Saturday, June 11, 2005

ISU DADAH : JAWAPAN BALAS UNTUK DATUK NOH OMAR DAN UMNO

KENYATAAN MEDIA (28 Februari 2005)

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyambut baik saranan yang dilontarkan oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Noh Omar berhubung isu membasmi najis dadah sempena ‘Karnival 6 Jahanam’ yang dilancarkan di Kuala Lumpur. DPPWP dan PAS tidak pernah mengenepikan perkara - perkara yang berhubung kait dengan masalah dadah dan penyeludupannya.

Bagi DPPWP, kita tiada masalah untuk turun ke Padang dan bekerjasama dengan sesiapa juga bagi menangani kemelut yang melanda generasi belia hari ini. Kita tiada halangan terhadap kempen yang dianjurkan oleh mana-mana pihak sekiranya ianya tidak melampaui batas syariat.

Di pihak DPPWP, kita melihat bahawa kewujudan Biro Dadah Kebangsaan di dalam UMNO bukanlah perkara luar biasa dan ia tidak memberikan apa – apa makna jika usaha dan program yang dilakukan sebelum dan selepas ini hanyalah ‘Hangat – hangat tahi ayam’.

Cuma di pihak DPPWP dan PAS umumnya, kita berasa agak pelik, mengapa baru hari ini pihak UMNO mewujudkan Biro ini sedangkan mereka telah memerintah lebih 40 tahun dan masalah ini telah lahir sebelum kelahiran UMNO sendiri. Adakah UMNO baru tersedar dari khayalan dan baru melihat realiti masalah dadah ini?.

Kita di pihak PAS telah lama berjuang, bukan sahaja untuk isu dadah tetapi kita menentang apa jua bentuk kemaksiatan yang pastinya merupakan sebahagian dari kelompok masalah yang meliliti kehidupan rakyat Malaysia hari ini. Kita kesal dengan tindakkan tidak bertanggungjawab Kerajaan UMNO yang pada hari ini masih terus membiarkan kewujudan begitu banyak disko dan pusat maksiat lainnya yang mana pusat – pusat inilah yang menjadi pusat pengedaran dadah seperti pil ecstasy.

Sehubungan dengan itu, DPPWP mencabar pihak Kerajaan UMNO untuk membuktikan kesungguhan mereka dalam menangani isu dadah dan juga masalah maksiat yang kini menghantui masyarakat dalam Negara ini. Kita mahu melihat UMNO-BN yang kini menguasai 90 peratus kerusi Parlimen memberikan kebebasan kepada penguatkuasa undang – undang seperti Pihak Polis dan JAWI dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan najis dadah dan maksiat.

Bukan isu penagihan najis dadah sahaja yang harus dipandang berat tetapi punca dan sarangnya juga haruslah di hapuskan. Kita berharap agar serbuan lebih kerap dilakukan ke atas Kelab-kelab malam, pusat perjudian dan premis – premis hiburan lainnya, kerana di situlah antara sarang penyebaran dadah yang sering menjadikan golongan belia sebagai sasarannya. Begitu juga konsert – konsert hiburan yang sering dijadikan pusat pengedaran dadah perlu dihadkan.

Jika dadah dianggap sebagai racun dalam masyarakat oleh UMNO, DPPWP dan PAS melihat rasuah atau politik wang, pelacuran, perjudian dan gejala maksiat lainnya juga adalah satu ancaman besar kepada generasi sekarang. Tak guna jika Kerajaan mengubati satu penyakit sahaja tetapi dalam masa yang sama wabak lain dibiarkan merebak, padahal puncanya adalah sama iaitu pusat perjudian, kelab malam dan pusat hiburan serta pesta konsert yang berlambak di dalam Negara.

Kerajaan perlu membuat klasifikasi akan konsep pusat hiburan dalam Negara agar tidak melanggar norma masyarakat dan tidak dijadikan sebagai pusat ‘Pesta haiwan yang bertopengkan manusia’ yang melampau.

Kerajaan perlu menutup ruang – ruang yang boleh diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengedarkan najis tersebut dalam masyarakat. Dalam masa yang sama, Kerajaan perlu menyiasat dan menilai dari semasa ke semasa operasi yang dilakukan dan kakitangan yang bertugas perlu dipantau agar mereka juga bebas dari dadah dan tidak menjadi talibarut kepada pengedar dadah.

DPPWP menyeru agar UMNO bukan sahaja bersungguh menubuhkan Biro Dadah Kebangsaan tetapi mewujudkan Biro Anti Maksiat yang mana ruang lingkup dan peranannya lebih luas. Jika benar UMNO berjuang untuk anak bangsa Melayu, UMNO perlu buktikan bahawa mereka mampu mengurangkan kadar jenayah dan jumlah penagih dadah yang kini rating tertinggi masih dipegang oleh kaum Melayu. Dengan kuasa politik yang ada beserta penguasaan media massa seharusnya perkara ini tidak timbul lagi pada hari ini.

Kita kesal kerana segala langkah yang diambil oleh Kerajaan UMNO-BN selama ini hanyalah sebagai retorik semata. Kempen-kempen dilakukan besar – besaran tetapi selepas itu, Kabinet kembali bersidang pula untuk berbincang tentang budget berhubung penambahan Pusat – Pusat Serenti. Ini membuktikan bahawa UMNO gagal dalam tindakkannya dan apa yang dibuat umpama ‘melepaskan batuk ditangga‘ sahaja.

Sekali lagi DPPWP bertegas agar pihak Kerajaan benar-benar telus dan bertindak dalam menghapuskan sarang-sarang dadah ini. Pihak DPPWP dan PAS serta Parti Pembangkang lain tetap akan memberikan komitmen dalam mengatasi masalah ini secara bersama sama ada dipelawa oleh UMNO atau tidak!!!

“Hadharah Islamiyyah bukan Islam Hadhari”

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home