Friday, January 20, 2006

DPPWP Bantah Keputusan Kabinet tolak Skuad Sukarelawan MAIWP

KENYATAAN MEDIA (19 Januari 2006)

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) membantah Keputusan Kabinet semalam yang menolak penubuhan Skuad Sukarelawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Keputusan itu sekaligus menunjukan kejahilan dan sifat buta tuli mata hati pemimpin UMNO. Ianya satu keputusan yang didasari emosi, terlalu naif, dangkal dan tidak kontruktif.

DPPWP menyokong keberanian pihak MAIWP untuk menubuhkan Skuad tersebut dan ia dilakukan pada masa dan tempat yang sesuai iaitu di Wilayah Persekutuan. Kita telah lihat betapa banyak kegagalan Pihak Polis dan Penguatkuasa DBKL, RELA dan sebagainya dalam menguruskan masalah moral dan kebejatan akhlak yang berlaku di Ibukota dan sekitar Wilayah Persekutuan. Kita perlu terima hakikat bahawa pihak berkuasa tidak cukup kekuatan dan tenaga untuk membanteras jenayah dan maksiat dalam negara.

Hingga ke hari ini isu masalah sosial seperti pelacuran, zina, rogol, bunuh, penjualan VCD lucah, ragut dan pecah tabung masjid tidak selesai. Apa yang Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir boleh lakukan untuk atasi masalah ini semua? Dimana mereka pada saat anak-anak Melayu hanyut dibadai najis dadah dan maksiat sebegitu. Adakah dengan memberikan kondom, jarum dan dadah (Metadon) kerajaan telah berjaya selesaikan isu maksiat dan dadah ini?

DPPWP yakin bahawa penubuhan skuad ini hanyalah sebagai satu suntikkan dan kekuatan baru dalam membantu meringankan tugas-tugas pihak berkuasa. Seperti juga tindakan pihak Polis menubuhkan Rakan Cop, MAIWP juga perlukan sokongan masyarakat dalam membanteras masalah jenayah maksiat.

Rakyat bertanggungjawab dalam menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam memastikan rakyat keseluruhannya dapat hidup aman. Bukan sahaja aman dari wajah ganas penjenayah dan kezaliman yang mereka lakukan, tapi rakyat mahu generasi hari ini dan akan datang bebas dari jenayah maksiat seperti Zina, Rogol, Khalwat dan aktiviti pesta liar dan juga isu-isu seperti Black Metal dan ajaran sesat.

Betapa miskinnya pemikiran Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir. Tindakan mereka tidak selaras dengan gelaran dan kedudukan yang mereka ada sekarang. Mereka patut turun ke padang dan melihat realiti masalah sosial diibu kota yang bukan sahaja disebabkan oleh rakyat tempatan, tapi warga asing.

Tindakkan jakun pemimpin UMNO ini hanyalah memburukan lagi variasi Islam Hadhari yang hikayatnya ditempelkan dengan keindahan Islam. Mereka harus malu dalam menjual nama Islam, dan menghadharikan maksiat ditengah-tengah Ibu kota ini. Bagi DPPWP, tindakkan bodoh mereka ini umpama menggalakkan orang lain merenjis najis ke badan sendiri. MAIWP cadang untuk bantu tolong cuci sahaja, tapi mereka angkuh dan menolak cadangan tersebut, kononnya takut MAIWP skodeng selak kain.

DPPWP berharap agar satu resolusi dan tindakan tegas dibuat dalam mendokong usaha – usaha mencegah maksiat dan membantu pihak berkuasa menjaga keamanan negara. Para sukarelawan ini tidak diberikan elaun atau sebarang bayaran. Mereka juga tidak bertindak diluar bidang kuasa dan ada peraturan khas untuk mereka.

Pihak Jabatan Perdana Menteri tidak harus malu dengan tindakan bijak organisasi dibawahnya seperti MAIWP. Tidak salah bagi organisasi ‘anak’ mengajar ‘bapa’ untuk buat perkara yang difikirkan betul. Jangan kerana nak jaga air muka, ‘anak’ sendiri dihukum ‘ketuk ketampi dan dibogelkan keseluruh negara’ kerana dituduh tidak ikut peraturan, hingga senang orang nak menghentam mereka. JPM harus pertahankan tindakan MAIWP bukannya turut tumpang sekaki menghentam mereka.

DPPWP tetap menyokong akan tindakan bijak pihak MAIWP, dan DPPWP juga akan meneruskan usaha XPDC Dakwah dalam memastikan bahawa di Wilayah Persekutuan ini masih ada lagi orang yang cintakan Islam dan membenci maksiat.

Kepada para Menteri, pemimpin lainnya dan mereka yang tidak bersetuju dengan hal ini, DPPWP menegaskan agar mereka tidak menyalahgunakan kuasa dan mengganggu usaha dakwah yang baik ini. Dan pastikan juga, diri dan keluarga anda tidak dicekup dalam operasi yang dilakukan oleh kami atau penguatkuasa pihak berkuasa. Jangan biar peristiwa di Kelab Zouk dan Kelab malam di Subang berlaku pada diri dan keluarga anda.

“Bebaskan diri dan keluarga anda dari Maksiat”
“Bebas Maksiat Negara Aman”


Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home