Saturday, June 11, 2005

KEMPEN MEMBANTAH KENAIKKAN HARGA MINYAK DAN BARANGAN PENGGUNA

KENYATAAN MEDIA (13 Mei 2005)

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) berasa amat simpati terhadap nasib yang terpaksa dilalui rakyat lantaran ketidakpekaan Kerajaan Barisan Nasional terhadap kesusahan yang dialami.

Indeks Harga Pengguna dalam Negara kini, telah meningkat sebanyak 1% iaitu dari 1.4% tahun lepas kepada 2.4% tahun 2005. Purata rakyat Malaysia yang tinggal dan bekerja dibandar – Bandar besar seperti Kuala Lumpur, George Town dan Johor Bahru berpendapatan RM 1500 – RM 2500. Diluar Bandar pula purata rakyat Malaysia menerima pendapatan sekitar RM 500 – RM 1000.

Jumlah ini tidak memadai dengan apa yang rakyat terpaksa bayar untuk mendapatkan barangan keperluan hidup. Pelbagai belanja terpaksa di kurangkan. Sebuah Keluarga yang mempunyai anak seramai 2 orang pastinya akan terbeban dengan kenaikan harga minyak dan barangan lain di pasaran.

Bayangkanlah pendapatan bulanan keseluruhan keluarga ini RM 5,000 (pendapatan suami isteri). Setelah ditolak dengan KWSP sebanyak RM 600 jumlah yang tinggal hanyalah RM 4,400. Perbelanjaan untuk persekolahan anak (2 Orang) RM 800, sewa rumah RM 500, ansuran kereta RM 500, petrol RM 600 (RM 20 sehari) tol RM 90 (RM 3 sehari), Bil elektrik, air dan telefon RM 600, belanja dapur RM 1,000, Selengaraan kereta dan lain-lain perkara RM 400.

Jumlah keseluruhan adalah RM 5,090. Perbelanjaan bulanan ini dikira tanpa mengambil kira kos-kos lain yang berada diluar jangkaan isi rumah tersebut. Keadaan ini sekaligus mengambarkan pada kita bahawa tabungan isi rumah akan menjadi negatif setiap bulan.

Jika dilihat pada laporan Bank Negara (sila rujuk http://www.bnm.gov.my), jumlah deposit simpanan individu di seluruh Negara merosot kepada RM 1,740 juta pada Januari 2005 berbanding RM 4,078 juta pada Disember 2004. Jumlah Deposit Negara secara keseluruhan pula merosot dari RM 14, 237 juta pada Disember 2004 kepada RM 3,827 juta pada Januari 2005.

Pertumbuhan tahunan bagi Aktiviti pemberian pinjaman oleh bank kepada isi rumah pula telah meningkat daripada 10.7% pada 2004 kepada 21.9% pada tahun 2005.

Data-data ini sudah cukup untuk mengambarkan pendapatan isi rumah atau rakyat yang sudah tidak mencukupi untuk tujuan tabungan dan rakyat terpaksa meningkatkan jumlah hutang ekoran desakan ekonomi semasa. Justeru itu, tindakkan menaikkan harga minyak dan tol pada hari semakin menambahkan lagi azab yang dideritai.

Mungkin rakyat masih menganggap keadaan ini tidak terlalu serius. Ekonomi dikatakan sedang menuju ke arah yang lebih dinamik dan mengembang. Namun semua itu hanyalah fatamorgana dan pastinya rakyat harus beringat bahawa sejarah kenaikkan harga bahan api, tol dan barangan pengguna dalam tempoh setahun setengah pemerintahan Pak Lah sentiasa berlaku dan tiada penurunan dicatatkan.

Tiada kempen mencegah atau menghalang inflasi dilakukan, projek – projek besar tetap berjalan, elaun ahli parlimen naik, peruntukkan di setiap Kementerian naik. Dalam masa yang sama, bonus tahunan kakitangan awam menurun, tuntutan menaikkan gaji kakitangan awam oleh CUEPACS pula ditolak mentah – mentah. Apa yang naik ? minyak, tol, tambang kenderaan awam dan komersial, barangan pasar, dan banyak lagi naik!!!

Inilah hadiah atas mandat yang diberikan oleh rakyat kepada Barisan Nasional yang memimpin Negara. Pemimpin BN tidak merasai keperitan rakyat sebab mereka makan di hotel – hotel besar dengan duit cukai rakyat, mereka turun ke pasar untuk tengok harga barang tetapi tidak boleh berbuat apa – apa. Mereka boleh dapat elaun perubatan yang tinggi di hospital – hospital ternama berserta dengan layanan kelas pertama, tetapi rakyat terpaksa menunggu berjam – jam untuk mendapatkan rawatan dan membayar sendiri kos rawatan yang kini bakal swastakan.

PAS sentiasa bersama rakyat untuk memahami dan berkongsi keperitan yang dilalui. Dalam usaha PAS mendesak pihak kerajaan untuk mengkaji semula kenaikkan harga minyak dan tol, PAS berharap agar rakyat sedar dan berani untuk bersuara. Selagi rakyat berdiam dan tidak menzahirkan masalah yang dirasai kini, pastinya Kerajaan BN akan terus menaikkan harga barangan sesuka hati mereka.

Oleh itu DPPWP menjemput kepada semua ahli dan rakyat untuk hadir ke program berikut bagi mendesak Kerajaan BN berfikiran waras dan bijak dalam menangani kemelut ekonomi yang melanda Negara.

1. Public campaign-Edaran risalah penerangan berhubung kenaikkan harga Minyak & Inflasi bersama Pimpinan Pemuda Pusat;

Tarikh : 14 Mei 2005 (Sabtu)
Masa : 5.00 petang
Tempat : Berkumpul di Masjid India
(Digalakkan solat asar di Masjid & datang awal)

*Operasi edaran risalah kempen akan diadakan di sekitar jalan Masjid India hingga ke SOGO.

2. Himpunan Rakyat Membantah Kenaikkan Harga Minyak
Tarikh : 14 Mei 2005 (Sabtu)
Masa : 9.30 malam
Tempat : Markas Tarbiyyah, Taman Melewar
Tajuk : Kenaikkan Harga Barang dan Inflasi,
Hadiah Barisan Nasional Untuk Rakyat
Pemidato : YB Salahuddin Ayub
Ust. Idris Hj. Ahmad
Sdr. Mazlan Aliman
Ust. Nik Abduh Nik Abd Aziz
Ust. Riduan Mohd Nor

Pihak kami berharap agar rakyat dapat hadir dan semoga program ini akan berjalan dengan baik tanpa gangguan dari mana - mana pihak termasuklah pihak Keselamatan.

Harapan kami juga, semoga Kerajaan dapat sedar akan tekanan hidup yang dialami rakyat, khususnya di ibu kota dan dapat menimbangkan kenaikkan gaji bagi semua kakitangan awam dan swasta di Malaysia. InsyaAllah perhimpunan ini akan berjalan dengan baik kerana ini adalah sebahagian usaha kita untuk menolong rakyat. sila sebarkan maklumat ini

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home