Saturday, June 11, 2005

Kejayaan XPDC Dakwah Diteruskan

KENYATAAN MEDIA (02 Mei 2005)

Alhamdulillah, Program XPDC Dakwah III anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) dan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) serta Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) pada 1 Mei 2005 sekali lagi meneruskan kecemerlangannya.

Konsert Fenomena Dangdut Inul yang berlangsung semalam (01 Mei 2005) akhirnya menerima tamparan hebat setelah ianya gagal untuk mendapatkan sambutan dari rakyat Malaysia. Wakil penganjur yang ditemui telah mengesahkan bahawa banyak lagi tiket-tiket yang gagal dijual.

Pihak kami juga mendapati bahawa sambutan peniaga yang kebiasaannya berniaga diluar stadium agak dingin. Hanya sekitar 7-10 buah gerai sahaja yang dilihat dikawasan luar stadium. Parking pula banyak yang kosong. ternyata jumlah yang hadir terlalu sedikit dan tidak mencukupi korum konsert yang diingini oleh penganjur.

Kelihatan stadium hanya dikunjungi oleh penonton dari Negara Jiran, Indonesia. Antara penonton dari Indonesia yang ditemui sememangnya mengakui bahawa kehadiran mereka disitu bukannya untuk mendengar Inul menyanyi tetapi ingin melihat ‘goyang gerudi’ Inul secara ‘live’. Dan itulah modal utama para penganjur dalam mempromosikan konsert tersebut sebelum ini dengan harapan Inul mampu untuk ‘mengerudi’ Stadium Merdeka dan juga hati – hati kering para penonton untuk disumbatkan dengan najis hedonisme.

Kita juga telah dimaklumkan bahawa terdapatnya beberapa orang artis Malaysia yang hadir untuk bersama meraikan Inul, antaranya A.R Badul dan Salih Yaccob.

XPDC edaran risalah dakwah telah dimulakan sekitar pukul 6.50 petang setelah para petugas diberikan taklimat. Lebih kurang pukul 7.20 malam petugas berhenti rehat untuk menunaikan solat dan kemudian meneruskan operasi edaran risalah. XPDC ini dipimpin oleh Ust. Idris Ahmad-Tim. Ketua Pemuda PAS Pusat, Tn. Hj. Mohd Nor Mohamad-Tim. Pesuruhjaya PAS Wilayah dan Ust. Nasaruddin Tantawi berserta beberapa orang pimpinan pemuda.

XPDC kali ini juga telah disambut baik oleh masyarakat yang juga turut berminat untuk menyertai program edaran risalah. Muslimat PAS juga telah turun untuk bersama dalam mengerakkan risalah dakwah yang kita yakini mampu memberikan sedikit 'goyangan' kepada para penonton yang hadir pada malam tersebut.

Walaupun ramai rakyat Indonesia yang hadir namun usaha dakwah tetap diteruskan kerana risalah yang diedarkan tidak dibatasi oleh sempadan negara bangsa. Agenda mendaulatkan akidah Islamiyyah menjadi tongkat kepada XPDC ini.

Semoga pihak penganjur dan Inul memahami mesej yang cuba disampaikan oleh rakyat Malaysia yang kini sudah bosan dengan konsert - konsert artis dari negara luar khususnya. Golongan artis pada hari ini telah gagal menjadi teladan yang baik pada masyarakat. Cukuplah dengan wujudnya isu artis - artis yang menagih dadah, sumbang mahram, bergaduh dikelab malam dan sebagainya. Kedatangan Inul pula, hanya sekadar memanjangkan lagi plot kebobrokan golongan artis yang kini sudah tidak releven dengan apa yang diingini rakyat.

Kita tidak menyalahkan semua artis dan meletakkan semua kesalahan itu pada mereka kerana kami juga tidak menafikan bahawa ada lagi artis yang bersopan dan berimej baik. Namun begitu, kita juga perlu menerima hakikat bahawa kebanyakkan artis gagal menunjukkan imej yang baik dan mereka tidak seperti yang kita lihat dikaca TV. Skandal dan gosip artis yang kita sering dengari amat meloyakan dan memalukan.

Kita berharap agar industri seni di Negara ini dapat mengembalikan imej karyawan seni Negara yang kini sudah jauh terpesong dengan identiti budaya bangsa Melayu. Kementerian Kesenian dan Warisan perlu sedar dan bangkit dari kerusi malas mereka untuk bekerja memartabatkan budaya bangsa Melayu yang berhibur dalam erti kata tidak melanggar batas norma masyarakat.

Budaya canggung mengerudi pentas dengan punggung artis menodai kesucian akhlak masyarakat muslim haruslah ditolak dan tidak dibenarkan masuk ke Malaysia selepas ini. Kita juga jelak melihat kumpulan artis yang berpakaian tidak senonoh dengan gaya beruk terkinja – kinja diatas pentas serta tiada hala tuju melainkan sekadar berhibur dan menghibur tanpa sempadan akidah.

Secara keseluruhanyan, kita tidak mahu rakyat menyesal dikemudian hari setelah mereka pada hari ini mewariskan generasi yang tidak patriotik dan hanya berminat pada dunia hiburan sahaja. Sekiranya itu menjadi kenyataan maka Negara ini pastinya bakal dijual oleh generasi akan datang setelah mereka kehabisan dana dan kepakaran lantaran kegagalan kita mendidik jati diri mereka dalam membina Negara dan tamadun bangsa Malaysia.

Mungkin ada yang mengatakan itu mustahil, tapi lihatlah pada Indonesia yang dulunya bangga dengan pelbagai projek mega di bawah kepimpinan Suharto tetapi akhirnya tersungkur dan berlutut dihadapan IMF setelah pemimpin mereka yang gila hiburan membankrapkan Negara. Keadaan itu menunjukkan bahawa secara tidak langsung mereka telah menjual Indonesia kepada Bank Dunia dan hingga ke hari ini Indonesia menjadi kerbau yang tercucuk hidungnya lantaran kesilapan pemimpin lampau yang tidak meletakkan Islam dan budaya bangsa mereka diatas tari sosiopolitik mereka.

Kita berharap agar seluruh umat Islam di negara ini dapat bangun dari tidur mereka dan melihat realiti kehidupan yang meliliti mereka serta bergerak merungkaikan segala halangan dan tafsiran hidup yang ada. Semoga Umat Islam di Malaysia dapat memahami dan menjadikan Islam sebagai cara hidup dan bukannya sekadar identiti picisan yang terlekat pada kad pengenalan semata.

Herman Samsudeen
Exco
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home