Friday, January 20, 2006

PERUTUSAN KHAS SEMPENA SAMBUTAN HARI RAYA AIDILADHA 1426H

KENYATAAN MEDIA (09 Januari 2006)

Bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada hari esok, iaitu 10 Januari 2006 bersamaan 10 Zulhijjah 1426H, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) ingin mengucapkan salam Aidiladha dan persaudaraan buat semua warga kota dan umat Islam di dalam dan luar Negara.

Sebelum itu, DPPWP mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa runtuhan hotel di Jalan Janduria di kawasan Al Ghazzah dekat Masjidilharam pada 5 Januari 2006 yang lalu. Mangsa yang kesemuanya berasal dari Sabah telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Mina Muaissim pada hari Sabtu lalu. Semoga Allah merahmati mereka bersama 72 orang Jamaah haji lainnya yang turut terkorban.

Hari ini, tanggal 9 Zulhijjah, Jamaah Haji dari seluruh pelusuk dunia telah meneruskan aktiviti haji dan berwukuf di Padang Arafah. Cuaca yang panas terik di Arafah, adalah bayangan di Padang Mahsyar kelak. Keadaan ini harus dijadikan iktibar dan peringatan buat kita juga, semoga ia akan menguatkan lagi keazaman kita dalam beribadah. DPPWP juga, berdoa agar Allah menerima ibadat haji dan mengabulkan doa para Jamaah yang kini sedang berada dikemuncak musim haji tahun ini.

Dalam pada itu, DPPWP juga ingin mengajak seluruh umat Islam yang tidak berpeluang menunaikan haji, untuk merenungi akan kisah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim di dalam menunaikan perintah Allah s.w.t. dan kesabaran baginda melalui ayat 102 – 103, surah As Saffat,:

"Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata : "Hai anakku, Sesungguhnya aku melihat di dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka Fikirkanlah apa pendapatmu." Ia menjawab : Hai ayahku! Kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar."

Di dalam melaksanakan perintah itu Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail telah menyerahkan diri mereka sepenuhnya di dalam melaksanakan perintah Allah sehingga dengan kurnia Allah yang maha Penyayang, Allah telah menghantarkan seekor kibasy untuk menggantikan Nabi Allah Ismail yang juga disebutkan di dalam surah As Saffat,ayat 106 – 107:

"Sesungguhnya ini benar-benar satu ujian yang nyata. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar."

Oleh itu, dalam kegembiraan menyambut Hari Raya, DPPWP menyeru kepada umat Islam yang berkemampuan pada hari ini untuk melakukan ibadat korban. Ibadat korban bermaksud menyembelih haiwan tertentu seperti unta, kerbau, lembu atau kambing pada hari ke-10, 11, 12 dan 13 Zulhijah.

Ada banyak hadis yang menyebut keutamaan ibadat korban. Antaranya, hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah bahawa Rasulullah bersabda bermaksud:

“Tiada sesuatu amalan yang dikerjakan oleh anak Adam pada Hari Raya Haji yang lebih disukai oleh Allah daripada menumpahkan darah (ibadat korban)."

“Bahawasanya ia (haiwan yang dikorbankan itu) datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya dan bahawasanya darah (korban itu) mendapat tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi. Oleh itu hendaklah kamu berkorban dengan hati yang bersih."
(Hadis riwayat al-Tarmizi)."

Melalui hadis ini, kita dapat dengan jelas bahawa ibadat korban adalah ibadat atau amalan yang disukai oleh Allah. Maka tentunya ia mendapat kemuliaan di sisi Allah pada hari kiamat kelak.

Jika Aidilfitri kita berperang untuk mengikat tali perut dan melawan pelbagai nafsu, Aidiladha mengajarkan kita cara untuk membuktikan kesungguhan perjuangan dan keikhlasan kita pada Allah.

Justeru itu, DPPWP berharap agar sambutan perayaan ini dapat mengukuhkan lagi tali persaudaraan seluruh umat Islam yang berkampung dan bergotong-royong dalam menunaikan ibadah dibulan mulia ini.

Disamping itu, bulan Zulhijjah juga adalah bulan terakhir dalam kalendar umat Islam, maka ianya juga penutup bagi tahun 1426H dan perlulah kita muhasabahkan diri sebelum kita menyahut cabaran 1427H mulai bulan hadapan.

DPPWP berharap agar umat Islam pada hari ini dapat bersatu khususnya di Wilayah Persekutuan dan di Negara ini untuk menghadapi pelbagai kebejatan permasalahan sosial. Apa yang berlaku pada hari semalam, hari ini dan esok pastinya satu cabaran getir untuk kita semua.

Peningkatan masalah sosial seperti amalan seks bebas, penularan penyakit HIV, dadah, gangterism, black metal, ajaran sesat, serta fahaman liberalisme yang kononnya ingin memodenkan umat Islam harus kita tangani dengan baik.

DPPWP berasa bertanggungjawab untuk meneruskan perjuangan dalam menyelamatkan anak bangsa yang kian pudar semangat Islam dan keMelayuan. Ketiadaan Jati diri anak remaja kini menjadi isu utama. Dari tatacara berpakaian yang sendat, ketat dan tidak menutup aurat kerana mengikuti fesyen semasa telah cukup menjelaskan pada kita bahawa generasi masa kini punyai masalah yang serius.

Terdapat segelintir Ibu bapa hari ini yang cuai dalam menguruskan pendidikan dan akhlak anak-anak hingga kadang kala mereka tidak tahu apa yang dilakukan oleh anak-anak mereka yang selalu keluar berpeleseran. Pemuda-pemudi hari ini, tidak ramai yang bersikap seperti Nabi Ismail yang taat pada perintah Allah dan Ibubapanya.

Sikap ibu bapa yang terlalu memetingkan kerjaya dan menyerahkan urusan pendidikan dan pengurusan akhlak anak-anak mereka kepada pengasuh dan pihak sekolah telah menjerumuskan anak-anak mereka ke lembah yang kering dengan kasih sayang. Mereka dibiarkan dengan gaya hidup bebas hingga akhirnya terperangkap dalam wabak judi, arak, dadah dan seks bebas. Malah ada yang sanggup merogol dan membunuh, hatta ibu bapa atau saudara sendiri ada yang menjadi mangsa mereka.

Oleh itu, sempena sambutan Aidiladha ini, DPPWP mengajak seluruh umat Islam agar kembali merenungi diri. Sesungguhnya masih ada peluang untuk kita meraih nikmat kebahagian dunia akhirat. Pengorbanan kita bukan setakat pergi menunaikan haji atau menyembelih lembu dan kambing, Allah menuntut dari kita lebih lagi.

Ambillah masa untuk kita berfikir dan merancang. Ambilah masa untuk kita bersama anak-anak, adik-beradik dan sanak saudara dalam memperbaiki hubungan yang telah lama tercalar dan terbiar sepi. Kita bina kembali semangat mengambil berat dan saling bantu-membantu.

Bersama kita leraikan sikap mementingkan diri dan kita kembalikan sikap prihatin dalam diri untuk turun bersama koloni masyarakat lainnya dalam memerangi parasit sosial yang kian menghambat jendela kehidupan kita.

Mulakan dari rumah, kita pastikan agar nur iman dan Islam memagari keluarga kita. Sedarlah wahai umat Islam! Sesungguhnya benih kemaksiatan yang berada dipintu rumah pasti akan menular ke dalam rumah kalau kita masih mengambil sikap mementingkan diri dan tidak mahu bergotong royong dan berkorban dalam memerangi permasalahan ummah dan masyarakat sekitar.

Kita bantu pihak Polis dan jabatan-jabatan berkaitan dalam membanteras masalah jenayah dengan kembali mengaktifkan rukun tetangga, rakan masjid, serta mewujudkan pasukan anti maksiat dikawasan perumahan masing-masing.

Semoga perayaan Aidiladha ini akan menjadi pencetus kesedaran kita untuk berubah menjadi lebih baik dan maju lagi, kerana tiap umat Islam itu adalah hamba Allah yang terbaik dari kalangan hamba-hambaNya yang lain.

“Hadharah Islamiyyah bukan Islam Hadhari”

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home