Saturday, June 11, 2005

ISLAM HADHARI TERSUNGKUR DIPINTU KELAB MALAM ZOUK

KENYATAAN MEDIA (17 Februari 2005)

Liberalisasi dalam Islam kini semakin giat diperjuangkan oleh UMNO dan pemimpin tertinggi Negara. Walaupun YAB Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi telah melancarkan kempen Islam Hadhari bagi merealisasikan dakwaan Mahathir (Mantan PM) iaitu Malaysia adalah Negara Islam namun apa yang diketengahkan tidaklah seikhlas namanya.

Islam Hadhari yang telah digariskan, kononnya menepati kehendak Islam yang Syumul dan cuba disebar luaskan kepada seluruh rakyat, namun itu adalah satu pembohongan yang besar yang maha dahsyat. Skandal penangkapan Jeslina Hashim di Kelab Malam Zouk bersama rakan – rakannya pada 13 Januari 2004 telah mendedahkan segala kepincangan.

Betapa amat kita kesali bila mana pimpinan UMNO tampil seorang demi seorang termasuklah Marshitah, Shahrizat, Rais Yatim dan sebagainya yang cuba mempertahankan Jeslina dan rakan-rakan serta menuduh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sebagai biadap dan tidak mengikut peraturan dalam membuat tangkapan.

Perbuatan Jeslina yang berada di Kelab Zouk yang seharusnya hanya dikunjungi oleh mereka yang bukan Islam dan ketika ditahan beliau dalam keadaan pakaian yang kurang sopan amatlah bertentangan dengan cara hidup yang disyariatkan oleh Islam. Walaubagaimana pun UMNO terus berdegil dengan Puteri UMNO sendiri berikrar akan menyediakan barisan peguam sekiranya dakwaan terhadap Jeslina dan rakan-rakannya diteruskan

Akibat desakkan daripada beberapa orang Menteri, akhirnya JAWI terpaksa akur dan menarik balik dakwaan yang dikeluarkan. Ini seterusnya mengambarkan betapa JAWI itu sendiri telah dikambing hitamkan bagi menyelamatkan kepentingan orang tertentu dan menyebabkan ISLAM HADHARI tajaan UMNO TERSUNGKUR DIPINTU KELAB MALAM ZOUK.

Bagi pihak DPPWP, kami melihat bahawa tragedi ini bukan sahaja menconteng arang kepada Jabatan Perdana Menteri selaku penaung JAWI tetapi telah memalukan Malaysia di mata dunia yang kini mempengerusi OIC sebagai sebuah Negara yang mengaku ‘Negara Islam’ contoh.

FAHAMI HUKUM ISLAM

Alasan bahawa perbuatan Jeslina itu tidak melanggar hukum Islam berdasarkan konsep hak asasi manusia menjelaskan pada kita bahawa Islam Hadhari edisi UMNO ini adalah produk kumpulan radikal liberal yang hampir serupa dengan corak yang cuba di terapkan oleh kerajaan Amerika yang pernah mencadangkan agar Isi Al-Quran ditafsir semula dan Sekolah-sekolah agama dirobohkan.

Cadangan Puteri UMNO bahawa pihak berkuasa perlu mengeluarkan garis panduan dan tatacara penguatkuasaan untuk JAWI amatlah memeranjatkan kita. Ditambah lagi dengan permohonan mereka agar JAWI dan Jabatan Islam lainnya mengeluarkan kod etika berpakaian Islam untuk di jadikan role model jelas menunjukkan kedangkalan akal fikiran mereka yang senipis rambut mereka sendiri.

Seharusnya perkara ini telah diketahui sendiri oleh mereka jika mereka benar-benar mengkaji al-Quran dan memahami isinya yang hakikatnya menyeru agar umat Islam bersama dalam membasmi kemungkaran dan menyebarkan kebaikkan;

……Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.
(Al-Maidah:2)


Akibat tidak mendalami isi Al-Quran pemimpin UMNO tidak melihat Judi, Arak dan Zina itu haram disisi agama serta menutup aurat itu wajib bagi mereka yang dewasa. Pihak DPPWP tidak terlalu terkejut jika inilah kefahaman UMNO kini, memandangkan orang yang mempelopori Islam Hadhari “Pak Lah” itu sendiri gagal memastikan isterinya memakai tudung setelah lebih 25 tahun dikahwini (lebih lama dari tempoh dakwah Rasulullah -23 tahun). Begitu juga anak perempuannyanya yang giat bersama Sisters In Islam menentang serta menolak poligami dan menyokong kebebasan agama yang membiarkan umat Islam bebas dimurtadkan melalui cadangan penubuhan ‘Inter Religion Council (IRC)’.

Hakikatnya, tiada mana – mana agama sekalipun di Malaysia atau didunia ini yang menghalalkan Judi, Zina dan membiarkan umatnya meminum arak secara berlebihan hingga mabuk kecualilah mereka itu berpegang kepada Prinsip atau ideology Black Metal yang pernah terkenal pada awal tahun lalu.

KERAJAAN UMNO ‘DOUBLE STANDARD’

DPPWP juga, berasa amat terkilan dengan sikap ‘double standard’ kerajaan UMNO bila berhadapan dengan isu ini berbanding dengan isu tahan ISA. Jika aduan Jeslina yang mendakwa beliau dilayan seperti ‘pelacur’ mendapat reaksi yang pantas daripada UMNO bagaimana pula halnya dengan tahanan ISA yang dilayan seperti binatang ketika sesi soal siasat.

Jika Jeslina sekadar diambil gambar dengan memakai pakaiannya yang secara tidak langsung menyebabkab dia sendiri boleh berasa terhina, bagaimana pula perasaan tahanan ISA yang menutup aurat tetapi dipaksa berbogel dan duduk diatas ais sepanjang malam ketika disoal – siasat sedangkan mereka belum tentu bersalah.

Dalam hal ini, di manakah suara Puteri UMNO, mana dia Pemuda UMNO, mana dia sifat al-Ghazali dan Al-Shafie yang diimpikan oleh ‘Pak Lah’ dalam sajaknya “Ku Cari Damai Abadi”. Inilah dia sikap sebenar UMNO yang menjual Islam demi meneruskan usia nyanyuk UMNO yang kian ketandusan idea untuk berhadapan dengan PAS.

KEGAGALAN YANG NYATA

Jika diteliti, UMNO pada tahun 80-an pernah mengutarakan gagasan Islamisasi yang akhirnya gagal melahirkan umat Islam yang berkualiti serta berakhlak tinggi. Selain itu, Dasar Bersih Cekap dan Amanah turut dilancarkan bagi memastikan masalah rasuah dapat dihapuskan. Namun semua ini gagal, ekoran pemimpin UMNO sendiri melakukan maksiat dan rasuah.

Justeru itu, Islam Hadhari serta Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni telah dilancarkan bagi mengulang cetak edisi pembohongan UMNO versi abad ke-21. Tiada apa yang meningkat dan menarik dalam idea yang dibawa oleh ‘Pak Lah’ melainkan memplagiat apa yang pernah dilakarkan oleh Mahathir sebelum ini yang turut menemui kegagalan.

Antara beberapa kegagalan yang nyata adalah;

1. Peruntukkan Dana Sekolah Agama Rakyat yang ditarik pada zaman Mahathir diteruskan lagi hingga kini dan menyebabkan banyak SAR terpaksa ditutup.

2. Perjuangan memartabatkan Bahasa Kebangsaan disekat dengan meneruskan idea bahawa matapelajaran Sains dan Matematik perlu diajar dalam Bahasa Inggeris. Kita Khuatir, jika Bahasa Kebangsaan akan dilupakan dan tidak diketahui oleh anak Melayu khususnya, seperti yang berlaku kepada tulisan Jawi setelah dimansuhkan dari diajar disekolah pada tahun 70-an.

3. Tindakan kerajaan yang menyekat konsert pada sambutan tahun baru 2005 sempena menghormati mangsa tsunami, tetapi kemudian membenarkannya selepas tarikh itu kelihatan persis tindakkan kerajaan Yahudi Amerika yang bertafakur selepas tragedi WTC 911 tetapi selepas itu mereka pula yang menganas diserata dunia dan turut menggalakkan maksiat serta kezaliman dimerata tempat.

4. Perasuah besar dikalangan Menteri Kabinet seperti Rafidah tidak dibawa ke mahkamah walaupun pelbagai pihak telah membuat laporan sekaligus menunjukkan gagalnya kempen nilai-nilai murni.

5. Gejala maksiat, jenayah bunuh dan rogol tidak menunjukkan pengurangan yang nyata dengan orang melayu Islam masih lagi menduduki carta teratas dalam senarai banduan di penjara dan pusat Serenti.

6. Industri Judi di Genting Highland tidak disekat untuk orang muslim begitu juga kelab-kelab malam di sekitar segitiga emas kota raya kuala Lumpur : Bukit Bintang-Jalan Sultan Ismail dan Bangsar.

7. Tindakkan Kerajaan membuat kajian dan mentafsir semula akan kebenaran tindakkan JAWI dalam Isu Penyerbuan Kelab Malam Zouk tiada bezanya dengan tindakkan Amerika yang cuba mentafsir Al-Quran dan inilah antara kemuncak bukti kepalsuan dan ketidak ikhlasan Islam Hadhari yang dijaja UMNO.

Seterusnya, tindakkan kerajaan Malaysia yang cuba mempromosikan Islam Hadhari diseluruh dunia pula, dilihat umpama “Seekor ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus” yang hakikatnya Malaysia belum berjaya membuktikan kejayaannya dalam menegakkan sebuah daulah Islamiyyah.

Sesungguhnya, DPPWP melihat bahawa tiada kesungguhan dalam pemikiran pemimpin UMNO dalam memperjuangan agenda Islam sebenarnya. Apa yang ada hanyalah satu koleksi cacamarba yang mana nilai-nilai murni Islam itu digaulkan berserta nilai-nilai hedonisma, sekularisma, sosialis dan sebagainya sehingga menyebabkan mereka mabuk dan lupa akan amanah yang beri oleh rakyat yang sentiasa ditipu oleh mereka.

Jika benar UMNO memperjuangkan Islam mengikut akidah ahli sunnah wal-jamaah, sekatlah pertambahan pusat perjudian, kelab malam, tutuplah pusat pelacuran, bicarakan Menteri yang rasuah serta pesalah maksiat, benarkan program ceramah dan tazkirah di Masjid, Kembalikan peruntukan Sekolah Agama Rakyat, bebaskan tahanan ISA dan letakan al-Quran sebagai Perlembagaan utama khususnya dalam membicarakan soal kepentingan umat Islam di Negara ini.

Sekian, terima kasih.

“Hadharah Islamiyyah Bukan Islam Hadhari”

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home