Saturday, June 11, 2005

HARGA MINYAK NAIK LAGI

KENYATAAN MEDIA (05 Mei 2005)

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) berasa amat kecewa atas tindakkan tidak berhati perut pihak kerajaan yang sekali lagi mengumumkan kenaikkan harga Minyak Petrol dan Diesel semalam. Kenyataan rasmi melalui semua siaran televisyen Kerajaan hanyalah sekadar menambahkan lagi duka nestapa rakyat.

Sebelum ini kita berharap agar Kuota Diesel dimansuhkan, tetapi hari ini kerajaan Menaikkan harga diesel sebanyak RM 0.20 lagi, manakala petrol sebanyak RM 0.10. Sesiapa pun tahu bahawa tindakkan ini hanyalah menambahkan lagi beban kewangan rakyat yang kini kian tersepit.

Strategi kerajaan menghadkan Kuota diesel sebelum ini sememang sudah dijangka bakal melonjakkan lagi harga diesel. Jumlah yang yang amat perit untuk rakyat terima. Selepas kenaikkan 10% tambang perkhidmatan pengangkutan awam dilaksanakan pada 1 Mei 2005 dijangkakan pihak Persatuan Pengangkutan awam akan membuat tuntutan baru bagi menaikkan tambang yang baru setahun jagung ini.

Dasar menghadkan kuota minyak diesel yang dilaksanakan baru – baru ini juga telah meningkatkan harga beberapa barang harian pengguna termasuk harga makanan di Kedai – kedai makan sekitar ibu kota.

Walaupun pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal – Ehwal Pengguna (KPDNHEP) acap kali memberikan amaran agar para peniaga tidak menaikkan harga barang tetapi arahan itu ternyata gagal dipatuhi oleh kebanyakan peniaga.

Kerajaan dan rakyat tidak boleh salahkan peniaga jika mereka menaikkan harga barangan mereka kerana mereka mengikuti perubahan semasa yang melanda pasaran Negara yang pada hari ini banyak dipengaruhi oleh kenaikkan harga minyak dan kekurangan bekalan ekoran kehabisan minyak yang telah dihadkan oleh Kerajaan.

Trend kenaikkan ini semakin menakutkan dan ianya berlaku setelah Parlimen meluluskan cadangan menaikkan gaji dan elaun ahli Parlimen sebanyak 10% melalui Rang Undang-undang Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 2005 bermula pada 1 Januari 2004. Kenaikkan gaji dan elaun seramai 219 orang yang dikira bermula 1 Januari 2004 yang lepas juga dilihat sebagai tidak adil bagi rakyat, walaupun kenaikkan itu meliputi ahli Parlimen dari kalangan Pembangkang.

Sikap tidak sensitif pihak kerajaan juga dilihat setelah tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja – pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk mendapatkan gaji 13 bulan bagi pihak Pekerja Sektor Awam ditolak mentah – mentah dengan alasan tidak cukup peruntukkan.

Segala tindak tanduk dan polisi yang dikeluarkan oleh pihak Kerajaan pada hari ini, dilihat hanya memberikan manfaat kepada ahli Parlimen dan bukannya kepada rakyat. Seharusnya dalam keadaan yang sebegini, usul untuk menaikkan gaji dan elaun ahli Parlimen ditangguhkan dan menggunakan duit itu memperbaiki ekonomi Negara.

Kita khuatir jika sebab kenaikkan Minyak pada hari ini bukan sahaja didorong oleh kenaikkan harga minyak seluruh dunia tetapi ianya lebih kepada usaha untuk menampung elaun- elaun yang di ingini oleh ahli Parlimen. Strategi dan percaturan ekonomi yang sebegini menyebabkan rakyat terpaksa menderita untuk menanggung keperluan nafsu serakah pemimpin dan bukannya pemimpin yang membela rakyat.

Senario yang terbalik ini pastinya akan memberikan satu tekanan baru dalam semua peringkat masyarakat yang melihat bahawa kerajaan pada hari harus turun ke bawah untuk memahami kemelut yang menghimpit kehidupan rakyat.

Jika diperhatikan, sejak Barisan Nasional (BN) menerajui Negara dibawah kepimpinan Pak Lah, tiada satu pun kejayaan besar yang dicapai. Apa yang berlaku hanyalah satu sandiwara berserta rentetan kempen yang dilihat cuba mengelabui masyarakat dari memikirkan masalah pokok yang seharusnya diselesaikan. Masalah kenaikkan harga minyak dan barangan sejak pertengahan tahun lepas amat merugikan rakyat.

Setelah para penyokong BN memenangkan kroni Pak Lah kini tibalah masanya kroni Pak Lah mengambil semula duit yang mereka tabur dahulu. Kenaikkan Harga minyak ini hanyalah sebahagian dari perencanaan licik yang cuba disandarkan untuk Kerajaan BN menaikkan banyak lagi produk dan perkhidmatan yang menjadi keperluan utama rakyat.

Kerajaan tiada duit! Itulah hakikat yang perlu diterima oleh rakyat. Jika kerajaan ada simpanan, pastinya harga barangan tidak naik seperti hari ini. Malaysia sebagai sebuah Negara pengeluar minyak yang aktif seharus memikirkan kebajikkan rakyat dengan mengurangkan Eksport Minyak ke luar Negara bagi memastikkan bekalan dalam Negara mencukupi dan harga dapat diturunkan.

Kita bukan seperti Singapura yang terpaksa melukut ditepian gantang. Jika diperhatikan, Singapura memang tidak dapat menolak trend ini lantaran mereka tidak mempunyai apa – apa sumber alam yang boleh menghasilkan minyak.

Tindakan KPDNHEP untuk menaikkan harga minyak ini juga akan menyebabkan lebih ramai lagi peniaga yang akan menaikkan harga jualan mereka. Buatlah arahan baru bagi melarang mereka!!! Pastinya KPDNHEP tidak akan mampu untuk menghalang kerana mereka juga tersepit dan kakitangan KPDNHEP yang sedikit itu pastinya tidak mampu untuk menguatkuasakan arahan ketua mereka.

Selama ini KPDNHEP telah gagal untuk memastikan harga minyak dapat distabilkan, mereka gagal untuk mengawal harga ayam, gagal untuk membanteras penyeludupan minyak….mereka gagal dan terus gagal kerana tidak berani untuk menurunkan harga minyak yang menjadi punca kepada masalah ini.

Justeru itu, satu post mortem perlu dibuat bagi melihat keberkesanan tindakan KPDNHEP terhadap keseimbangan ekonomi Negara yang kini cenderung kepada keluk Inflasi.

DPPWP juga menyeru kepada rakyat untuk kembali merenungi tindakan mereka memilih pemimpin yang ada pada hari ini. Di saat rakyat berduka dan sedih untuk memikirkan hari – hari yang mendatang, pimpinan Negara sedang asyik bermewah – mewah dengan tambahan duit elaun mereka.

DPPWP juga menyeru kepada ahli Parlimen Pembangkang dan Kerajaan yang prihatin pada nasib rakyat agar mengusulkan, kenaikkan elaun Ahli Parlimen ditangguhkan atau dibatalkan.

Herman Samsudeen
Exco
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home