Saturday, June 11, 2005

XPDC DAKWAH SIRI III (JANGAN BIARKAN KONSERT LIAR ROSAKKAN MASYARAKAT)

KENYATAAN MEDIA (26 April 2005)

Assalamualaikum w.w.

Sekali lagi, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) akan menganjurkan program XPDC Dakwah untuk Siri yang ketiga. Setelah kita beramai – ramai turun berdakwah di sekitar kelab-kelab malam, kali ini DPPWP akan membawa petugas – petugas dakwah untuk berdakwah di sekitar kawasan Stadium Merdeka.

Umum mengetahui bahawa Pihak DPPWP telah pun membuat bantahan rasmi berhubung penganjuran konsert Fenomena Dangdut Inul. Walaubagaimana pun, setelah pelbagai usaha dilakukan, tiada sebarang petanda yang mengambarkan bahawa konsert tersebut akan dibatalkan.

DPPWP berasa khuatir akan kebejatan yang bakal berlaku serta peningkatan masalah sosial akibat penganjuran konsert sebegini. Walaupun ada sesetengah pihak bersetuju dengan menjadikan konsert sebagai medium untuk rakyat Malaysia bersuka ria namun kesan negatifnya lebih banyak dari kesan positif.

Insya Allah, petugas – petugas dakwah DPPWP yang akan turun bersama Ketua Pemuda PAS Pusat dan juga Pemuda PAS Selangor akan cuba menyampaikan risalah dakwah ini. Walaupun ada pihak yang kurang senang dengan operasi yang bakal kami lakukan, tetapi demi menjaga kepentingan Akidah Umat Islam di Negara ini, DPPWP tidak akan sekali – kali bertolak ansur terhadap aktiviti yang mengalakkan maksiat.

DPPWP juga berjanji akan mengerakkan operasi ini dalam keadaan yang aman dan kita yakin bahawa setiap petugas kita amat berdisplin dalam menjalankan amanat yang diberi. DPPWP juga menjemput kepada semua umat Islam dan pertubuhan yang berminat untuk menyertai operasi ini untuk turut serta.

Berikut adalah maklumat bagi program tersebut.

Tarikh : 1 Mei 2005 (Ahad)
Masa : 6.30 petang – 9.00 malam
Tempat : Hadapan Stadium Merdeka (Sila rujuk peta yang dilampirkan)

Kita berharap agar tiada sebarang masalah atau kekecohan sepanjang program ini, kita menggalakkan semua petugas yang turun dapat memakai baju berwarna putih sebagai mesej kepada semua ahli masyarakat bahawa kita menentang segala gejala negatif yang kini semakin menjadi – jadi dalam masyarakat.

Jika ada sebarang pertanyaan sila hubungi nombor dibawah. Sekian, wassalam.

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home