Saturday, June 11, 2005

Kerajaan BN dijangkiti HIV

KENYATAAN MEDIA (04 Jun 2005)

Kuala Lumpur, 04 Jun 2005 : Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) tidak bersetuju cadangan pihak kerajaan BN untuk memperkenalkan insentif khas kepada golongan penagih dadah.

Berita TV3 pada pukul 8 malam semalam (03 Jun 2005) melaporkan bahawa pihak Kerajaan BN bercadang untuk memberikan insentif khas kepada golongan penagih dadah bagi mengawal perkembangan kes HIV dan AIDS dalam negara.

Dalam cadangan itu, pihak Kerajaan BN berhasrat untuk memberikan peruntukan sebanyak RM 7 Juta bagi membekalkan dadah jenis Metadon, RM 2.5 Juta untuk Jarum Suntikan serta 1 Juta untuk bekalan Kondom secara percuma kepada semua penagih dadah berdaftar dalam negara.

Pihak DPPWP melihat bahawa dasar ini bertentangan dengan hasrat rakyat yang mahu melihat gejala dadah dalam negara dikurangkan hingga ke angka sifar. Ia juga menunjukan bahawa Kerajaan BN gagal menangani masalah ini secara bijak dan menyerah kalah terhadap golongan penagih ini. Inilah bukti bahawa, Kempen Anti dadah seperti 6 Jahanam yang dilancarkan pada awal tahun ini hanyalah satu gimik politik untuk memperbodohkan rakyat.

Adakah Kerjaan BN telah dijangkiti oleh Virus HIV hingga gagal memikirkan jalan lain untuk menyelesaikan masalah dadah dalam negara?

Setelah harga diesel dan petrol dinaikkan atas alasan Kerajaan tidak mampu untuk terus memberikan subsidi kepada rakyat, Kerajaan BN dengan angkuh ingin memalingkan peruntukan itu kepada golongan penagih dadah pula. Rakyat tidak buta dan rakyat akan bangkit kiranya saranan ini diteruskan.

Statistik yang direkodkan melalui Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (NADI) menunjukan bahawa jumlah penagih baru telah meningkat dari 18, 601 orang pada tahun 2003 kepada 19, 810 orang pada 2004. Sebanyak 17, 473 orang bekas penagih kembali menagih pada tahun 2003 dan angka ini meningkat sebanyak 18, 862 orang pada 2004.
Angka – angka ini hanya menjelaskan bahawa program pemulihan yang dijalankan oleh pihak Kerajaan BN gagal untuk menurunkan jumlah penagih aktif dalam negara. Angka – angka ini jugalah yang menyumbang kepada bertambahnya penghidap penyakit HIV yang kini telah melebihi 60, 000 orang dalam negara.

Pandangan Mufti Perak, Dato Seri Harussani Zakaria baru-baru ini yang mencadangkan agar pengidap-pengidap HIV perlu diasingkan harus dilihat sebagai satu cadangan yang positif bagi mengawal merebaknya penyakit AIDS. Cadangan ini perlu dikaji dengan mengambil kesan hubungan sosial penghidap penyakit ini dengan masyarakat dan juga keluarga mereka. Walaubagaimana pun DPPWP tidak berhasrat untuk melihat masyarakat memencilkan penghidap HIV ini atau memisahkan mereka dari keluarga mereka.

DPPWP percaya bahawa konsep pengasingan yang boleh dilakukan adalah dengan mengasing barang – barang keperluan harian termasuk makan minum serta peralatan harian. Pengasingan melalui penjara atau meletak mereka ke satu tempat khas hanya boleh dilakukan kepada penghidap HIV yang degil, enggan memberikan kerjasama dan aktif dalam aktiviti penagihan serta pelacuran.

Selain itu, masyarakat juga harus disedarkan secara lebih positif tentang penyakit HIV agar masyarakat tidak memandang serong kepada golongan ini. Tidak semua penghidap penyakit ini dapat menerima hakikat bahawa mereka menghidap HIV. Golongan suri rumah dan mereka yang tidak bersalah kerana dijangkiti penyakit ini melalui pasangan masing tanpa disedari haruslah diberikan sokongan agar mereka dapat meneruskan hidup dengan baik.

Pendidikan agama dan moral perlu diperbanyakkan hinggalah ke peringkat Universiti dan tempat kerja bagi memastikan rakyat sedar dan berawas tentang perkembangan terbaru gejala HIV ini. Kerajaan harus tegas dan proaktif mengaturkan program membanteras masalah sosial yang wujud akibat adanya program – program hedonisme seperti konsert yang tidak mendidik jiwa rakyat.

Kerajaan tidak boleh bersikap hangat – hangat tahi ayam dan menghabiskan berjuta ringgit dengan sekadar melancarkan promosi politik dan gimik pelancaran kempen – kempen anti dadah dan masalah sosial. Apa yang penting adalah usaha yang berterusan dan penguatkuasaan undang – undang dalam cara yang strategic serta tegas. Tidak guna jika pihak Kerajaan mengadakan pelancaran Kempen Anti Dadah dan Memerangi Gejala Sosial tapi dalam masa yang sama budaya hiburan, konsert hedonisme dan pusat maksiat yang menggalakkan percampuran bebas dibiarkan bermaharajalela.

Sekali lagi pihak DPPWP menegaskan bahawa tindakan Kerajaan BN yang mencadangkan pemberian insentif ini harus ditolak oleh semua rakyat. Peruntukan tersebut boleh digunakan untuk keperluan lain termasuklah memberikan subsidi perubatan kepada rakyat yang miskin.

Kepada semua rakyat, DPPWP menyeru agar dapat memikirkan perkara ini. Rakyat harus menolak BN dalam pilihanraya akan datang kerana telah menaikkan harga minyak yang bebanan ekonomi rakyat meningkat dan dalam masa yang sama BN cuba pula merebakkan gejala sosial dan dadah secara tersusun dalam masyarakat.

Kerajaan apakah ini? Semua kerajaan didunia ingin memakmurkan rakyat, tapi BN pula cuba menjahanamkan rakyat. Ayuh!!! kita tolak Kerajaan BN dan kembalikan hak rakyat.

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home