Friday, January 20, 2006

Cukai Pintu dan Pembangunan WP : DBKL Harus Serius

Kenyataan Media (9 Januari 2006)

Dewan Pemuda PAS Wilayah Pesekutuan (DPPWP), menyambut baik tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tidak menaikkan kadar Cukai Pintu bagi tahun 2006 melalui budget yang dibentangkan pada akhir tahun lalu. Walaupun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dinegeri lain kecoh untuk menaikkan kadar Cukai Pintu khususnya dibandar-bandar besar hingga kepada 8%, warga Kuala Lumpur bersyukur pada Allah dengan apa yang dilakukan oleh pihak DBKL.

Untuk itu DPPWP mewakili warga kota mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pihak DBKL. Dalam pada itu pihak DPPWP berharap agar kualiti perkhidmatan DBKL tidak merosot malah dapat dipertingkatkan lagi berbanding tahun 2005.

Isu-isu setinggan, infrastruktur dikawasan perumahan rakyat, masalah agihan tapak bazar ramadhan dan pasar malam serta kemudahan tapak niaga dipasar-pasar awam dapat diperhatikan dan diselesaikan secara serius.

DPPWP berharap agar DBKL juga dapat memantau aktiviti perniagaan haram dan menggunakan sepenuhnya kamera televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang dibeberapa kawasan strategik di ibu kota bagi mengatasi masalah jenayah.

Pihak DPPWP berharap agar pihak Perbadanan Putrajaya dan Majlis Perbandaran Labuan tidak menaikkan kadar Cukai Pintu bagi tahun 2006. DPPWP berharap agar kedua-dua PBT ini dapat bersama DBKL dalam meningkatkan ruang pembangunan dan memperkemaskan lagi saluran perkhidmatan serta infrastruktur didalam kawasan mereka.

DPPWP berharap agar Wilayah Persekutuan dapat dibangunkan selari dengan kehendak rakyat dan tidak sesekali mengorbankan kepentingan rakyat seperti tanah rizab melayu di Kg. Baru. DPPWP juga berharap agar ketiga-tiga PBT ini dapat bekerjasama dengan pihak Polis dan NGO serta pertubuhan lainnya tanpa mengira kepentingan politik dalam menangani permasalahan jenayah dan sosial di Wilayah Persekutuan. Tindakan tegas perlu diambil bagi menutup segala pusat hiburan haram dan premis-premis judi. Kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai sarang dadah dan maksiat-tempat melakukan seks bebas haruslah dibersihkan.

DPPWP tidak mahu pihak PBT menutup mata dan membiarkan taman-taman rekreasi orang awam dijadikan tempat golongan belia melakukan maksiat. Aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan memerangi gejala sosial tidak seharusnya tertumpu pada masalah dadah dan ragut sahaja. Seharusnya isu seks bebas dan pelacuran yang berlaku dibalik taman-taman rekreasi dan bangunan-bangunan perniagaan seperti di Jalan Haji Taib dan Chow Kit serta Jalan Petaling haruslah dibersihkan.

DPPWP juga, berharap agar satu pemantauan serius dibuat bagi menangani kebanjiran rakyat Indonesia yang menguasai sebahagian besar ruang niaga di kawasan Chow Kit yang kini telah kelihatan seperti 'Mini Jakarta'. DPPWP tidak bermaksud untuk mengeruhkan hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia, tetapi hanya sekadar bertanya pada DBKL, adakah Chow kit telah dijual kepada warga Indonesia yang banyak berkeliaran disana?

DPPWP khuatir dan kini terdapat rungutan kalangan peniaga tempatan dan juga penduduk tempatan khususnya dikawasan berhampiran iaitu Kg. Baru berhubung kebanjiran rakyat asing ini dikawasan sekitar mereka. DPPWP juga mendapat maklumat bahawa ada kalangan rakyat Indonesia yang masuk secara sah atas Pas pelajar atau lawatan sosial yang mengambil kesempatan untuk bekerja sebagai pelacur murahan di Jalan Hj. Taib. Golongan makyah yang menjual tubuh badan mereka juga kelihatan ramai dikawasan tersebut. Diharapkan satu tindakan tegas dapat dilakukan olehh pihak DBKL dan Polis bagi membersihkan kawasan tersebut dengan segera.

Semoga pihak PBT di Wilayah Persekutuan dapat mengambil inisistif serius dalam menyelesaikan setiap aduan rakyat agar rakyat dapat menikmati keselesaan dan terus membayar cukai pintu untuk kebaikan semua pihak.

Sekian, terima kasih.

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
_____________________________________
Petikan Laporan Bajet 2006:
Cukai pintu DBKL kekal
Utusan Malaysia 22/12/2005

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Warga kota boleh menarik nafas lega apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak bercadang menaikkan kadar cukai pintu 2006.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ruslin Hasan berkata, kadar cukai pintu yang sedia ada tidak pernah dinaikkan untuk tempoh lebih 10 tahun memandangkan sumber pendapatan DBKL sekarang masih mampu menampung kos perbelanjaan.

"Walaupun DBKL tidak menaikkan kadar cukai pintu untuk satu tempoh yang lama tetapi dengan perancangan yang sistematik DBKL masih lagi dapat menampung kos perbelanjaan mengurus dan pembangunan dengan baik serta memuaskan berasaskan sumber pendapatan sedia ada, katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2006 DBKL di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam bajet yang bertemakan 'Bersama Kuala Lumpur ke Arah Kecemerlangan', DBKL turut menjangkakan memperoleh hasil pendapatan sejumlah RMl,025.80 juta pada tahun depan berbanding RM972.10 juta pada tahun ini.

Seiain daripada hasil tersebut, katanya, DBKL dijangka menerima bantuan langsung daripada kerajaan Pusat untuk projek Rancangan Malaysia Ke-9 berjumlah RM287.46 juta.

Jelas beliau, mengambil kira sumbangan daripada pihak kerajaan dan anggaran hasil, jumlah pendapatan DBKL untuk tahun depan ia dijangka meningkat sebanyak RM1,313.26 juta.

"Tahun depan, DBKL dijangka membelanjakan sejumlah RM2,007.14 juta berbanding RM1,810.34 juta tahun ini. Ini merupakan kenaikan sebanyak RM196.80 juta bersamaan 10.87 peratus," katanya.

Jelasnya, daripada jumlah perbelanjaan itu, RM1,048.40 juta untuk perbelanjaan mengurus manakala RM958.74 juta untuk perbelanjaan pembangunan.

Antara aspek yang turut mendapat perhatian DBKL ialah peruntukan RM246.47 juta untuk kerja-kerja pembersihan, pengurusan pasar, penjaja dan kesihatan.

"Bagi pengurusan dan penyelenggaraan perumahan awam sebanyak RM142.88 juta akan dibelanjakan. Ia tidak termasuk RM121.57 juta yang akan digunakan untuk tujuan
mengindahkan kawasan terbabit," jelasnya.

Daripada keseluruhan bajet pembangunan pula, katanya, sejumlah RM233.58 juta telah diperuntukkan untuk pembangunan kemudahan sosial dan rekreasi.

"Sebanyak RM227.38 juta akan dibelanjakan untuk pembinaan bangunan pasar, gerai, kompleks sukan, taman dan pelbagai kemudahan masyarakat," katanya.

Sementara itu, kerja-kerja perparitan dan penyelenggaraan sungai telah diperuntukkan sebanyak RM64.50 juta daripada bajet pembangunan.

Strategi

Tambahnya, perbelanjaan pembangunan yang dijalankan DBKL turut dibiayai oleh lebihan terkumpul tahun-tahun lalu iaitu sebanyak RM636.48 juta, bantuan daripada kerajaan Pusat RM287.46 juta dan lain-lain sumber RM34.8 juta.

Ruslin memberitahu, strategi bajet yang ditampilkan lebih menjurus kepada memesatkan kegiatan ekonomi, menyediakan persekitaran mesra perniagaan, membangunkan modal insan, meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup warga kota telah diambil kira.

"Selaras dengan itu, fokus DBKL masih memberi penekanan kepada aspek kesejahteraan dan peningkatan taraf hidup semua golongan warga kota," katanya.

Tambah beliau, program-program seperti menyediakan kemudahan infrastruktur bagi tujuan menjana ekonomi bandar, meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan warga kota turut ditekankan.

Pada masa yang sama, katanya, usaha meningkatkan tahap keselamatan warga kota, melaksanakan pelbagai aktiviti pembangunan sosial dan menjana ekonomi bandar melalui perniagaan kecil akan dilaksanakan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home