertingkatkan usaha dakwah bagi mengajak pemuda Islam kembali ke pangkal jalan. DPPWP juga berharap para pemuda berani untuk keluar berdakwah tanpa rasa malu dan takut, kerana kita harus bangga menjadi umat Islam, Umat Muhammad s.a.w dan Hamba Allah.

Seterusnya satu ‘Demonstrasi Aman Selamatkan Maruah Umat Islam’ akan dianjurkan Oleh DPPWP dan DPPP di perkarangan Masjid Kg. Baru pada 15 April 2005 bagi menyatakan bantahan terhadap gerakkan Islam Liberal yang kini semakin berani mencabar undang-undang Negara dan Islam khususnya.

Usaha Sister In Islam dan 50 NGO telah menjahati umat Islam dan akhlak masyarakat Malaysia. Atas dasar mempertahankan hak asasi manusia mereka bernekad mencabar Institusi Majlis Raja – Raja dan Kerajaan menuntut agar Undang-undang agama dan Syariah tidak digunakan bagi mengatasi masalah sosial dan keruntuhan akhlak.

Sikap mereka ini jelas bertentangan dengan keperluan dan kehendak semasa rakyat yang mahukan undang-undang yang lebih tegas termasuklah yang berkaitan dengan agama semua bangsa digunapakai bagi menangani gejala sosial yang melampau dewasa ini. Apa yang mereka kemukakan adalah satu bantahan kosong tanpa sebarang cadangan yang jelas untuk mengatasi kemelut hedonisme yang merosakan masa depan generasi muda Islam dan rakyat Malaysia umumnya.

Atas nama Islam dan rakyat Malaysia, DPPWP mengajak semua umat Islam untuk turut hadir dalam perhimpunan aman ini bagi kita ’Menyelamatkan Maruah Umat Islam’ yang kini dicabar kesucian dan kredibilitinya dalam memandu manusia ke jalan yang benar. Usaha tidak bermoral dan tidak bertamadun oleh SIS dan kumpulan lainnya yang cuba melenyapkan pengaruh Islam dalam perundangan Negara akan kita tentang bagi memastikan agama Islam dapat dihormati dan tidak diperlekehkan.

Kita akan menentang seperti mana kira bersuara ketika adanya percubaan membuang nama Islam dalam pertubuhan dan institusi umat Islam 3 tahun lepas. Ayuh!!! Semua sahabat dan umat Islam, tanpa mengira usia dan kedudukkan serta pendirian politik kita bersama menyusun saf menyatakan tentangan kita terhadap usaha dan propaganda sesat ini.

Jangan biarkan Islam dilenyapkan dalam Undang-undang Malaysia dan kita tidak mahu ‘anak-anak kita dimasa hadapan, kencing diatas kubur kita kerana kita gagal mempertahankan maruah Islam pada hari ini’. Adalah satu dosa besar jika kita terus berdiam di rumah dan melihat Islam dipijak dan diratah oleh suara-suara jahil yang menyesatkan ini. DPPWP juga berharap agar pihak Polis tidak menganggu perhimpunan ini dan DPPWP menjamin bahawa ini adalah perhimpunan aman yang mana kita juga berjuang untuk maruah mereka sebagai umat Islam. Diharapkan agar pihak Kerajaan sedar perkara ini dan mengambil langkah serius dalam menagani masalah ini yang mana ianya telah turut mempengaruhi beberapa orang Menteri Kabinet yang kini telah berdiri sebaris dengan jasad Sister In Islam.

Sebarkan maklumat ini kepada semua umat Islam dan ajaklah semua sahabat dan kaum keluarga umat Islam untuk hadir.

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home